Now Reading
Israel Rompak Hampir 100 Lori Bantuan Makanan Ke Gaza, Hanya 11 Sampai Ke Destinasi

Israel Rompak Hampir 100 Lori Bantuan Makanan Ke Gaza, Hanya 11 Sampai Ke Destinasi

Israel telah mengarahkan konvoi lori tersebut untuk berlepas dalam notis singkat melalui laluan lintasan sempadan Kerem Shalom yang tidak biasa digunakan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Genosid di Palestin kini memasuki setahun satu bulan sejak dikatakan bermula pada Oktober tahun lalu. Jumlah penduduk yang terkorban hampir mencecah 44,000 dengan lebih 100,000 tercedera akibat serangan tentera Israel.

Malah, bukan tanah suci itu sahaja yang menjadi sasaran Israel, tetapi juga Lubnan yang bersempadan utara Palestin.

Pada 17 November, jurucakap Hezbollah Mohammad Afif telah terkorban dalam satu serangan Israel ke atas sebuah bangunan di ibu negara Lubnan, Beirut.

Baca Artikel Berkaitan: Jurucakap Hezbollah Terkorban Dalam Serangan Israel Di Lubnan


Konvoi Diarahkan Berlepas Dalam Notis Singkat Melalui Laluan Lain

Terbaharu, agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan Israel dengan secara kejamnya merompak hampir 100 lori bantuan yang membawa makanan untuk penduduk Palestin di Gaza pada Sabtu (16 November) lalu.

Pegawai Kanan Kecemasan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Louise Wateridge, menyifatkan insiden tersebut sebagai salah satu kerugian bantuan paling teruk dalam peperangan 13 bulan di sana.

Dia berkata konvoi lori tersebut membawa bantuan makanan yang disediakan oleh UNRWA dan Program Makanan Sedunia (WFP).

Konvoi itu bagaimanapun telah diberi notis singkat untuk berlepas oleh Israel melalui laluan lintasan sempadan Kerem Shalom yang tidak biasa digunakan.


Hanya 11 Lori Bantuan Terselamat Dari Serangan & Rompakan

Wateridge berkata 98 daripada 109 lori bantuan konvoi tersebut telah diserang dengan segelintir pemandu turut tercedera, menjadikan hanya 11 lori yang selamat tiba ke destinasi.

“Insiden ini menunjukkan keterukan cabaran akses dalam membawa bantuan ke Gaza selatan dan tengah,” katanya dipetik Reuters.

Tambahnya lagi, kekurangan makanan akan menjadi lebih kronik dan meletakkan nyawa 2 juta orang yang bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk terus hidup dalam bahaya jika tiada campur tangan segera diambil.

Menerusi hantaran oleh UNRWA di X, pemandu lori konvoi yang dirompak telah diacu senjata dan dipaksa untuk memunggah keluar bantuan.

Di samping itu, ia menjelaskan bahawa kesemua lapan bakeri di Deir al Balah dan Khan Younis yang dibantu oleh PBB telah berminggu-minggu beroperasi dalam kapasiti rendah akibat masalah kekurangan tepung kritikal.

“Pihak berkuasa Israel terus mengabaikan kewajipan undang-undang mereka di bawah undang-undang antarabangsa untuk memastikan keperluan asas populasi dipenuhi dan membantu dalam penghantaran bantuan secara selamat,” katanya.


20 Anggota Terlibat Rompakan Telah Dibunuh

Insiden rompakan itu telah disahkan oleh jurucakap WFP yang turut memaklumkan bahawa banyak laluan di Gaza tidak dapat digunakan akibat isu keselamatan.

Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri Hamas di Gaza berkata lebih 20 anggota geng yang terlibat dengan rompakan itu telah dibunuh dalam satu operasi oleh pasukan keselamatan Hamas dengan kerjasama jawatankuasa masyarakat.


Harga Makanan Melonjak Akibat Insiden Rompakan

Berdasarkan laporan oleh The Guardian, insiden itu telah menyebabkan harga barangan makanan melonjak tinggi.

Jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Margaret Harris, berkata rompakan ke atas konvoi itu menyebabkan kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan dan bantuan lain yang semakin sukar dibawa masuk ke Gaza.

Walaupun Amerika Syarikat pada bulan lepas menegaskan bahawa lebih banyak bantuan kemanusian harus dihantar ke 2.3 juta penduduk di Gaza, namun jumlah bantuan jatuh ke paras terendah dalam masa 11 bulan.

Untuk info, agensi bantuan memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 600 lori bantuan diperlukan untuk menghantar keperluan asas secukupnya ke Gaza. Namun secara purata, hanya 88 lori sehari yang dibenarkan masuk oleh Israel.

Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Terlibat Dalam Draf Resolusi Untuk Singkirkan Israel Sebagai Anggota PBB – PM

Baca Artikel Berkaitan: “Israel Haramkan UNRWA Di Palestin Strategi Nafikan Hak Penduduk Pulang Ke Tanah Air” – Wisma Putra


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd