Now Reading
“Kerajaan Mungkin Akan Pertimbang Cadangan Ocean Infinity Untuk Carian MH370” – Anthony Loke

“Kerajaan Mungkin Akan Pertimbang Cadangan Ocean Infinity Untuk Carian MH370” – Anthony Loke

Pencarian MH370 oleh Ocean Infinity akan dijalankan atas dasar ‘no find, no fee’, iaitu tiada pembayaran perlu dilakukan oleh kerajaan jika sisa pesawat tidak berjaya ditemui.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Penerbangan MH370 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Mac 2014 dijadualkan untuk tiba di Beijing, China.

Pesawat yang membawa 239 penumpang dan kru itu bagaimanapun telah hilang daripada radar kurang sejam selepas berlepas. Ia dipercayai telah berpatah balik ke ruang udara utara Malaysia sebelum dipercayai bergerak ke selatan Lautan Hindi.

Walaupun pelbagai usaha carian telah dilakukan secara meluas, namun pesawat Boeing 777-200ER itu masih tidak ditemui dan kekal sebagai misteri sehingga kini.


Kerajaan Mungkin Pertimbangkan Cadangan Ocean Infinity

Terkini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan bahawa kerajaan mungkin akan mempertimbangkan cadangan dari syarikat penerokaan marin, Ocean Infinity, mengenai lokasi carian baharu bagi MH370.

“Lokasi carian baharu yang dicadangkan oleh syarikat Ocean Infinity adalah berdasarkan kepada maklumat dan analisis data terkini oleh pakar dan penyelidik yang dirujuk syarikat tersebut,” katanya sewaktu sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini (5 November).

Tambah Loke, cadangan Ocean Infinity bagi operasi pencarian itu ialah dapat dipercayai dan boleh dipertimbangkan oleh kerajaan Malaysia dalam kapasitinya sebagai negara di mana penerbangan MH370 didaftarkan.

Dia berkata sedemikian sebagai maklum balas kepada soalan oleh Ahli Parlimen Kampar, Chong Zemin, sama ada kerajaan akan meneruskan pencarian pesawat tersebut.

Kata Loke, pendirian konsisten kerajaan adalah akan mempertimbangkan operasi pencarian selanjutnya jika terdapat bukti yang boleh dipercayai.

Sumber gambar: Fail TRP

Pencarian Atas Dasar ‘No Find, No Fee’

Ocean Infinity sebelum ini telah memberi cadangan tersebut yang sedang dipertimbangkan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) pada Jun lalu.

Menurut Loke, lokasi pencarian baharu tersebut dianggarkan merangkumi sekitar 15,000 kilometer persegi di Lautan Hindi.

Tambahnya lagi, pencarian itu akan dijalankan atas dasar ‘no find, no fee’, iaitu tiada pembayaran perlu dilakukan oleh kerajaan jika syarikat tersebut tidak berjaya menemukan sisa pesawat MH370.

Pada Mac lalu, firma yang berpusat di Texas, Amerika Syarikat itu membuat dakwaan telah menemukakan bukti saintifik baharu berkenaan lokasi terakhir MH370.


Ocean Infinity Pernah Lakukan Pencarian Tanpa Bayaran Pada 2018

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Mac lalu bahawa negara bersedia menjalankan semula siasatan berhubung kehilangan MH370 jika terdapat bukti kukuh baharu.

Loke ketika itu berkata kerajaan bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang berminat bagi meneruskan operasi pencarian. MOT ketika itu diarahkan untuk menjemput Ocean Infinity bagi satu mesyuarat.

Sebelum ini, Malaysia bersama Australia dan China telah membatalkan misi pencarian pesawat MH370 di dalam air pada Januari 2017, dua tahun selepas tidak mendapat sebarang perkhabaran positif.

Pada 2018 pula, Ocean Infinity telah melakukan pencarian tanpa bayaran selama tiga bulan yang meliputi kira-kira 112,000 km persegi di selatan Lautan Hindi. Namun tiada sebarang bukti baharu yang diberikan ketika itu.

Baca Artikel Berkaitan: MH370: Anwar Ibrahim Dedah Akan Teruskan Misi Mencari Jika Wujud Bukti Baharu


“Goodnight Malaysian 370” – Komunikasi Suara Terakhir Dihantar MH370

Pada malam kehilangan MH370, komunikasi suara terakhir telah dihantar kepada pengawal trafik udara Malaysia apabila pesawat berkenaan melalui ruang udara Vietnam yang berbunyi, “Goodnight Malaysian Three-Seven-Zero”.

Pesawat itu tiba-tiba lesap daripada radar, sebelum dimaklumkan kepada pengawal trafik udara beberapa jam kemudian.

‘Kod merah’ telah dikeluarkan bagi mengisytiharkan tindak balas kecemasan segera untuk mengesan pesawat yang hilang itu.

Satu pengumuman rasmi yang mengesahkan kehilangan pesawat MH370 kemudiannya dilakukan pada sebelah subuh di laman Facebook rasmi MAB.

Pelbagai usaha carian melibatkan beberapa buah negara telah dijalankan bagi mencari pesawat yang hilang itu, menjadikannya usaha pencarian paling mahal dalam sejarah penerbangan.

Gambar pesawat MH370 yang dirakam di Roissy-Charles de Gaulle Airport (LFPG), Perancis pada Disember 2011. (Sumber: Wikimedia)

Namun begitu, lebih setahun selepas kehilangan MH370 pada 2015, pihak berkuasa Malaysia secara rasmi mengisytiharkan insiden itu sebagai satu ‘kemalangan’.

Turut diumumkan ketika itu bahawa kesemua penumpang dan anak kapal yang menaiki pesawat terbabit dianggap sudah meninggal dunia.

Misteri kehilangan MH370 yang masih belum berjaya diselesaikan sehingga kini menimbulkan pelbagai teori yang termasuk kegagalan mekanikal pesawat, kemungkinan dirampas (hijacked), malah rancangan ‘muder-suicide’ oleh juruterbang.

Laporan penyiasatan akhir MH370 pada 2018 bagaimanapun tidak menemui bukti konklusif atau jawapan kepada bencana itu, menjadikan masyarakat kekal penuh tanda tanya mengenai kehilangan pesawat itu.

Baca Artikel Berkaitan: Trailer Dokumentari MH370 Di Netflix Terima Pelbagai Reaksi Seluruh Dunia

Baca Artikel Berkaitan: Mengingati MH370: Hampir 9 Tahun Lenyap, Kepulangan Masih Dinanti-nanti


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd