Now Reading
Mahkamah Tinggi Perintah KDN Pulangkan Jam Tangan Swatch ‘Pride Collection’ Yang Dirampas

Mahkamah Tinggi Perintah KDN Pulangkan Jam Tangan Swatch ‘Pride Collection’ Yang Dirampas

Hakim Mahkamah Tinggi, Amarjeet Singh, berkata bahawa serbuan yang dilakukan ke atas butik Swatch tahun lepas dan rampasan jam tangan ‘Pride Collection’ adalah menyalahi undang-undang.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada Mei tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyerbu beberapa butik Swatch dan merampas 172 jam tangan ‘Pride Collection’ yang dikaitkan dengan komuniti LGBTQ+.

Menurut borang penyitaan yang diterima oleh salah satu butik Swatch, jam tangan tersebut dirampas kerana melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

Akta sama turut menjelaskan jenama yang menjual barangan yang dilihat atau dirasakan berbahaya kepada moral boleh berdepan dengan tindakan undang-undang.

Baca Artikel Berkaitan: KDN Serbu & Rampas Jam Tangan Pelangi Swatch, Kaitkan Dengan LGBT


“Penggeledahan Tanpa Waran Adalah Haram” – Hakim Mahkamah Tinggi

Terbaharu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan agar kesemua 172 jam tangan Swatch ‘Pride Collection’ yang dirampas KDN selepas dikata mempromosikan komuniti LGBTQ+ dikembalikan semula ke syarikat pembuat jam Switzerland itu.

Hakim Amarjeet Singh mengeluarkan arahan tersebut selepas membenarkan Swatch melakukan permohonan semakan kehakiman terhadap rampasan jam tangan berkaitan oleh pihak berkuasa.

Katanya, serbuan yang dilakukan pada tahun lepas adalah tidak sah.

“Penggeledahan yang dilakukan tanpa waran adalah tidak sah. Oleh itu, sebarang rampasan yang dibuat seperti dinyatakan di dalam notis rampasan adalah salah di sisi undang-undang,” katanya hari ini (25 November).


Jam Perlu Dipulangkan Dalam Tempoh 14 Hari

Tambah Amarjeet, larangan ke atas barangan tersebut hanya dibuat selepas rampasan dilakukan. Oleh itu, The Swatch Group (Malaysia) Sdn. Bhd. tidak melanggar sebarang undang-undang sebelum serbuan dijalankan ke atas beberapa butiknya.

Mahkamah dalam pada itu mengarahkan agar kesemua jam tangan terbabit dipulangkan semula dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah.

Di samping itu, Amarjeet tidak mengeluarkan sebarang perintah bagi kos atau kerugian, tetapi berkata Swatch Group boleh memfailkan dokumen baharu yang berasingan bagi ganti rugi jika terdapat kerosakan pada jam tangan.


Swatch Cabar Rampasan Jam Tangan ‘Pride Collection’

Terdahulu, KDN telah menyerbu 11 cawangan Swatch di seluruh negara dan merampas 172 jam tangan yang merangkumi sembilan design berbeza dari ‘Pride Collection’. Jumlah keseluruhan jam tangan dirampas ialah RM64,795.

Swatch Group sehubungan itu telah memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 24 Jun 2023, dengan Ketua Setiausaha KDN, Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, kementerian itu sendiri serta kerajaan Malaysia masing-masing dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.

Melalui permohonannya, Swatch Group memohon perintah certiorari dari mahkamah untuk membatalkan notis rampasan, perintah mandamus untuk memaksa kementerian memulangkan 172 jam tangan.

Ia juga memohon perintah mahkamah agar jam yang dirampas dikembalikan dalam tempoh masa lima hari dan supaya pampasan diberikan termasuk dalam bentuk ganti rugi teruk (aggravated) dan ganti rugi teladan (exemplary).

Baca Artikel Berkaitan: Mahkamah Tinggi Izinkan Swatch Cabar Rampasan Jam Tangan Koleksi Pride Oleh KDN


“Miliki Jam Koleksi LGBTQ+ Swatch Boleh Didenda RM20,000” – KDN

Sebagai info, KDN pada 10 Ogos tahun lalu telah mengeluarkan perintah melalui warta kerajaan membabitkan larangan penerbitan berkaitan LGBTQ+ pada sebarang koleksi termasuklah kotak, pembalut, aksesori serta barangan.

KDN dalam masa sama telah memberi amaran bahawa individu yang memiliki atau menjual jam koleksi LGBTQ+ Swatch bakal berdepan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Individu akan berdepan hukuman tersebut mengikut Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu termasuk mengeluar, mengelilingi, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu dan apa-apa hasil penerbitan larangan.

Baca Artikel Berkaitan: Individu Miliki Atau Jual Jam Tangan LGBTQ+ Jenama Swatch Boleh Dipenjara & Denda RM20,000


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd