Now Reading
“Haramkan Penggunaan Vape Secara Total”- Sultan Pahang

“Haramkan Penggunaan Vape Secara Total”- Sultan Pahang

Baginda bertitah demikian selepas menerima maklumat daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berhubung jumlah individu yang berada di bawah penguasaan agensi berkenaan di negeri Pahang.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Beberapa tahun belakangan ini, penggunaan rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape semakin banyak dilihat dalam kalangan masyarakat tidak kira lelaki atau wanita.

Lebih membimbangkan lagi, individu bawah umur juga terdedah dengan tabiat menghisap vape sehingga wujud kes di mana mereka terpaksa dimasukkan ke dalam hospital bagi menerima rawatan.

Mana tidaknya, peranti rokok eletronik ini dicipta dalam pelbagai bentuk, saiz, warna dan perisa cecair yang menarik perhatian termasuklah rekaan seakan-akan bentuk pen marker.

Baca Artikel Berkaitan: [Foto] Design Vape Seakan Marker Pen Bikin Ramai Keliru & Cetus Kebimbangan

Baca Artikel Berkaitan: Akta 852 Tentang Larangan Berkaitan Produk Tembakau, Ini Yang Patut Anda Tahu


Sultan Pahang Titah Vape Diharamkan

Baru-baru ini, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan dadah di negeri Pahang selepas menerima maklumat yang diterima daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Memetik laporan Astro Awani, terdapat 11,750 individu kini berada di bawah pengawasan agensi berkenaan. Daripada data itu, 57% adalah golongan anak muda dalam lingkungan umur 15 hingga 30 tahun.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: MalayMail)

Terkejut dengan angka berkenaan, Sultan Pahang menitahkan agar ibu bapa perlu menasihati anak-anak dan mengawasi setiap perilaku mereka.

“Sedihnya ia (penyalahgunaan dadah) melibatkan anak-anak kita sendiri, sudah sampai masanya ibu bapa di Pahang tidak kira anak terlibat atau tidak terlibat, bangkit untuk bantu dengan berilah nasihat sewajarnya kerana angka berkenaan membimbangkan, saya bimbang jika tidak diawasi mungkin bilangan penagih bertambah,” titah baginda.

Tambah baginda lagi, antara punca ketagihan adalah bermula dari rokok dan vape.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya terus menitahkan agar penggunaan vape diharamkan secara total.

“Ada beberapa daerah tertentu perlu diberi perhatian, antara sebab mereka terlibat antaranya bermula dengan rokok kemudian vape (rokok elektronik) yang rosakkan kesihatan. Saya akan nyatakan kepada pihak kerajaan supaya alat vape ini perlu diharamkan secara total,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menghadiri Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) 2024 semalam (18 November).


Menteri Hal Ehwal Agama Haramkan Vape Untuk Umat Islam

Terdahulu, di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut menegaskan bahawa penggunaan vape dalam kalangan umat Islam adalah HARAM.

Keputusan itu dibuat selepas mendapat kesepakatan bersama Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 21 Disember 2015 yang lalu.

Sumber: MalayMail

Beliau menjelaskan dari perspektif syarak bahawa keempat-empat mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali juga mengharamkan pengambilan bahan yang boleh memudaratkan tubuh badan termasuklah racun, kaca dan lain-lain.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah:

وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.

Walaupun ayat ini diturunkan berkenaan dengan perbelanjaan infāq fī sabīlillāh tetapi keumuman ayat ini merangkumi segala bentuk perbuatan yang membawa kepada kebinasaan, sebagaimana dijelaskan oleh al-Shawkani:

وَالحَقُّ أَنَّ الاِعْتِبَارَ بِعُمُوْمِ اللَّفْظِ لاَ بِخُصُوْصِ السَّبَبِ فَكُلُّ مَا صَدَقَ عَلَيْهِ أَنَّهُ تَهْلُكَةٌ فِيْ الدِّيْنِ أَوْ الدُنْيَا فَهُوَ دَاخِلٌ فِي هَذَا وَبِهِ قَالَ ابْنُ جَرِيْرِ الطَّبَرِيُّ

Maksudnya: Dan yang sebenarnya ialah pengajaran itu diambil melalui keumuman lafaz, bukan melalui sebab penurunan (ayat) secara khusus. Maka setiap perkara yang menepati maksud kebinasaan sama ada terhadap agama atau dunia, maka ia termasuk dalam umum ayat ini. Dan ini jugalah yang dipegang oleh Ibn Jarir al-Tabari.

Baca Artikel Berkaitan: “Vape Tetap Haram Untuk Umat Islam” – Menteri Hal Ehwal Agama

Baca Artikel Berkaitan: Isetan Letak Rokok Di Seksyen ‘Non-Halal’ Undang Perhatian Ramai

Baca Artikel Berkaitan: “Nak Letak Di Mana, Terpulang” – Mufti Kelantan Respon Cadangan Letak Rokok Di Bahagian Tak Halal


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd