Wanita Di China Maut Ketika Jalani Prosedur Rawatan Laser Kali Ke-10 Untuk Hilangkan Tanda Lahir
Wanita dikenali sebagai Liu itu didiagnosis dengan neurofibromatosis dan bintik ‘cafe-au-lait’ atau tanda lahir yang memerlukan beberapa prosedur laser untuk menghilangkan kesan tersebut.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap daripada kita mempunyai tanda lahir yang berbeza. Ada yang tersorok dan mempunyai kesan yang kecil namun ramai juga yang jelas kelihatan tandanya pada mana-mana anggota badan.
Dalam sesetengah kes, tanda lahir yang besar itu juga boleh mempengaruhi keyakinan diri seseorang untuk berjumpa dengan orang lain.
Tidak seperti waktu dahulu, teknologi canggih pada masa kini membolehkan orang ramai untuk menghilangkan kesan bintik dan tanda lahir pada badan menggunakan rawatan laser.
Wanita Di China Maut Selepas Jalani Rawatan Laser
Namun siapa sangka niat seorang wanita menjalani satu siri rawatan laser di sebuah hospital sekitar bandar utara Tianjin, China berakhir dengan kematiannya pada 31 Oktober lalu.
Memetik South China Morning Post, rawatan laser itu dilakukan bagi menghilangkan kesan bintik hitam serta tanda lahir pada badannya.
Menurut suami kepada wanita berumur 27 tahun itu, Liu mempunyai banyak bintik di badannya dan sebahagian daripadanya berwarna gelap dan besar.
Liu didiagnosis dengan neurofibromatosis dan bintik ‘cafe-au-lait‘ atau tanda lahir yang memerlukan beberapa prosedur laser untuk menghilangkan kesan tersebut.
Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Liu telah menjalani sembilan rawatan laser di Hospital Dermatologi Jinmen Tianjin iaitu pusat perubatan swasta dengan kos melebihi 100,000 yuan (kira-kira RM61,560).
Rawatan Laser Pernah Dihentikan Selepas Liu Luah Rasa Sakit Yang Teruk
Tidak lama selepas rawatan berkenaan, Liu memaklumkan kepada doktornya bahawa simptom yang dialami semakin teruk.
Ibu pesakit itu turut mendedahkan bahawa anak perempuannya pernah menghentikan rawatan kerana mengalami rasa sakit yang teruk akibat penggunaan anestetik yang tidak sekata.
Untuk info, anestesia adalah rawatan perubatan yang menghalang pesakit daripada berasa sakit semasa pembedahan. Bagi menghasilkan anestesia, doktor menggunakan ubat-ubatan yang dipanggil sebagai anestetik, petik Hello Doktor.
Liu Sawan & Alami Serangan Jantung Ketika Rawatan Laser Ke-10
Sewaktu menjalani rawatan laser ke-10 pada 21 Oktober lalu, Liu dilaporkan mengalami rasa pening selepas krim anestetik disapu pada dirinya.
Meskipun krim terbabit dibersihkan dengan segera oleh pakar, namun wanita berkenaan menunjukkan tindak balas yang lebih parah iaitu sawan dan kemudian membawa kepada serangan jantung.
Suami Syak Ubat Bius Berlebihan Punca Si Isteri Maut
Susulan itu, Liu dikejarkan ke hospital lain bagi mendapatkan rawatan, namun dilaporkan menghembuskan nafas terakhir selepas 10 hari berada di sana.
Doktor kecemasan melaporkan bahawa pesakit meninggal dunia akibat komplikasi yang berkaitan dengan tekanan intrakranial yang berlebihan. Mayat kemudian dihantar untuk prosedur bedah siasat dan keputusan masih belum diperoleh.
Suami Liu bagaimanapun mengesyaki bahawa jumlah ubat bius yang berlebihan berkemungkinan faktor tindak balas alahan yang menyebabkan kematian si isteri.
Pihak Hospital Akan Bertanggungjawab Jika Didapati Bersalah
Kakitangan di hospital rawatan laser itu bagaimanapun mempertahankan prosedur mereka dengan memaklumkan bahawa krim anestetik tersebut digunakan mengikut protokol standard dan ujian alahan dilakukan atas permintaan.
Sementara itu, Pengarah hospital terbabit dalam masa sama meluahkan kekesalan terhadap insiden yang menimpa Liu.
“Kami akan bertanggungjawab sepenuhnya jika didapati bersalah,” kata beliau.
Baca Artikel Berkaitan: Remaja Di India Maut Gara-gara Doktor Palsu Guna Tutorial YouTube Untuk Lakukan Pembedahan
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Di Amerika Syarikat Main Trombon Ketika Jalani Pembedahan Otak
Baca Artikel Berkaitan: Influencer Mukbang Di China Meninggal Dunia Akibat Makan Berlebihan, Perut Penuh Makanan Tak Dihadam
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram