Melaka Tarik Balik Gelaran ‘Datuk’ CEO GISBH Nasruddin Mohd Ali Berkuatkuasa Serta Merta
Nasiruddin Mohd Ali pada 25 Ogos lalu telah dikurniakan dengan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Global Ikhwan Services and Business Holding Sdn Bhd (GISBH) merupakan satu nama yang tidak lagi asing dalam rata-rata masyarakat di Malaysia, terutamanya apabila didakwa terkait dengan ajaran sesat.
Sehubungan itu, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dalam satu mesyuarat yang berlangsung dari 24 hingga 26 September lalu mendapati bahawa ajaran GISBH adalah sesat.
Ini termasuklah ajaran memuliakan Asy Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi sebagai Imam Mahdi dan mengangkat Ashaari Muhammad sebagai pembantu Imam Mahdi.
Baca Artikel Berkaitan: “Saya Sokong MKI Isytihar GISB Sesat” – Anak Pengasas Al-Arqam
YDPN Melaka Arahkan Darjah Kebesaran Ditarik Balik
Dalam perkembangan terbaharu, darjah kebesaran Melaka yang membawa gelaran Datuk telah ditarik balik serta-merta daripada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali.
Menerusi satu kenyataan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad, arahan tersebut telah dikeluarkan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam selepas mendapat nasihat Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Untuk info, Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk telah dianugerahkan kepada Nasiruddin pada 25 Ogos lalu.
Nasiruddin Perlu Pulang Semula Darjah Kebesaran Kepada Pejabat SUK Melaka
Sehubungan itu, nama Nasiruddin telah dikeluarkan daripada senarai Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2024, lapor Berita Harian.
“Penarikan balik darjah kebesaran ini selaras dengan kuasa prerogatif Yang di-Pertua Negeri Melaka dalam Perkara 34B, Bahagian IV, Perlembagaan Negeri Melaka.
“Oleh yang demikian, Nasiruddin Mohd Ali tidak dibenarkan mengguna pakai gelaran terbabit dan beliau dikehendaki memulangkan semula darjah kebesaran itu kepada Pejabat SUK Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh,” kata Azhar dipetik Berita Harian.
Melaka Isytihar GISBH Sesat
Sebagai info, Melaka pada 14 Oktober lalu telah mengisytiharkan GISBH sebagai sesat. Ini menjadikannya negeri keempat melakukan sedemikian selepas Perlis, Selangor dan Pahang.
Menurut Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, ajaran dan amalan dalam GISBH mempunyai ciri persamaan dengan elemen terkait ajaran Al-Arqam.
“Kita melihat ada beberapa perkara iaitu dalam elemen GISBH dan mungkin ada beberapa elemen lain ada juga serpihan-serpihan daripada kumpulan Al-Arqam khususnya daripada keluarga Ashaari Muhammad.
“Ada juga persamaan ciri-ciri yang dipegang oleh pengikut-pengikut bekas Al-Arqam dan Rufaqa,” katanya.
Al-Arqam sebelum ini telah difatwakan haram pada 1994, sebelum dijenamakan semula sebagai syarikat Rufaqa Corporation Sdn Bhd (SRC). SRC juga telah difatwakan haram pada 2007.
Baca Artikel Berkaitan: Sering Dikait Dengan Kumpulan Al-Arqam, Ini Sejarah Penubuhan GISBH
Baca Artikel Berkaitan: GISBH Diisytihar Sebagai Ajaran Sesat – Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.