Trend Remaja Hamil Luar Nikah Di Kelantan Tunjuk Penurunan – Timbalan MB
Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan, kes remaja berusia 15 hingga 19 tahun hamil luar nikah menurun dari 146 pada 2021 kepada 61 tahun lalu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pergaulan bebas antara remaja lelaki dan perempuan adalah suatu isu yang tidak seharusnya dipandang remeh oleh masyarakat, lebih-lebih lagi di Malaysia yang menerapkan nilai kesopanan.
Lebih teruk lagi apabila pergaulan bebas itu membawa kepada masalah lain seperti kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja.
Namun harus diingat, kehamilan luar nikah tidak semestinya disebabkan oleh pergaulan bebas semata-mata, tetapi juga boleh terjadi apabila ibu menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.
Trend Kes Hamil Luar Nikah Remaja 15-19 Tahun Di Kelantan Menurun
Terbaharu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan bahawa kes hamil luar nikah dalam kalangan remaja berusia 15 hingga 19 tahun menunjukkan trend penurunan dari 2021 hingga 2023.
Menurutnya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan telah merujuk kepada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang menunjukkan kes hamil luar nikah berkurang dari 146 pada 2021, kepada 136 bagi 2022, dan 61 tahun lepas.
Kes Khalwat Di Kelantan Berkurangan
Di samping itu, Fadzli berkata bilangan kes khalwat di Kelantan turut menunjukkan penurunan drastik daripada 196 kes pada 2022 kepada 86 pada 2023.
“Ini menunjukkan langkah kerajaan melaksanakan pelbagai program sama ada melalui pendidikan, peranan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita berserta pendekatan lain, memberi impak dalam menangani gejala sosial di Kelantan,” katanya dipetik Awani.
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-undang, Fadzli menyatakan bahawa sebuah jawantkuasa induk telah ditubuhkan oleh kerajaan negeri bagi menangani gejala sosial di Kelantan.
Jawatankuasa Induk Disertai PDRM, JPN & AADK
Tambahnya lagi, bukan sahaja agensi kerajaan Kelantan yang terlibat dalam jawatankuasa terbabit, tetapi turut dianggotai agensi kerajaan Persekutuan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri.
“Kita tidak memandang sepi isu gejala sosial di Kelantan dan kerana itu kita ambil pendekatan ini dengan membahagikannya kepada sembilan kluster,” jelasnya.
Selain itu, Fadzli berkata kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan khas bagi menangani isu gejala sosial di sana.
17,646 Kes Remaja Hamil Luar Nikah Bagi Tempoh 5 Tahun Lalu Di Malaysia
Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sejumlah 44,263 kes kehamilan remaja bagi tempoh lima tahun lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 17,646 kes membabitkan remaja tidak berkahwin.
Dalam pada itu, data Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dari Januari hingga September lalu mendedahkan bahawa 555 kanak-kanak dan remaja hamil luar nikah, termasuk seawal usia 10 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Anfaal Saari, berkata jumlah ini merangkumi 13 kes bagi kategori 10-14 tahun, 157 kes bagi 15-17 tahun dan 385 kes bagi 18-19 tahun.
Bagi tahun lepas pula, Selangor mencatatkan sejumlah 799 kes remaja hamil luar nikah.
Kehamilan Bawah Umur Berisiko Tinggi Buat Ibu & Bayi
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 19 tahun yang hamil lebih berisiko tinggi mengalami masalah eklampsia, endometritis selepas kelahiran dan jangkitan sistemik berbanding wanita berusia 20-24 tahun.
Di samping itu, bayi yang dilahirkan juga berdepan risiko tinggi mempunyai berat lahir rendah, kelahiran pramatang dan masalah neonatal yang teruk.
Kehamilan bawah umur juga menyebabkan kanak-kanak atau remaja terbabit tidak mendapatkan penjagaan pranatal secukupnya, lebih-lebih lagi apabila kehamilan tidak diketahui.
Malah, ibu yang hamil bawah umur mempunyai risiko lebih tinggi mengalami kemurungan selepas bersalin.
Baca Artikel Berkaitan: Remaja Perempuan Disyaki Sembunyi Status Kehamilan, Reka Cerita Jumpa Bayi Pada Ibu
Baca Artikel Berkaitan: Kanak-Kanak Umur 9 Tahun Paling Muda Terlibat Dengan Kes Hamil Luar Nikah, Jadi Mangsa Abang Kandung
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.