Now Reading
Lima Pegawai Kadet UPNM Terlibat Penganiayaan Dibatalkan Lantikan, Diberhentikan – Khaled Nordin

Lima Pegawai Kadet UPNM Terlibat Penganiayaan Dibatalkan Lantikan, Diberhentikan – Khaled Nordin

Kelima-lima pelaku yang terlibat dalam tiga kes penganiyaan di Akademi Latihan Ketenteraan UPNM dibatalkan pelantikan sebagai Pegawai Kadet dan ditamatkan perkhidmatan dalam ATM.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kes buli membabitkan kadet di Akademi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) seolah-olah tiada kesudahannya apabila lebih banyak insiden sedemikian dilaporkan.

Sebelum ini, Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain dilaporkan meninggal dunia akibat didera. Enam tertuduh kemudiannya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Tahun ini pula, terdapat beberapa lagi kes baharu membabitkan penuntut UPNM yang menggemparkan masyarakat.

Baca Artikel Berkaitan: “Ingatkan Kes Arwah Yang Terakhir” – Bapa Zulfarhan Ulas Insiden Pelajar UPNM Didakwa Ditekap Seterika

Terbaharu, Kementerian Pertahanan Malaysia memaklumkan beberapa pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM terlibat dalam kes penganiayaan telah diambil tindakan.

Menurut Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri 623 yang bersidang semalam (26 November) telah meluluskan syor ALK terhadap lima Pegawai Kadet (PK) ALK UPNM yang terlibat dalam tiga kes penganiayaan terhadap PK lain.


ALK Syorkan 3 Tindakan Terhadap 5 Pelaku

Tambah Khaled, ALK telah mengesyorkan tindakan terhadap lima pelaku kepada MAT. Tindakan tersebut termasuk:

  1. Pembatalan pelantikan sebagai PK.
  2. Pemberhentian kerja daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
  3. Mengenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan yang dikira daripada keseluruhan perbelanjaan yang telah dibelanjakan sepanjang tempoh pengajian.

Khaled dalam pada itu menegaskan bahawa tindakan yang dikenakan tidak tertakluk kepada tindakan lain yang diambil oleh pihak UPNM sendiri mahupun Jabatan Peguam Negara.

Sehubungan itu, mesyuarat MAT telah melakukan penetapan terhadap kelima-lima pelaku dalam tiga kes penganiayaan tersebut.

Kes 1: Penganiayaan Tekapan Seterika Ke Dada PK Muhammad Salman

Kes pertama merupakan penganiayaan terhadap PK Muhammad Salman bin Mohd Saiful Surash yang melibatkan tekapan seterika ke dadanya oleh pelaku.

Perkara tersebut telah dikesan semasa jurulatih melaksanakan pemeriksaan tubuh berkala pada 28 Oktober lalu.

Siasatan yang dijalankan mendapati PK Amirul Iskandar, pelajar jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Pengambilan 2021), telah melakukan penganiayaan fizikal terhadap mangsa.

Sehubungan itu, dia dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan sejumlah RM44,600.20.

“Pelaku juga telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 8 November 2024 dan prosiding masih berjalan,” kata kenyataan tersebut.

Kes 2: Penganiayaan Terhadap PK Alief Ahsreihan Oleh 3 Pelaku

Dalam kes kedua, penganiayaan terhadap PK Alief Ahsreihan bin Ahslemy didedahkan melalui maklumat awal yang diterima oleh Ketua Kompeni daripada seorang pensyarah UPNM.

Siasatan yang dijalankan kemudiannya mendapati penganiayaan tersebut membabitkan tiga orang pelaku.

Pelaku pertama ialah PK Izzat Izuddin bin Mohammad Arif, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan (Pengambilan 2021), yang telah mengarahkan Pelaku 2, PK Muhammad Hidayat Haqimi bin Mohd Yuslan, untuk mengenakan Hukuman Pembetulan (Corrective Punishment) terhadap mangsa.

Menurut Mohamed Khaled, Hukuman Pembetulan ini adalah bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan di bawah Perintah Tetap PK ALK.

Pelaku 2 yang merupakan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Keselamatan Komputer) (Pengambilan 2023), kemudiannya telah mengenakan Hukuman Pembetulan terhadap mangsa.

Dia turut melakukan tindakan salah laku secara fizikal dan mengarahkan mangsa untuk melakukan kerja-kerja peribadi.

Penganiayaan tersebut turut disertai oleh Pelaku 3 iaitu PK Ku Muhammad Irfan bin Ku Zaimi, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Pengambilan 2021), yang melakukan tindakan salah laku secara fizikal dan tindakan pengasingan sehingga mangsa mengalami gangguan emosi.

“Ketiga-ketiga pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan masing-masing dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia sejumlah RM48,452.75, RM19,481.70 dan RM44,600.20,” kata Mohamed Khaled dalam kenyataan terbabit.

Kes 3: Penganiayaan Kecederaan Fizikal Terhadap PK Yeong

Kes ketiga merupakan penganiyaan terhadap PK Yeong Kian Rui oleh PK Ammar Hafiy bin Muhammad Habib.

Penganiayaan melibatkan kecederaan fizikal telah dikenal pasti setelah jurulatih merasa curiga ketika mangsa meminta untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Siasatan lanjut mendapati pelaku, yang merupakan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengambilan 2022), telah melakukan tindakan salah laku secara fizikal sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan ‘soft tissue injury over lower back secondary to trauma’.

Sehubungan itu, pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan sejumlah RM32,115.95


“Kementerian Pertahanan Tidak Akan Berkompromi” – Khaled Nordin

Mohamed Khaled dalam pada itu menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi sama sekali terhadap sebarang bentuk penganiayaan yang terjadi dalam mana-mana institusi ketenteraan.

Tambahnya, mekanisme pencegahan akan terus ditambah baik bagi mengelakkan kejadian penganiayaan berulang.

“Kementerian Pertahanan memberi komitmen untuk memastikan sebarang tindakan yang bertentangan dengan etika dan peraturan yang telah ditetapkan akan ditangani dengan tegas dan keras.

“Kementerian Pertahanan berharap agar keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua pihak serta dapat memulih dan memperkasa nilai-nilai ketenteraan (military value) yang sepatutnya diamalkan,” katanya menerusi kenyataan terbabit.


Kementerian Pertahanan Serahkan Siasatan Kes Buli Pada PDRM

Selain kes-kes penganiayaan yang dinyatakan di atas, media turut melaporkan beberapa kes lain didakwa membabitkan kadet di UPNM.

Dalam kejadian pada 21 Oktober lalu, mangsa berumur 19 tahun telah dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga sehingga mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.

Khaled Nordin ketika itu berkata pihaknya menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyempurnakan siasatan.

Sebelum itu, ibu bapa kepada penuntut UPNM, Amirul Nashriq Othman, yang meninggal dunia akibat lemas mendakwa terdapat unsur penderaan terhadap anak mereka.

Baca Artikel Berkaitan: “Tiada Motif Sebenarnya” – Gurauan Melampau Dipercayai Punca Pelajar UPNM Ditekap Seterika

Baca Artikel Berkaitan: Pelajar UPNM Dipijak Senior Hingga Cedera Parah, Kementerian Pertahanan Serah Siasatan Pada PDRM

Baca Artikel Berkaitan: Kes Buli UPNM: Pelatih Tahun Tiga Mengaku Tidak Bersalah Pijak Perut Junior Guna ‘Spike Boot’


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd