Pelajar UPNM Dipijak Senior Hingga Cedera Parah, Kementerian Pertahanan Serah Siasatan Pada PDRM
Kejadian pada 10.45 malam 21 Oktober 2024, di Kem Sungai Besi UPNM itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menjadi buah mulut apabila satu insiden buli menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Pada 23 Julai lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam pesalah kes terbabit.
Namun baru-baru ini, timbul lagi beberapa dakwaan membabitkan penuntut di institusi tersebut yang dibuli sehingga tercedera.
Baca Artikel Berkaitan: [Terkini] Kes Kematian Zulfarhan: 6 Bekas Penuntut UPNM Dihukum Gantung
Baca Artikel Berkaitan: “Ingatkan Kes Arwah Yang Terakhir” – Bapa Zulfarhan Ulas Insiden Pelajar UPNM Didakwa Ditekap Seterika
PDRM Sahkan Terima Laporan Pelajar UPNM Dibuli Hingga Cedera Parah
Terbaharu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Bin Mohd Isa, menerusi kenyataan media mengesahkan bahawa satu laporan polis mengenai kejadian buli di institusi sama telah dibuat pada 8 November lalu.
Kenyataan media menjelaskan bahawa seorang pelajar tahun satu UPNM di Kem Sungai Besi telah dipijak sehingga cedera parah.
“Kejadian dilaporkan berlaku pada 21 Oktober 2024, jam 10.45 malam, ketika mangsa berada di tepi padang kawad setelah selesai panggil nama,” katanya.
Mangsa yang merupakan seorang lelaki Melayu berumur 19 tahun dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga sehingga mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Dia kini sedang mendapatkan rawatan di hospital atas kecederaan yang dialami.
“Kementerian Pertahanan Serah Kepada PDRM” – Khaled Nordin
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di X berkata pihaknya menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyempurnakan siasatan.
Beliau menegaskan bahawa insiden sedemikian tidak wajar serta merosakkan imej UPNM dan institusi pendidikan tinggi.
“Pihak saya dan Kementerian Pertahanan akan memberi sepenuh kerjasama dan perhatian dalam perkara ini,” ujarnya.
Orang ramai dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden sementara siasatan diselesaikan oleh pihak PDRM di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera parah.
Seorang Lagi Penuntut UPNM Didakwa Didera Dengan Seterika Hingga Melecur
Sebelum ini, masyarakat dikejutkan dengan berita satu lagi dakwaan penuntut UPNM, Kem Sungai Besi didera.
Seorang pegawai kadet tahun dua Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) dipercayai dibuli oleh pelajar senior dengan menggunakan seterika yang ditekap pada bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.
Pihak polis bagaimanapun melaporkan bahawa gurauan secara keterlaluan disyaki punca kejadian tersebut berlaku pada 22 Oktober lalu.
“Tiada motif sebenarnya, tidak ada dendam, pergaduhan atau buli. Hanya bergurau, nak kata ‘ragging’ tak juga, itu bukan ‘ragging’. Bila ada benda-benda berbahaya ni seperti senjata atau barang panas jangan sesekali bermain (bergurau), ini kali pertama mangsa kena,” ujar Rusdi.
Di samping itu, peguam Datuk Ahmad Zahiril Muhaiyar pernah dilaporkan ingin membuka semula kes kematian seorang lagi penuntut UPNM, Amirul Nashriq Othman yang meninggal dunia kurang setahun selepas arwah Zulfarhan iaitu pada 24 Mac 2018 akibat lemas.
Ibu bapa mangsa mendakwa terdapat unsur penderaan terhadap anak mereka yang berusia 19 tahun itu sebelum dia meninggal dunia.
Baca Artikel Berkaitan: “Ini Adalah Kegilaan” – Anwar Ibrahim Ulas Dakwaan Kes Buli Di UPNM
Baca Artikel Berkaitan: Peguam Jenayah Terkenal Ingin Buka Semula Kes Mati Lemas Penuntut UPNM, Amirul Nashriq
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.