“Tiada Motif Sebenarnya” – Gurauan Melampau Dipercayai Punca Pelajar UPNM Ditekap Seterika
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, siasatan mendapati mangsa pertama kali ditekap menggunakan seterika oleh pelajar senior terlibat.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sejak kebelakangan ini, kes dakwaan buli melibatkan seorang pegawai kadet tahun dua Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi bersama pelajar senior hangat diperkatakan di media sosial.
Menerusi dakwaan itu, pelajar tersebut disyaki didera menggunakan seterika yang ditekap pada bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.
Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi satu kenyataan turut mengesahkan perkara tersebut dan sedang menyiasat perkara ini di peringkat ALK-UPNM.
ATM turut menegaskan bahawa pihak mereka tidak akan sesekali melindungi atau bertolak ansur dengan individu yang terlibat dalam insiden ini.
Gurauan Melampau Dipercayai Punca Pelajar UPNM Ditekap Seterika
Semalam (5 November), Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata gurauan secara keterlaluan disyaki punca kejadian seorang pegawai kadet di UPNM ditekap seterika pada 22 Oktober lalu.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa, siasatan mendapati tidak wujud unsur dendam dan pergaduhan dalam insiden itu.
“Sebaliknya, kejadian berlaku tanpa motif apabila suspek bertanya kepada mangsa sama ada pernah cuba atau tidak (seterika) yang panas.
“Tiada motif sebenarnya, tidak ada dendam, pergaduhan atau buli. Hanya bergurau, nak kata ‘ragging’ tak juga, itu bukan ‘ragging’. Bila ada benda-benda berbahaya ni seperti senjata atau barang panas jangan sesekali bermain (bergurau), ini kali pertama mangsa kena,” ujar beliau.
Sedang Tunggu Laporan Perubatan Mangsa Terlibat
Tambah Rusdi, kertas siasatan kes telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dan pihak PDRM sedang menunggu arahan seterusnya.
“Polis telah merakam percakapan 16 individu termasuk pegawai kadet yang ditekap dan yang menekap seterika, rakan sebilik, jurulatih dan perakam video.
“Kami sudah melengkapkan siasatan namun masih menunggu laporan perubatan yang dijalankan ke atas pegawai kadet terbabit,” ulas Rusdi.
Bahan Bukti & Keterangan Sudah Dikumpul
Sehubungan itu, Rusdi berkata tiada keperluan sebarang tangkapan dilakukan kerana pihaknya sudah memperoleh bahan bukti dan keterangan daripada semua yang terbabit.
“Ia bergantung kepada kes, tangkapan dalam apa-apa sahaja siasatan tidak semestinya ditangkap pada masa itu, boleh juga ditangkap dan terus tuduh di mahkamah,” jelas beliau lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengulas tentang dakwaan kes buli ini. Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan perbuatan buli yang seolah-olah sudah menjadi satu budaya terutama di universiti dan institusi pendidikan di negara pada ketika ini.
Beliau juga menyifatkan kes buli ini sebagai ‘satu kegilaan’ yang tidak boleh dijadikan sebagai budaya dalam komuniti.
“Amalan seumpama itu (buli) tidak boleh berlaku dalam pusat ilmu apatah lagi menganggap sebagai satu budaya biasa. Apa masalah sampai begitu sekali,” ujar PMX.
Baca Artikel Berkaitan: “Ini Adalah Kegilaan” – Anwar Ibrahim Ulas Dakwaan Kes Buli Di UPNM
Baca Artikel Berkaitan: “Ingatkan Kes Arwah Yang Terakhir” – Bapa Zulfarhan Ulas Insiden Pelajar UPNM Didakwa Ditekap Seterika
Baca Artikel Berkaitan: [Terkini] Kes Kematian Zulfarhan: 6 Bekas Penuntut UPNM Dihukum Gantung
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram