Now Reading
SPRM Tahan 45 Pegawai & Anggota PDRM Dari Januari Hingga September 2024

SPRM Tahan 45 Pegawai & Anggota PDRM Dari Januari Hingga September 2024

Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan seramai 13 daripada jumlah itu telah disabitkan kesalahan dalam tempoh sembilan bulan tersebut.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum sedia maklum, fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bagi mengendalikan kes-kes seperti termaktub di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, iaitu berkait rasuah dan salahguna kuasa.

Merupakan sebuah badan tunggal dan bebas, SPRM mempunyai kuasa untuk menyiasat sesiapa sahaja yang terkait dengan kesalahan berkaitan, termasuklah barisan kepimpinan negara serta pihak berkuasa seperti polis, tentera dan sebagainya.

Baca Artikel Berkaitan: SPRM Rampas Hampir RM800,000 Di Rumah 2 Pegawai Imigresen Gred Rendah Ketika Serbuan


45 Pegawai & Anggota Polis Disyaki Menerima Suapan & Salah Guna Kuasa

Semalam (20 November), Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, memaklumkan seramai 45 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ditahan SPRM bagi tempoh Januari sehingga September lalu.

Tahanan tersebut dibuat kerana kesemua anggota dan pegawai berkenaan disyaki menerima suapan dan salah guna kuasa.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah PDRM sempena Hari Integriti PDRM di Bukit Aman, Kuala Lumpur.


13 Pegawai & Anggota PDRM Disabit Kesalahan

Tambah Ayob Khan, 27 pegawai dan anggota polis telah didakwa di mahkamah atas kesalahan berkenaan dengan 13 daripada mereka disabitkan kesalahan dalam tempoh sembilan bulan itu.

“Bagi tempoh itu juga Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman telah membuka 1,557 kertas siasatan tatatertib dan 1,118 kertas enkuiri tatatertib terhadap anggota serta pegawai yang disyaki melanggar peraturan,” kata dipetik Awani.


“Tindakan Tegas Dikenakan Tanpa Mengira Pangkat & Jawatan” – Ayob Khan

Ayob Khan dalam masa sama mengingatkan barisan kepimpinan PDRM di semua peringkat agar mengenakan tindakan tegas ke atas semua pegawai dan anggota tanpa mengira pangkat dan jawatan apabila berkait kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

“Jangan kita sebagai pemimpin hanya mengambil tindakan ke atas pegawai polis berpangkat rendah sahaja manakala tiada tindakan diambil terhadap pegawai polis berpangkat tinggi.

“Jangan ada amalan dwistandard dalam mengambil tindakan terhadap pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam salah laku,” katanya.


51 Anggota & Pegawai Terima Sijil Penghargaan Kekalkan Integriti Tinggi

Ayob Khan turut menegaskan agar teladan baik ditunjukkan oleh barisan kepimpinan PDRM yang bukan sahaja diperhatikan dan dinilai oleh pegawai serta anggota lain, tetapi juga masyarakat umum.

Dalam pada itu, seramai 50 pegawai kanan dan pegawai rendah polis dianugerahkan Surat Penghargaan Tolak Rasuah.

Manakala sembilan daripada mereka menerima Sijil Penghargaan SPRM bagi usaha mereka mengekalkan integriti tinggi dengan melaporkan dan menolak rasuah.

“Seluruh warga PDRM harus gigih berpegang kepada keteguhan integriti dengan prinsip ‘zero tolerance’ terhadap pelaku rasuah dan salah guna kuasa. Ia bukan sahaja mampu memperkukuhkan kredibiliti pasukan malah menjamin kedaulatan pertiwi tercinta,” kata Ayob Khan.

Baca Artikel Berkaitan: “Jika Ditawar RM1 Juta, Dapat RM1 Juta” – SPRM Beri Ganjaran Jika Penjawat Awam Lapor Kes Rasuah

Baca Artikel Berkaitan: Individu Beli MC Palsu Dianggap Satu Kesalahan Rasuah – SPRM


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd