Warga Myanmar Mengaku Bersalah Korek Biji Mata Lelaki
Seorang lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Murtabis berusia 28 tahun telah mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan mencungkil keluar mata kiri mangsa.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sebelum ini, gempar tentang satu kes di mana seorang lelaki warga tempatan dicederakan dengan teruk sehingga mengakibatkan berlaku kecacatan kekal pada mata kirinya.
Hasil siasatan pihak polis mendapati bahawa seorang lelaki warga asing menjadi suspek dengan mengorek biji mata mangsa pada Sabtu lalu (16 November).
Mangsa M.Gunalan, 52, dilakukan sedemikian rupa di tepi jalan Flat Rethina, Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Sehubungan itu suspek hari ini (22 November) telah dibawa dan dituduh di Mahkamah Majistret Butterworth.
Lelaki Warga Asing Mengaku Bersalah Korek Biji Mata Mangsa
Menerusi laporan Astro Awani, lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Murtabis berusia 28 tahun telah mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan pada mangsa.
Pengakuan itu dilakukan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Mohamad Azrul Muhd Sobri.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh Juga Mengaku Bersalah Tidak Mempunyai Dokumen Yang Sah
Di mahkamah sama, tertuduh juga mengaku bersalah atas pertuduhan tidak memiliki sebarang dokumen sah mengikut undang-undang ketika masuk ke Malaysia.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya serta tidak melebihi enam sebatan.
Tertuduh yang tidak diwakili oleh peguam tidak dibenarkan oleh mahkamah untuk diikat jamin bagi kedua-dua pertuduhan kerana bukan warganegara.
Kes ini akan disebut semula pada 13 Disember depan bagi menunggu kehadiran jurubahasa Myanmar.
Bagaimana Kes Ini Berlaku?
Kira-kira jam 2 petang pada Sabtu lalu (16 November), mangsa dan tertuduh dipercayai terlibat dalam dalam satu pergaduhan selepas berlaku perselisihan faham.
Difahamkan warga asing itu diganggu oleh mangsa yang berada dalam keadaan mabuk sebelum bertindak mencungkil biji mata lelaki warga tempatan tersebut.
Akibat perbuatan tersebut, mangsa dilaporkan mengalami kecacatan kekal.
Hasil siasatan juga mendapati bahawa mangsa mempunyai beberapa rekod lampau jenayah.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan ketika kejadian dia dipercayai berada dalam keadaan mabuk.
“Manakala suspek yang juga memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tiada rekod jenayah,” lapor media.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Mata Dikorek Warga Asing Ketika Bergaduh, Lelaki Alami Buta Kekal
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.