Kira-Kira 20% Warga Emas Di Terengganu Disahkan Hidap Diabetes – Pengarah JKNT
Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, prevalens diabetes dalam kalangan dewasa adalah lebih tinggi di Terengganu iaitu sebanyak 16% berbanding Malaysia (15.6%).
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Diabetes mellitus atau kencing manis merupakan salah satu penyakit yang banyak dihidap oleh rakyat Malaysia. Malah, ia menjadi antara salah satu daripada 10 punca utama kematian di dalam negara.
Di samping itu, data oleh Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) setakat 2021 mendedahkan bahawa jumlah penghidap kencing manis di Malaysia adalah yang kelima tertinggi di dunia.
24,000 Warga Emas Di Terengganu Disahkan Menghidap Diabetes
Terkini, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata sebanyak 24,000 daripada 115,000 warga emas di Terengganu disahkan menghidap penyakit diabetes setakat semalam (6 November).
Jumlah ini menjadikan sebanyak hampir 20% warga emas di negeri itu yang mengalami masalah kencing manis.
Menurutnya, lebih separuh daripada kira-kira 40,000 individu yang hadir ke klinik kesihatan di Terengganu bagi mendapatkan rawatan diabetes merupakan warga emas.
Beliau memetik data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, yang mendapati prevalens diabetes dalam kalangan dewasa (umur 18 tahun ke atas) di Terengganu adalah sebanyak 16% berbanding Malaysia (15.6%).
“Melihat kepada situasi di Terengganu, peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes khususnya dalam kalangan warga emas perlu ditangani secara holistik,” ujar beliau dipetik Awani.
JKNT Adakan Saringan Kesihatan Bagi Warga Emas
Tambah Kasemani, beberapa inisiatif telah dijalankan oleh pihaknya termasuk mengadakan program berkaitan bagi membantu individu untuk mengawal diabetes dengan lebih baik.
“Antaranya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengadakan saringan kesihatan warga emas di 25 klinik desa dan 55 klinik kesihatan di seluruh negeri.”
“Setiap klinik kesihatan juga menubuhkan kelab warga emas dan aktiviti kelab dijalankan oleh ahli sendiri dengan kerjasama petugas klinik kesihatan,” kata beliau.
Beliau berkata sedemikian selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Warga Emas dan Diabetes Peringkat Terengganu di Dewan Majlis Daerah Sungai Tarom semalam.
Diabetes Di Malaysia Tertinggi Di Asia Tenggara
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengingatkan rakyat agar lebih cakna tentang penjagaan kesihatan susulan jumlah penghidap diabetes di Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara.
Memandangkan obesiti boleh mengakitbatkan diabetes, beliau dalam masa sama turut mengingatkan orang ramai agar mengurangkan pengambilan karbohidrat dan melakukan senaman demi menurunkan berat badan.
Malah, beliau menekankan agar kandungan gula dalam makanan dan minuman bagi semua acara dan mesyuarat kerajaan dikurangkan sebanyak 50%.
Baca Artikel Berkaitan: “Diabetes Malaysia Tertinggi Di Asia Tenggara Bukan Perkara Membanggakan” – Perdana Menteri
Lakukan Ujian Tahap Gula Dalam Darah Jika Ada Simptom Diabetes
Untuk info, terdapat dua jenis diabetes tahap kronik iaitu Jenis 1 yang kebiasaannya bermula sejak kecil atau remaja, serta Jenis 2 yang banyak dihidap individu lebih 40 tahun.
Masalah kencing manis terjadi apabila pankreas tidak menghasilkan insulin yang mencukupi atau badan tidak dapat menggunakan insulin dengan efektif. Keadaan ini seterusnya meningkatkan kandungan gula dalam darah.
Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), masalah prediabetes merupakan risiko tambahan seseorang menghidap diabetes Jenis 2.
Selain itu, antara perkara yang mewujudkan risiko prediabetes dan diabetes Jenis 2 adalah:
- Mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti
- Berumur 45 tahun ke atas
- Mempunyai ibu bapa atau adik-beradik dengan diabetes Jenis 2
- Aktif secara fizikal kurang tiga kali seminggu
- Menghidap penyakit hati berlemak tanpa pengaruh alkohol (NAFLD)
- Pernah mengalami diabetes semasa hamil atau melahirkan bayi lebih 4kg.
Oleh itu, mereka yang berisiko menghidap diabetes perlulah sentiasa memantau simptom penyakit itu yang termasuk:
- Banyak kencing, terutamanya pada waktu malam
- Berasa sangat dahaga
- Berasa sangat lapar
- Berat badan berkurangan tanpa sebab
- Penglihatan kabur
- Tangan atau kaki berasa kebas dan semut-semut
- Rasa sangat letih
- Kulit sangat kering
- Mempunyai luka yang lambat sembuh
- Kerap mengalami jangkitan kuman berbanding biasa.
Jika terdapat mana-mana simptom di atas, CDC mencadangkan agar segera bertemu doktor untuk menjalani ujian tahap gula dalam darah.
Komplikasi Jangka Masa Panjang Boleh Timbul Jika Diabetes Tidak Dikawal
Diabetes yang tidak dikawal dan berpanjangan boleh menyebabkan komplikasi jangka masa panjang yang lebih berbahaya, malah sehingga menyebabkan maut.
Merujuk kepada laman web Mayo Clinic, antara komplikasi tersebut adalah:
- Penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung, strok dan saluran arteri menjadi sempit (atherosclerosis)
- Kerosakan saraf disebabkan oleh diabetes (diabetic neuropathy)
- Kerosakan buah pinggang disebabkan oleh diabetes (diabetic nephropathy)
- Kerosakan mata disebabkan oleh diabetes (diabetic retinopathy)
- Kerosakan kaki yang disebabkan oleh kerosakan saraf
- Masalah kulit dan mulut termasuk jangkitan bakteria dan kulat
- Masalah pendengaran
- Meningkatkan risiko dementia termasuk penyakit Alzheimer
- Tekanan yang berkaitan dengan diabetes
Memandangkan terdapat dua jenis diabetes kronik, cara rawatan bagi kedua-duanya adalah berbeza.
Pesakit yang menghidap diabetes Jenis 1 akan diberikan insulin serta menjalani pemeriksaan gula dalam darah secara berkala dan pengiraan karbohidrat. Di samping itu, sesetengah daripada mereka juga mungkin perlu menjalani pemindahan pankreas atau sel islet.
Bagi diabetes Jenis 2 pula, pesakit dirawat menerusi perubahan gaya hidup, pemantauan gula dalam darah serta pengambilan insulin dan ubat-ubatan.
Diingatkan bahawa tidak kira apa jenis diabetes sekalipun, penting bagi pesakit menjaga pengambilan makanan dan melakukan senaman berkala bagi mengawalnya.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] ‘Skin Tag’ Pada Kulit Boleh Jadi Petunjuk Masalah Diabetes
Baca Artikel Berkaitan: Masalah Obesiti Dialami Para Wanita Boleh Jadi Punca Hormon Terganggu
Baca Artikel Berkaitan: Doktor Dedah 4 Punca Pembuluh Darah Boleh Pecah
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.