Now Reading
Touch ‘n Go eWallet Akan Laksanakan Pengesahan eKYC 100% Bermula 20 Disember

Touch ‘n Go eWallet Akan Laksanakan Pengesahan eKYC 100% Bermula 20 Disember

Pengguna tanpa eKYC akan berdepan sekatan yang semakin bertambah sehingga eWallet Touch ‘n Go disekat sepenuhnya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Dengan perkembangan teknologi masa kini, orang ramai mempunyai pilihan untuk membuat suatu pembayaran secara ‘cashless’ iaitu tanpa menggunakan wang tunai.

Selain daripada menggunakan kad debit dan kad kredit, e-wallet merupakan kaedah yang digunakan ramai orang. Dengan fungsi imbasan QR, pengguna boleh melakukan pembayaran dengan mudah dan cepat.

Kebanyakan e-wallet mewajibkan pengguna untuk melakukan pengesahan elektronik Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital (eKYC) yang bertujuan bagi menyediakan cara yang selamat dan cekap dalam mengesahkan identiti pelanggan.


Pengesahan eKYC 100% Dilaksanakan Oleh TNG

Terbaharu Touch ‘n Go eWallet mengumumkan pengesahan eKYC akan dilaksanakan sepenuhnya bermula Rabu, 20 November.

Pengguna dalam pada itu mempunyai masa sehingga 20 Disember tahun ini untuk melakukan pengesahan terbabit bagi mengakses ciri eWallet TnG.

Kegagalan melakukan sedemikian akan meletakkan pengguna dalam risiko kehilangan akses kepada eWallet pada masa akan datang.


Pengguna Tanpa eKYC Akan Hilang Akses Secara Berperingkat

Dalam satu kenyataan di laman webnya, Touch ‘n Go Sdn Bhd memaklumkan pengguna tanpa pengesahan eKYC hanya boleh mempunyai baki eWallet yang rendah.

Selain itu, mereka juga hanya dapat mengakses ciri pembayaran asas dan tol, termasuk tambah nilai NFC dan RFID.

“Dengan implementasi eKYC sepenuhnya pada 20 Disember, semua pengguna baharu akan diwajibkan melakukan pengesahan eKYC untuk menggunakan eWallet TNG,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, pengguna tanpa eKYC akan berdepan sekatan yang semakin bertambah sehingga eWallet TNG mereka disahkan sepenuhnya. Jika tidak disahkan, akses kepada eWallet tersebut akan disekat sepenuhnya.


TNG Digital Ingin Jadi Platform eWallet Pertama Di Malaysia Laksana eKYC 100%

Pada awal tahun ini, TNG Digital berkata ia ingin menjadi platform eWallet pertama dalam negara yang melaksanakan eKYC sepenuhnya bagi meningkatkan keselamatan pengguna dan menunjukkan komitmen terhadap pematuhan peraturan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO TnG Digital) Alan Ni berkata tindakan itu juga akan mengurangkan risiko pengambilalihan akaun.

Dia mendakwa bahawa penguatkuasaan eKYC membolehkan eWallet TNG untuk mengekalkan kadar penipuan yang sangat rendah iaitu 90% kurang berbanding kadar penipuan purata untuk pembayaran kad dalam pasaran.

Terdahulu, pengguna telah diberi masa selama 10 bulan untuk melakukan pengesahan eKYC bagi eWallet TNG yang dirancang dijalankan sepenuhnya bermula 20 Disember.


Pengguna eKYC Dapat Faedah Berbanding Tiada Pengesahan

Untuk info, eKYC merupakan proses yang membolehkan pengguna mengesahkan identiti mereka secara digital dengan mudah.

Pengguna hanya perlu memuat naik gambar dokumen pengenalan dan mengambil gambar ‘selfie’ bagi pengecaman muka. Kedua-duanya akan dipadankan bagi mengesahkan identiti.

Setelah disahkan, pengguna akan mendapat perlindungan yang dipertingkatkan dengan mengurangkan risiko penipuan dan akses tanpa kebenaran.

Untuk melakukan pengesahan eKYC bagi eWallet TNG, pengguna boleh menekan pada butang ‘Not Verified’ di halaman profil. Bagi warganegara Malaysia, mereka boleh menggunakan MyKad atau MyTentera, manakala bukan warganegara termasuk pemegang kad MyPR perlu menggunakan pasport.

Setelah pengesahan eKYC dilakukan, pengguna akan mendapat faedah berikut:

  • Money-back Guarantee: Perlindungan terhadap sebarang transaksi tanpa kebenaran yang berlaku tanpa penglibatan pengguna.
  • Had eWallet yang lebih tinggi berbanding baki bagi pengguna tiada eKYC.
  • Ciri pemindahan: Hantar wang dengan mudah kepada pengguna lain.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd