Polis Tembak Mati 4 Penjenayah Warga Vietnam, Disyaki Terbabit Dalam 44 Kes Tebuk Peti Besi
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata unit kediaman mewah yang diserbu malam tadi (12 November) dipercayai menjadi tempat suspek merancang jenayah dan bersembunyi.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kuala Lumpur malam tadi (12 November) telah menyerbu unit kediaman di tingkat 17, sebuah residensi mewah di Jalan Imbi, Bukit Bintang.
Sehubungan itu, empat penjenayah warga Vietnam ditembak mati dalam Operasi Tebuk (Op Tebuk) pada 11.30 malam itu.
Kumpulan tersebut disyaki terlibat dalam 44 kes tebuk peti besi di sekitar Lembah Klang sejak 2018.
Suspek Cuba Lepaskan Tembakan Terhadap Polis
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, suspek telah cuba melepaskan tembakan ke arah pihak polis.
Pihak polis kemudiannya menembak mati kesemua suspek bagi tujuan mempertahankan diri.
“Ketika proses melakukan tangkapan cuba dibuat, suspek dikesan melepaskan tembakan secara tiba-tiba sehingga berlaku situasi berbalas tembakan dan dalam usaha mempertahankan diri, polis dapat menembak mati kesemua mereka.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek bersenjatakan dua parang dan dua pistol yang digunakan untuk menyerang polis,” katanya dipetik Berita Harian.
Suspek Mengaut RM4.3 Juta Dari Jenayah Pecah Rumah & Pejabat
Menurut Rusdi, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai sering keluar dan masuk ke Malaysia.
Tambahnya lagi, sebanyak RM4.3 juta telah dikaut oleh suspek menerusi jenayah pecah rumah dan pecah pejabat sebelum menebuk peti besi yang terdapat di premis yang disasarkan.
Rusdi berkata sebelum melakukan jenayah sedemikian, kumpulan itu melakukan pemerhatian bagi menyasarkan pejabat dan rumah kediaman yang tidak berpenghuni.
“Kali terakhir suspek dilaporkan melakukan jenayah, yang terbaru dua hari lalu di Sri Hartamas, di sini sebelum kembali menyembunyikan diri di lokasi yang diserbu malam ini,” ujarnya.
Unit Kediaman Mewah Dipercayai Lokasi Merancang Jenayah & Bersembunyi
Dalam pada itu, pihak polis mempercayai bahawa unit kediaman mewah yang diserbu malam tadi menjadi tempat perancangan jenayah.
“Kita juga percaya mereka ini menjadikan unit kediaman mewah di sini sebagai tempat perancangan jenayah, berehat serta menyembunyikan diri.
“Daripada siasatan, suspek yang mempunyai pasport ini sangat popular (berbahaya) dan sangat susah untuk ditahan kerana kelicikan mereka,” katanya.
“Rakaman Wajah Pada CCTV Agak Sukar Dikenal Pasti” – Ketua Polis KL
Rusdi berkata jenayah dilakukan oleh suspek pada waktu malam dan tiada kesan yang ditinggalkan.
“Apabila wajah mereka terakam pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ianya agak sukar untuk dikenal pasti disebabkan mereka warga asing,” jelasnya.
Tambah Rusdi, PDRM sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengesan saki-baki kumpulan tersebut. Siasatan atas jenayah yang dilakukan suspek juga kini dalam proses dilengkapkan.
Mayat kesemua suspek telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.