Now Reading
[Video] Kedai Aiskrim Di Klang Dirompak, 2 Telefon Pintar & Mesin Juruwang Diambil

[Video] Kedai Aiskrim Di Klang Dirompak, 2 Telefon Pintar & Mesin Juruwang Diambil

Insiden tersebut telah dilaporkan kepada pihak polis pada 24 Oktober lalu yang menyebabkan seorang suspek lelaki tempatan ditahan serta dikenakan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kes jenayah malangnya bukanlah suatu perkara yang asing di Malaysia. Dari insiden meragut dan merompak hinggalah ke mendatangkan kecederaan, kes sedemikian pasti ada dilaporkan oleh media saban minggu.

Sebelum ini, seorang individu yang bekerja berseorangan di sebuah kedai aiskrim yang dirompak telah ditikam di bahagian perut.

Seorang warga emas mengalami kecederaan parah selepas diragut sehingga terjatuh di atas jalan tar sewaktu berjalan kaki untuk ke kedai berhampiran kediamannya.

Baca Artikel Berkaitan: Kedai Aiskrim Di Taman Sri Muda Dirompak, Mangsa Ditikam 8 Kali Pada Bahagian Perut

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Warga Emas Cedera Parah Akibat Diragut Ketika Mahu Beli Surat Khabar


3 Pelanggan Berada Di Kedai Aiskrim Sewaktu Premis Dirompak

Baru-baru ini, tular di media sosial video rakaman satu kejadian rompakan di sebuah kedai aiskrim di Jalan Besar Pandamaran Kawasan 12, Pelabuhan Klang, Selangor.

Melihat pada maklumat di rakaman CCTV tersebut, kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 7.48 malam pada 23 Oktober lalu.

Menerusi rakaman CCTV terbabit, kelihatan seorang wanita bersama dua budak lelaki dipercayai anaknya, sedang berada di kaunter apabila seorang lelaki tiba-tiba masuk ke kedai.

Lelaki yang memakai pelitup muka itu terus merampas telefon pintar yang dipegang oleh kanak-kanak lelaki berbaju kuning sebelum menolaknya.


Lelaki Bersenjata Rompak Mesin Juruwang Di Kaunter

Dia kemudiannya mengarahkan keluarga itu untuk bergerak ke arah belakang kedai sebelum bergelut dengan kanak-kanak berbaju kelabu untuk mengambil telefon pintarnya.

Ibu kanak-kanak terbabit cuba untuk menghalang perkara berkenaan, namun telah terjatuh dan dikasari lelaki berkenaan.

Dalam masa sama, menerusi rakaman CCTV lain, kelihatan seorang lagi lelaki yang memakai jaket hitam dan pelitup muka masuk ke kedai membawa senjata berupa parang.

Dia telah menetak wayar mesin juruwang di meja kaunter sebelum membawa lari mesin terbabit.

https://twitter.com/update11111/status/1855398642162733241

Menurut seorang pengguna X, premis berkenaan terletak hanya 200 meter dari sebuah balai polis berhampiran.


Laporan Polis Dibuat Oleh Pekerja Premis

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, insiden itu telah dilaporkan oleh seorang pekerja di premis berkenaan.

“Siasatan mendapati ketika kejadian premis berkenaan didatangi dua individu bersenjatakan parang, suspek turut bertindak menolak sebelum merampas dua telefon bimbit milik pelanggan.

“Salah seorang suspek kemudiannya menetak wayar mesin wang di bahagian kaunter premis menjual aiskrim itu serta mengambilnya sebelum bertindak melarikan diri menggunakan kereta jenis Proton Iriz berwarna biru,” katanya dipetik Awani.


Seorang Suspek Didakwa, Dihukum Penjara 5 Tahun & 1 Sebatan

Sehubungan itu, seorang lelaki warga tempatan berumur 46 tahun yang terlibat dalam kejadian itu telah ditahan pada 24 Oktober lalu di sebuah rumah di Jalan Jagung, Pandamaran.

“Polis turut merampas pakaian serta parang digunakan ketika kejadian, semakan dijalankan mendapati suspek memiliki 14 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” tambahnya.

Fong berkata suspek telah dituduh di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Klang pada 30 Oktober lalu.

Tertuduh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi tiga pertuduhan dengan hukuman berjalan serentak.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd