Now Reading
Kes Buli UPNM: Pelatih Tahun Tiga Mengaku Tidak Bersalah Pijak Perut Junior Guna ‘Spike Boot’

Kes Buli UPNM: Pelatih Tahun Tiga Mengaku Tidak Bersalah Pijak Perut Junior Guna ‘Spike Boot’

Pelajar tahun satu UPNM didakwa dipijak pada bahagian perut oleh seorang senior, Mohd Adil Mat Awang Ghanisehingga menyebabkan cedera parah iaitu keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.

kes pelajar senior UPNM pijak junior pakai boot

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada 8 November lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Bin Mohd Isa menerusi kenyataan media mengesahkan bahawa satu laporan polis mengenai kejadian buli di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah diterima.

Kenyataan media mendedahkan bahawa seorang pelajar tahun satu UPNM berumur 19 tahun di Kem Sungai Besi didakwa telah dipijak sehingga cedera parah oleh seorang pelatih tahun tiga.

Insiden tersebut menyebabkan mangsa mengalami keretakan pada tulang rusuk serta tulang belakang dan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Baca Artikel Berkaitan: Pelajar UPNM Dipijak Senior Hingga Cedera Parah, Kementerian Pertahanan Serah Siasatan Pada PDRM


Pelajar UPNM Mengaku Tidak Bersalah Memijak Junior Hingga Cedera Parah

Terbaharu, pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kauala Lumpur atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar junior dengan memijak perut sambil memakai ‘spike boot’.

Mohd Adil Mat Awang Ghani, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim hari ini (22 November).

“Faham (pertuduhan), tidak (mengaku bersalah) puan,” katanya di mahkamah.

Mengikut pertuduhan, pelajar terbabit dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Haziq Iqbal Ahmad Rashidi, 19, apabila bertindak memijak perut mangsa dengan memakai spike boot.

Mengulas lanjut, perbuatan tersebut dilakukan di padang kawad ALK UPNM, Kem Sungai Besi jam 10.45 malam pada 21 Oktober lalu.

Pertuduhan dibicarakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum satu tahun atau denda yang boleh mencecah RM2,000 atau kedua-duanya.


Suspek Diberi Ikat Jamin RM5,000 Bersama Seorang Penjamin

Pendakwaan mengenai kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman manakala Mohd Adil diwakili Nurul Diyana Basher daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, Mohd Sabri menawarkan jaminan berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu tidak mendekati pengadu serta rakan pelatih kadet lain sebagai saksi pendakwaan.

“Pertuduhan kes ini membabitkan individu yang dilatih supaya hidup penuh disiplin, pengorbanan, penghormatan dan kesetiaan kepada bangsa dan negara.

“Mengimbangi prinsip jaminan yang bertujuan bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan bagi memastikan tertuduh dan penjamin dengan penuh tanggungjawab hormat undang-undang untuk tidak mengganggu saksi pendakwaan yang terdiri dari pegawai UPNM dan rakan pelatih tertuduh,” kata beliau.

Nurul Diyana bagaimanapun memohon jaminan yang lebih rendah dengan mengambil kira tertuduh masih bergelar seorang pelatih.

“Tertuduh berusia 22 tahun, walaupun sudah keluar daripada kategori pesalah muda tetapi saya mohon mahkamah ambil kira dia masih belajar dan di bawah tanggungan ibu bapanya.

“Mohon pertimbangan sewajarnya, kami tiada masalah dengan syarat tambahan dimohon tetapi tidak terlalu ketat kerana anak guam masih lagi dalam latihan,” kata Nurul Diyana.

Susulan mendengar kedua-dua hujah terbabit, Noorelynna Hanim memutuskan untuk memberi jaminan RM5,000 bersama seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.

Sebutan semula kes pula akan dijalankan pada 10 Februari tahun hadapan.


Insiden Pelajar UPNM Meninggal Dunia Akibat Didera & Didakwa Terlibat Kes Buli

Sejak beberapa tahun lalu sehingga ke hari ini, institusi pengajian terbabit telah menjadi perhatian ramai selepas berlakunya kes buli.

Sebelum ini, Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain dilaporkan meninggal dunia akibat didera dan ditekap dengan seterika sehingga 80% badannya melecur. Mahkamah Rayuan Putrajaya kemudiannya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam orang tertuduh.

Baca Artikel Berkaitan: [Terkini] Kes Kematian Zulfarhan: 6 Bekas Penuntut UPNM Dihukum Gantung

Pada bulan lalu pula, kecoh di media sosial mengenai dakwaan penuntut UPNM dibuli oleh pelajar senior iaitu ditekap menggunakan seterika pada bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.

Pihak polis bagaimanapun melaporkan bahawa gurauan secara keterlaluan disyaki punca kejadian tersebut berlaku pada 22 Oktober.

“Tiada motif sebenarnya, tidak ada dendam, pergaduhan atau buli. Hanya bergurau, nak kata ‘ragging’ tak juga, itu bukan ‘ragging’. Bila ada benda-benda berbahaya ni seperti senjata atau barang panas jangan sesekali bermain (bergurau), ini kali pertama mangsa kena,” ujar Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa.

Baca Artikel Berkaitan: “Ingatkan Kes Arwah Yang Terakhir” – Bapa Zulfarhan Ulas Insiden Pelajar UPNM Didakwa Ditekap Seterika

Baca Artikel Berkaitan: “Ini Adalah Kegilaan” – Anwar Ibrahim Ulas Dakwaan Kes Buli Di UPNM

Baca Artikel Berkaitan: “Tiada Motif Sebenarnya” – Gurauan Melampau Dipercayai Punca Pelajar UPNM Ditekap Seterika


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd