Tiada Diskriminasi, Kemasukan Pelajar Ke IPTA Berdasarkan Merit – Zambry
Pengerusi MIC Perak Tan Sri M. Ramasamy sebelum itu berkata pihaknya menerima laporan tidak ramai pelajar India yang cemerlang dapat memasuk ke IPTA.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Menyambung pengajian ke peringkat pendidikan tinggi pastinya menjadi cita-cita ramai murid, apatah lagi setelah melihat pelajar universiti bergraduasi.
Jika dahulu kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dibuat berdasarkan kuota, namun pengambilan pelajar melalui sistem UPU telah menggunakan prinsip meritokrasi sejak tahun 2006.
Ini bermakna, mereka yang mempunyai merit tertinggi layak mendapatkan tempat di IPTA dan pemilihan tidak dibuat berdasarkan kaum, agama, negeri, taraf hidup serta tempat tinggal.
Baca Artikel Berkaitan: “Pantas Siswa Pantas!” – Ramai Throwback Lihat Pelajar Baharu Beratur Panjang Ketika Minggu Orientasi
“Kemasukan Pelajar Ke IPTA Berdasarkan Merit” – Zambry
Terkini, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir, menegaskan bahawa kemasukan pelajar ke IPTA adalah berdasarkan merit, lebih-lebih lagi bagi kursus yang mempunyai permintaan tinggi.
Tambahnya, kegagalan untuk mendapatkan tempat di universiti awam tidak seharusnya dijadikan isu perkauman atau diskriminasi ke atas mana-mana golongan.
“Kita tidak ada diskriminasi dari segi kemasukan pelajar-pelajar (ke IPTA). Itu asasnya, sekiranya pelajar yang berkenaan memperoleh semua A dalam (mata) pelajarannya, mereka akan diberikan tempat,” jelasnya.
Perubatan, Farmasi & Pergigian Kursus Kritikal
Dalam masa sama, Zambry turut menyenaraikan tiga kursus utama yang sering menjadi pilihan ramai pelajar iaitu perubatan, farmasi dan pergigian.
“Perkara yang sering dibahaskan ialah mereka memerlukan pilihan pertama, biasanya melibatkan kursus kritikal, iaitu perubatan, farmasi dan pergigian,” katanya.
Namun dalam masa sama, beliau berkata penempatan bagi ketiga-tiga bidang berkenaan agak terhad.
“Ada yang minta supaya mereka diberikan kuota, bilangan tersendiri. Bagi kita, kemasukan dalam bidang-bidang (kritikal) seperti ini adalah berdasarkan kepada merit mereka. Tiada alasan bahawa ia diberi kepada kaum (tertentu) dan sebagainya,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan penutupan Konvensyen BN Negeri Perak semalam (24 November).
“Tidak Ramai Pelajar India Cemerlang Masuk IPTA” – Pengerusi MIC Perak
Terdahulu, Pengerusi MIC Perak Tan Sri M. Ramasamy dalam ucapannya di konvensyen sama berkata pihaknya menerima laporan tidak ramai pelajar India yang cemerlang dapat memasuki IPTA.
Malah, dia berkata masalah sama turut berlaku bagi lepasan matrikulasi dan meminta agar kuota dinaikkan.
Zambry dalam pada itu berkata isu berkenaan yang dibangkitkan bukan sahaja melibatkan masyarakat India, tetapi juga turut terjadi pada kaum lain.
Lebih Ramai Pelajar Bumiputera Masuk Ke IPTA Di Bawah Sistem Meritokrasi
Walaupun sistem meritokrasi bagi penempatan ke IPTA dilihat lebih adil kerana tidak memberi keistimewaan kepada kaum Bumiputera, namun ia telah menerima kritikan.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata sistem meritokrasi tersebut hanya menjamin tempat di IPTA bagi golongan berduit.
Di samping itu, sebuah tinjauan di Universiti Utara Malaysia (UUM) mendapati seramai 67.6% daripada responden adalah pelajar berbangsa Melayu, 21.4% Cina, 4.2% India dan 4.2% lain-lain etnik Bumiputera.
Ini bermakna, terdapat lebih 70% pelajar Bumiputera untuk satu pengambilan berdasarkan sistem meritokrasi, berbanding hanya 55% kuota ditetapkan bagi Bumiputera di bawah sistem kuota.
Malah, sejak sistem meritokrasi digunakan kemasukan pelajar Cina dan India ke IPTA semakin merosot berbanding kuota 35% dan 10% yang ditetapkan sebelum ini.
Baca Artikel Berkaitan: Adakah Sistem Meritokrasi Bagi Kemasukan Ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Lebih Menguntungkan Golongan Minoriti Berbanding Sistem Kuota?
Baca Artikel Berkaitan: 21.6% Pelajar UTM Dapat Kerja Dengan Gaji Bermula RM4,000 Sebelum Graduasi
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.