Siti Nurhaliza Dianugerahkan Gelaran Biduanita Negara
Penganugerahan itu menjadikan Datuk Seri Siti Nurhaliza Biduanita Negara ketiga selepas Allahyarhamah Saloma dan Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Binti Tarudin, telah dianugerahkan dengan gelaran Biduanita Negara malam tadi (13 November).
Gelaran itu diterima menerusi Anugerah Khas Biduan Negara yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, di majlis Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 di Kuala Lumpur.
Dengan penganugerahan tersebut, Siti akan menerima wang tunai berjumlah RM30,000, kain songket, watikah serta trofi dan status sebagai Seniman Tamu.
“Seni Dapat Dekatkan Diri Dengan Masyarakat” – Siti Nurhaliza
Penyanyi tersohor negara yang mesra digelar Tok Ti itu turut menzahirkan penghargaan kepada mereka yang membantu dalam kerjaya seninya selama ini.
Tambah beliau lagi, pengiktirafan sebagai Biduanita Negara adalah satu anugerah yang besar baginya.
“Seni bukan semata-mata untuk mencipta nama tapi dapat dekatkan diri saya dengan masyarakat. Saya dapat bertemu peminat, pelbagai latar belakang, mendekati masyarakat pelbagai bangsa, memperkenalkan negara melalui persembahan di luar negara.
“Saya gembira kerana kerjaya seni ini telah mematangkan diri saya untuk memberikan inspirasi, contoh serta pengaruh yang baik dalam masyarakat,” katanya.
Siti dalam masa sama berharap agar hasil seni akan menjadi tanda atau prasasti untuk disantuni generasi muda akan datang pada suatu hari nanti.
Prinsip Siti Nurhaliza Dalam Kerja Harus Beri Sumbangan
Siti juga telah menyampaikan dua buah lagu di ASN 2024 sebelum menambah satu lagi persembahan di hujung majlis iaitu medley lagu popular beliau, lapor Awani.
Dalam ucapan ringkas yang disampaikan olehnya, beliau menyatakan komitmen berterusan dalam industri seni tanah air.
“Bagi saya, ini merupakan anugerah yang besar untuk saya. Prinsip saya dalam kerja atau apa yang saya lakukan, saya harus memberi sumbangan dan kita semua ada peranan dalam kerjaya kita.
“InsyaAllah saya akan terus berikan yang terbaik untuk industri muzik tanah air dan bawa muzik kita ke peringkat lebih jauh lagi, lebih tinggi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, turut mencemar duli hadir ke majlis ASN 2024.
“Ini Adalah Sumbangan Kecil Saya Dalam Bidang Seni” – Siti Nurhaliza
Menerusi hantaran di Instagram, Siti juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan, khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi.
“Ini adalah sumbangan kecil saya dalam bidang seni budaya khususnya seni suara untuk terus menjaga, memelihara warisan dan cerminan jiwa bangsa kita ini,” katanya.
Dalam kenyataan media itu, Siti juga melihat anugerah tersebut sebagai lambang penghargaan kepada semua insan seni yang memperjuangkan budaya dan muzik tanah air.
Beliau turut memegang pengiktirafan itu sebagai satu tanggungjawab untuk terus memartabatkan seni dan budaya negara, terutamanya dalam bidang muzik.
Di samping itu, Tok Ti berkata seni sebagai suatu perkara yang menghubungkan dan menyatukan masyarakat dunia tidak kira agama, bahasa, bangsa dan negara.
Seni adalah cerminan jiwa dan budaya suatu bangsa yang dapat menembus setiap perbezaan yang ada.
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Siti Nurhaliza Biduanita Negara Ketiga Malaysia
Menerusi penganugerahan tersebut, Siti menjadi Biduanita Negara ketiga selepas gelaran itu diberi kepada Allahyarhamah Saloma pada 1978 dan Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini pada 2006.
Manakala gelaran Biduan Negara pula telah dianugerahkan kepada Allahyarham Tan Sri SM Salim pada 2013.
Siti Nurhaliza Tersenarai Dalam ‘The Muslim 500’ Selama 8 Tahun
Sebagai info, Biduanita Negara itu sebelum ini menjadi artis ketiga dari Asia yang mengadakan persembahan di Royal Albert Hall, London sejak 1871.
Lebih menakjubkan lagi, beliau telah tersenarai sebagai 500 Individu Muslim Paling Berpengaruh Di Dunia dari tahun 2015 hingga 2022 atas sumbangannya dalam bidang Kebudayaan dan Kesenian.
Pada tahun 2010 pula, Siti telah mengasaskan produk kecantikan dan kesihatannya, SimplySiti, sekaligus menjadikan beliau perintis kepada kecantikan halal.
Di samping itu, beliau juga merupakan seorang individu yang terkenal dengan sikap dermawan serta menubuhkan Yayasan Nurjiwa bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Malah, Lembaga Zakat Selangor pada tahun lepas mendedahkan Siti sebagai penyanyi dalam negara yang membuat bayaran zakat tertinggi.
Kejayaan dan kebolehan Biduanita Negara ketiga ini sememangnya terbukti sehingga menjadi sumber rujukan dalam pelbagai kajian di dalam dan luar negara.
Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Kejayaan Siti Nurhaliza Sebagai Bukti Beliau Layak Digelar ‘Biduanita Negara’
Baca Artikel Berkaitan: Individu Kongsi 10 Kajian Tentang Siti Nurhaliza Yang Dihasilkan Penyelidik Dalam & Luar Negara
Baca Artikel Berkaitan: Siti Nurhaliza Pembayar Zakat Tertinggi Sebagai Penyanyi, Tak Culas Sejak 2019
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.