Kereta Rempuh Suri Rumah Hingga Cedera Parah, Pemandu Dakwa Mahu Elak Kucing
Mangsa yang berusia 37 tahun dilaporkan telah menjalani pembedahan besar pada malam tadi dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Insentif di Hospital Melaka.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Seorang pemandu haruslah sentiasa berhati-hati dan mengawasi keadaan di sekeliling mereka agar tidak menyebabkan kemalangan pada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Namun kadangkala, ada pula individu ataupun haiwan yang secara tiba-tiba melintas jalan.
Apabila perkara ini berlaku, pemandu biasanya akan menekan brek secara drastik atau mengelak haiwan terbabit sehingga boleh menyebabkan kenderaan terbabas.
Suri Rumah Dirempuh Di Hadapan Rumah
Inilah yang terjadi malam semalam (6 November) apabila seorang pemandu sebuah kereta dikatakan ingin mengelak seekor kucing yang melintas jalan.
Akibat tindakannya itu, keretanya telah terbabas dan merempuh seorang suri rumah hingga cedera parah.
Dalam kejadian yang berlaku pada 11.41 malam tadi, mangsa, Yeo May Fong, dipercayai sedang berdiri di hadapan rumahnya di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, Melaka sebelum dirempuh.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, lelaki dan pinggul akibat rempuhan itu.
Pemandu Turut Rempuh Kereta Lain
Tambahnya, pemandu wanita yang berusia 29 tahun mendakwa di dalam laporan polisnya bahawa dia ketika itu sedang mengelak seekor kucing yang melintas jalan sebelum hilang kawalan ke atas kenderaannya.
Selain mangsa, pemandu itu turut melanggar sebuah kereta lain yang diletakkan di kawasan perumahan tersebut.
“Pemandu yang bekerja sebagai seorang penyelia juga tinggal di taman perumahan yang sama, manakala pemilik kereta lain yang berusia 37 tahun turut membuat laporan polis memandangkan kenderaannya juga mengalami kerosakan,” katanya dipetik The Star.
Mangsa Ditempatkan Di ICU Hospital Melaka
Christopher berkata insiden berkenaan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu “tanpa penjagaan dan perhatian yang sewajarnya atau tanpa pertimbangan munasabah untuk orang lain yang menggunakan jalan itu.”
Mangsa yang berusia 37 tahun dilaporkan telah menjalani pembedahan besar pada malam tadi dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Insentif di Hospital Melaka.
Tular Kereta Terbabas Akibat Elak Haiwan
Sekitar September lalu, tular satu video menyaksikan sebuah kereta terbabas ke dalam parit disebabkan mengelak monyet yang melintas jalan.
Seorang warga emas wanita juga sebelum ini maut akibat motosikal yang ditungganggnya terbabas, dipercayai kerana mengelak anjing.
Dalam satu video tular lain, kelihatan sekumpulan monyet dilanggar kereta akibat melintas di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Difahamkan tiada manusia yang tercedera dalam insiden terbabit.
Dapat disimpulkan bahawa wujudnya bahaya, sama ada terhadap pemandu atau pengguna jalan raya lain, apabila mengelak haiwan di jalan secara tiba-tiba.
Sebaliknya, kenderaan haruslah dipandu dalam had laju yang ditetapkan, lebih-lebih lagi di kawasan perumahan.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Video Kereta Masuk Parit, Rupanya Terbabas Elak Monyet Melintas
Baca Artikel Berkaitan: Nenek Maut Lepas Hantar Cucu Ke Sekolah, Dipercayai Motosikal Terbabas Elak Anjing
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Kereta Tak Sempat Brek Langgar Sekumpulan Monyet Melintas Di PLUS
Had Laju 30km/j Hanya Di Kawasan Sekolah
Untuk info, Malaysia menetapkan had laju kenderaan pada 30km/j di kawasan persekolahan, 60km/j di kawasan bandar, 90km/j di kawasan luar bandar dan 110km/j untuk lebuhraya.
Namun pakar keselamatan jalan raya, Prof Dr Kulanthayan KC Mani dari Universiti Putra Malaysia (UPM), mencadangkan agar had laju 30km/j turut diguna pakai di kawasan berdekatan sekolah, termasuk kawasan perumahan.
“Kenapa 30km/j? Ini kerana jika berlakunya kemalangan, jumlah daya yang boleh diterima oleh seseorang hanyalah hingga setakat itu,” katanya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.