[Video] Stor Perubatan Farmasi Di Hospital Papar Terbakar, Makmal Kajian Terkena Bahang Api
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata seramai 59 pesakit yang terkesan dengan kebakaran di Hospital Papar, salah seorang daripada mereka telah dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Semalam (11 November), media melaporkan stor farmasi di Hospital Papar, Sabah telah terbakar sekitar jam 7 malam tadi.
Insiden itu telah disahkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang menegaskan bahawa kesemua sumber ditumpukan bagi memastikan keselamatan pesakit dan kakitangan di hospital berkenaan.
Tambah beliau, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan mangsa telah dikeluarkan dari premis serta dibawa ke hospital berdekatan.
Difahamkan bahawa kebakaran yang melanda Hospital Papar melibatkan dua buah bangunan, iaitu stor perubatan farmasi dan bilik makmal kajian yang terkena bahangan api.
Kebakaran Dipadamkan Sepenuhnya Pada Jam 11 Malam
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Penolong Penguasa Bomba, Rozlan Osman berkata panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu diterima oleh pihaknya pada jam 7.02 malam.
Katanya, seramai 14 pegawai dan anggota bersama jentera, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian. BBP Kimanis turut membantu dalam operasi memadam kebakaran itu.
Sehubungan itu, khemah sementara telah didirikan bagi menempatkan mangsa yang terkesan dengan kebakaran di Hospital Papar malam tadi.
Ahli Parlimen Papar, Armizan Mohd Ali, berkata kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba pada jam 11 malam.
Selain daripada dua lokasi yang terbakar di hospital tersebut, dapur penyediaan makanan turut terjejas.
Armizan dalam pada itu berkata makanan dan minuman bagi pesakit akan dibekalkan buat sementara waktu oleh Pejabat Parlimen Papar sehingga pihak hospital dapat menyediakannya menerusi pembekal luar.
Bau Bahan Kimia & Ubatan Yang Terbakar Dapat Dihidu
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, walaupun kebakaran telah dikawal sepenuhnya, terdapat bau bahan kimia dan ubatan yang boleh dihidu.
“Walaupun kebakaran dapat dikawal sepenuhnya, bau bahan kimia dan ubatan yang musnah dalam kebakaran masih terhidu. Pegawai Farmasi telah menasihati orang awam agar berhati-hati, bimbang ada bahan kimia yang masih aktif.
“Pesakit yang menerima rawatan daripada Unit Kecemasan akan dipindahkan ke Hospital Beaufort kerana wad di Hospital Papar telah penuh,” katanya.
Tambahnya lagi, Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO yang berdekatan telah diminta untuk hadir ke lokasi bagi membantu pesakit dan kakitangan hospital dan telah berada di sana sekurang-kurangnya hingga jam 12.40 pagi tadi (12 November).
Sejumlah 59 Pesakit Terkesan Dengan Kebakaran Di Hospital Papar
Dalam perkembangan terkini, Dr Dzulkefly menyenaraikan maklumat keadaan mangsa insiden yang diterima daripada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk lndera Dr Nor Azimi Yunus.
Terdapat lapan individu yang telah dibawa ke Jabatan Kecemasan, salah seorangnya yang merupakan pesakit zon merah telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Tiga pesakit kuning sedang menunggu untuk dipindahkan ke HQE, manakala empat lagi masih berada di kawasan khemah luar hospital setakat 7 pagi tadi.
Selain itu, terdapat seramai 51 orang pesakit lain yang turut terkesan. 19 pesakit lelaki ditempatkan sementara di dalam Dewan Bedah, 14 wanita ditempatkan sementara di wad materniti, 14 kanak-kanak kekal di wad kanak-kanak dan 4 pesakit materniti (2 pos natal) kekal di wad materniti.
Dalam pada itu, beliau berkata punca kejadian masih dalam siasatan dan kerugian sedang dianalisa.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.