Ahli Parlimen Gesa Elaun Bomba Dinaikkan, Tidak Sepadan Dengan Risiko Kerja
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata elaun anggota bomba tidak pernah meningkat sejak sekian lama.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pasukan Bomba dan Penyelamat merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab dalam mengawal situasi kebakaran yang berlaku dan menyelamatkan mangsa yang terperangkap.
Bukan itu sahaja, mereka turut bertugas untuk melindungi orang ramai malah haiwan, menerusi tugas-tugas seperti menyelamatkan orang yang terperangkap, menangkap haiwan berbahaya dan menyelamatkan haiwan peliharaan.
Baru-baru ini, timbul isu bayaran elaun diterima oleh anggota bomba tidak setimpal dengan risiko kerja yang dihadapi ketika bertugas.
“Elaun Bomba Tidak Setanding Sifat Bahaya Kerja” – Young Syefura
Dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini (26 November), ahli parlimen menggesa agar elaun yang diberikan kepada anggota bomba dinaikkan.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, berkata elaun tersebut sepatutnya dinaikkan memandangkan elaun semasa tidak setanding dengan sifat bahaya pekerjaan itu.
Tambahnya, Bayaran Insentif Bomba (BIB) sebanyak RM110 sebulan tidak berpadanan dengan beban kerja dan risiko pekerjaan yang dihadapi anggota bomba.
“Mereka bukan sahaja perlu memadamkan kebakaran, tetapi perlu bersedia 24 jam bagi kecemasan dan melaksanakan tugas menyelamat yang selalunya berisiko tinggi,” katanya dipetik The Star.
Young Syefura sejurus itu menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mempertimbangkan semula situasi elaun tersebut agar ia bertepatan dengan tugas-tugas bomba, serta setanding dengan ahli perkhidmatan keselamatan lain.
“Elaun Anggota Bomba Tidak Meningkat Lama” – MP Libaran
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir turut bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Young Syefura.
Katanya, elaun anggota bomba tidak pernah meningkat sejak sekian lama.
“Bayaran elaun seperti BIB pada kadar RM110 bagi 12 jam tidak lagi relevan dan perlu dikaji semula dan dinaikkan sesuai dengan keadaan semasa.
“Elaun Perkhidmatan Bomba pada kadar RM200 serta elaun Operasi Hazmat pada kadar RM30 bagi setiap operasi juga amat tidak sesuai memandangkan mereka ini terdedah kepada risiko kecederaan, kecacatan kekal dan kematian tinggi,” katanya dipetik FMT.
Anggota Bomba Dakwa Tidak Terima Cuti Gantian
Di samping itu, Suhaimi berkata terdapat anggota bomba yang mendakwa mereka tidak diberikan cuti gantian setelah bertugas selama lebih 12 jam.
“Jangan biarkan kebajikan anggota keselamatan dikorbankan. Elaun bagi anggota bomba sepatutnya ditambah baik agar bertepatan dengan tugasan dan risiko yang dihadapi,” jelasnya.
“Isu Kebajikan Anggota Bomba Seakan Terlepas Pandang” – Ahmad
Terdahulu, seorang anggota bomba memaklumkan dia terasa hati apabila isu kebajikan mereka seakan terlepas pandang, lebih-lebih lagi berkait bayaran ganti cuti am sekitar 18 hingga 19 hari setahun yang didakwa tidak setimpal.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad mendakwa cadangan tambah baik telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sekitar tiga tahun lalu, namun masih tiada sebarang perkembangan sehingga kini.
Tambahnya, dia mengambil maklum pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelaksanaan kadar baharu gaji. Namun apa yang diperjuangkan adalah isu bayaran elaun BIB tidak berpadanan.
Sebagai info, anggota bomba turut menerima elaun tambahan seperti perumahan, sara hidup dan khidmat awam, sama seperti mana-mana penjawat awam lain.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.