Now Reading
Johor Sebagai Negeri Pertama Bakal Tawar Gaji Premium RM4,000 Ke RM5,000 – TMJ

Johor Sebagai Negeri Pertama Bakal Tawar Gaji Premium RM4,000 Ke RM5,000 – TMJ

Menurut Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, gaji premium bermula RM4,000 hingga RM5,000 itu akan ditawarkan kepada pekerja berkemahiran tinggi.

johor tawar gaji premium

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum mengetahui, topik tentang jumlah pendapatan dan gaji minima diterima tidak kira dalam sektor kerajaan atau swasta sering diperbedatkan di platform media sosial.

Penemuan Banci Ekonomi 2023 yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati Kuala Lumpur menjadi bandar yang menerima purata gaji sebulan paling tinggi berbanding yang lain iaitu sebanyak RM4,196.

Manakala, Kelantan menjadi negeri paling rendah yang purata gaji sebulan diterima pekerja dengan jumlah sebanyak RM2,070.

Baca Artikel Berkaitan: Purata Gaji Sebulan Pekerja Di Kuala Lumpur Paling Tinggi, Kelantan Terendah Di Malaysia


Johor Bakal Tawar Gaji Cecah RM5,000

Semalam (5 November), Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) menerusi ciapan di laman X (Twitter @HRHJohorII) bertitah bahawa Johor bakal menjadi negeri pertama di negara ini yang menawarkan gaji premium bermula RM4,000 dan RM5,000 kepada pekerja berkemahiran tinggi.

Ketetapan gaji ini dapat direalisasikan menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang telah dilancarkan pada Ahad lalu (3 November).


Projek Baru Di Johor Buka Akses Peluang Pekerjaan Yang Banyak

Titah baginda lagi, lebih banyak peluang pekerjaan baharu akan dapat diwujudkan beberapa tahun akan datang susulan langkah proaktif kerajaan Johor mempromosikan inisiatif penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor menerusi Johor Plantations Group Berhad (JPG) berjaya memeterai kerjasama dengan syarikat Jepun, Fuji Oil Asia Pte Ltd untuk membina kilang penapisan minyak sawit serta lemak khusus di negeri terbabit.

“Kerajaan Johor turut bertemu dengan 83 syarikat terkemuka di Korea Selatan untuk mempromosikan inisiatif penubuhan JS-SEZ dengan ia bakal membawa pelaburan strategik bernilai kira-kira RM893 juta (AS$190) ke negeri ini (Johor).

“Projek-projek baharu ini dijangka akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk bangsa Johor dalam beberapa tahun yang akan datang,” kata baginda.


Istana Besar Johor Akan Dinaik Taraf Untuk Tambah Nilai Pelancongan

Sementara itu, TMJ berkata Istana Besar Johor dan Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan akan turut dinaik taraf dalam masa terdekat ini.

“Kerja naik taraf akan dilakukan sebelum dua lokasi itu dibuka kepada umum sebagai usaha menambah nilai pelancongan di negeri ini.

“Kedua-dua Bangunan Sultan Ibrahim dan Istana Besar Johor mempunyai pelbagai sejarah Johor sejak abad ke-19,” kata TMJ lagi.


Ramai Puas Hati Dengar Tawaran Gaji Yang Tinggi Di Johor

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai khususnya penduduk di negeri Johor gembira dengan pengumuman tersebut.

“Alhamdulillah berita baik ni Tuanku! Saya harap ia tidak hanya tertumpu di Johor Bahru sahaja. Harap dapat diperluaskan ke seluruh daerah dalam Johor. Bolehlah saya berbakti di kampung halaman saya, Segamat,” kata seorang warganet.

Malah tawaran ini juga membuatkan orang ramai dari kawasan lain berniat untuk berpindah ke Johor.

“Tiba masa untuk pulang dan berbakti kepada negeri sendiri (Johor),” ujar seorang pengguna X.

Sementara itu, segelintir individu berpandangan langkah ini akan membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk menyumbang kemahiran masing-masing.

“Langkah baik dari Johor menyokong perkembangan industri yang memerlukan kemahiran supaya warga lokal juga mendapat tempat di negara sendiri. Tidak perlu ke luar negara untuk menyumbang kemahiran berkenaan,” jelas seorang lelaki.

Sumber: X (@HRHJohorII)

Baca Artikel Berkaitan: Belanjawan 2025: Gaji Minimum Naik Dari RM1,500 Kepada RM1,700

Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Pada Tangga Ke-4 Untuk Gaji Tertinggi Di Asia Tenggara


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd