SPRM Kesan Transaksi Akaun Meragukan Sejak 2018 Libatkan Isu Dana Pelaburan FashionValet
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mendedahkan adanya transaksi akaun mencurigakan melibatkan dana pelaburan FashionValet itu sejak 2018 hingga 2023.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kontroversi melibatkan kerugian dana pelaburan milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet (FV) yang bernilai RM43.9 juta masih belum bertemu titik noktahnya.
Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin lalu (4 November) telah membuat serbuan melibatkan empat lokasi terlibat termasuklah  ibu pejabat FV, Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Pengasas kepada platform e-dagang FV iaitu Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar pada Selasa lalu (5 November) kemudiannya dilihat hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberikan keterangan.
Baca Artikel Berkaitan: Timbalan Speaker Dewan Parlimen Luah Rasa Kecewa Dengan Kerugian Dana Awam FashionValet
Baca Artikel Berkaitan: Khazanah, PNB & FashionValet Perlu Beri Penjelasan Libatkan Kerugian RM43.9 Juta Dalam Saham FV – Fahmi Fadzil
Baca Artikel Berkaitan: Kerugian Pelaburan FashionValet: Vivy & Suami Mohon Maaf, Lepas Jawatan Dalam FV
SPRM Kesan Transaksi Akaun Meragukan Sejak 2018
Memetik laporan Harian Metro, siasatan SPRM berhubung kes FashionValet ini menemukan beberapa transaksi meragukan melibatkan kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta itu.
Berdasarkan siasatan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menjelaskan transaksi mencurigakan itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu daripada sebuah syarikat dan beberapa pihak lain.
“Pasukan siasatan setakat ini merumuskan terdapat transaksi akaun meragukan daripada sebuah syarikat (dikaitkan dengan pasangan pengasas FashionValet) dan beberapa pihak lain yang disiasat.
“Kita juga berjaya mengesan beberapa transaksi kewangan mencurigakan. (Transaksi mencurigakan) ini bermula dari 2018 hingga 2023,” katanya.
Beliau turut mendakwa bahawa sebahagian daripada pelaburan yang diterima telah disalah guna.
“Kita melihat kepada aliran punca kewangan dan sebab kemasukan dan ke mana wang itu dibelanjakan bagi melihat adakah terdapat unsur jenayah rasuah atau kesalahan lain membabitkan penipuan.
“Namun, kita percaya ada sebahagian pelaburan (diterima) yang disalah guna dalam hal ini, ini kita sedang kenal pasti,” jelas Azam.
SPRM Dalam Peringkat Mengesan Barang Milik Vivy Dan Fadza Yang Ditayang Di Media Sosial
Ketua Pesuruhjaya SPRM ini turut menjelaskan bahawa pihak mereka kini sedang dalam peringkat untuk mengesan barangan milik pengasas FashionValet yang pernah ditunjukkan di media sosial sebelum ini.
“Mereka perlu memberi kerjasama bagi mengenal pasti barangan yang ditunjukkan sebelum ini dalam media sosial,” katanya.
Azam juga memberitahu bahawa pasangan tersebut tidak akan ditahan lagi buat masa ini oleh pihak SPRM kerana masih memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan.
Terdahulu, SPRM telah menggeledah kediaman pasangan tersebut dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan mewah bernilai RM200,000.
Malah, beberapa akaun bank persendirian dan milik syarikat juga telah dibekukan.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.