Kementerian Kewangan Perjelas 3 Faktor Sebabkan FashionValet Gagal
Antara punca FashionValet (FV) mengalami kerugian adalah disebabkan oleh cabaran untuk mencari suntikan dana serta kesan pandemik Covid-19.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kontroversi melibatkan pelaburan oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) terhadap laman e-dagang FashionValet (FV) berjumlah RM47 juta telah mencetuskan perdebatan masyarakat Malaysia.
Kerugian yang dialami berjumlah RM43.9 juta itu semakin membuat ramai bengang kerana ia melibatkan dana awam.
Susulan tular pengumuman tersebut, pengasas FV iaitu Datin Vivy Yusof serta suami, Datuk Fadzarudin Shah Anuar telah memohon maaf dan melepaskan jawatan dalam syarikat mereka itu.
Namun, ada pula sesetengah pihak yang menyifatkan tindakan mereka mahu berundur seolah-olah mahu ‘melarikan diri’.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] “Fitnah Tanpa Sebab” – Aireen Omar Jelaskan Tiada Skandal Kewangan Dalam FashionValet
Baca Artikel Berkaitan: Timbalan Speaker Dewan Parlimen Luah Rasa Kecewa Dengan Kerugian Dana Awam FashionValet
Kerajaan Dedah Tiga Faktor Menyebabkan FashionValet Alami Kerugian
Terbaharu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Bukit Bendera Syarleen Abdul Rashid di Dewan Rakyat semalam (14 November) mendedahkan terdapat tiga faktor yang menjadi punca kepada kerugian yang dialami oleh FV.
Memetik laporan Berita Harian, antara tiga sebab itu adalah:
#1. Kesan Daripada Pandemik Covid-19

Jelas beliau, pandemik Covid-19 yang berlaku telah menghalang perniagaan tersebut untuk beroperasi secara fizikal kerana sudah kurang mendapat sambutan.
Ia sekaligus menyebabkan pasaran untuk pakaian premium termasuklah penjualan tudung mereka menunjukkan penurunan yang mendadak.
“Ketika FashionValet ingin mencapai aspirasi untuk menjadi platform membeli-belah pelbagai saluran, ia telah menambah bilangan kedai fizikal secara pesat.
“Namun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semasa COVID19 menghalang perniagaan fizikal dan mengakibatkan pasaran untuk pakaian premium, termasuk tudung, merosot dengan ketara,” kata Amir Hamzah.
#2. Perubahan Trend Platform E-dagang

Dengan adanya pelbagai alternatif mudah akses terutamanya melibatkan media sosial seperti Facebook telah menyebabkan FashionValet telah mendapat saingan hebat sebagai platform fesyen e-dagang.
Ia sekaligus mengakibatkan FV terpaksa menghentikan operasi mereka dan hanya memberi tumpuan kepada dua jenama tersendiri iaitu dUCk dan LILIT.
“Oleh itu, platform FashionValet terpaksa ditutup dan seterusnya beralih fokus kepada jenama sendiri iaitu dUCk dan LILIT,” jelas Hamzah.
Baca Artikel Berkaitan: Vivy Yusof ‘Buka Mulut’ Isu Penutupan Operasi FashionValet
#3. Cabaran Dari Segi Pengumpulan Dana

Oleh kerana dua punca ini telah menyekat aliran tunai FV, ia menjadi sebab mengapa syarikat itu semakin sukar untuk mendapatkan dana.
Cabaran ini juga mengakibatkan pemegang saham sedia ada iaiu Khazanah dan PNB tidak bersetuju untuk mengambil risiko dengan menyuntik lagi pelaburan ke dalam FashionValet.
Ia sekaligus mengakibatkan kedua-dua syarikat ini menjual saham mereka dan menarik diri dalam platform e-dagang tersebut.
“Faktor terakhir dari segi cabaran pengumpulan dana di mana semua cabaran ini telah menyebabkan kekangan aliran tunai kepada FashionValet.
“Ia berusaha mengumpulkan dana baharu untuk menangani masalah ini, tetapi pemegang saham sedia ada termasuk Khazanah dan PNB tidak bersetuju untuk mengambil risiko tambahan dengan menambah pelaburan dalam Fashion Valet.
“Malah, pasaran pengumpulan dana yang mencabar ketika itu menyebabkan proses pengumpulan dana dijalankan FashionValet tidak berjaya,” katanya.
SPRM Kesan Transaksi Akaun Meragukan Sejak 2018
Siasatan SPRM berhubung kes FashionValet baru-baru ini menemukan beberapa transaksi meragukan melibatkan kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta itu.
Berdasarkan siasatan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menjelaskan transaksi mencurigakan itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu daripada sebuah syarikat dan beberapa pihak lain.
Beliau turut mendakwa bahawa sebahagian daripada pelaburan yang diterima telah disalah guna.
“Kita melihat kepada aliran punca kewangan dan sebab kemasukan dan ke mana wang itu dibelanjakan bagi melihat adakah terdapat unsur jenayah rasuah atau kesalahan lain membabitkan penipuan.
“Namun, kita percaya ada sebahagian pelaburan (diterima) yang disalah guna dalam hal ini, ini kita sedang kenal pasti,” jelas Azam.
Baca Artikel Berkaitan: SPRM Kesan Transaksi Akaun Meragukan Sejak 2018 Libatkan Isu Dana Pelaburan FashionValet
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.