JPJ Panggil Semula 3,722 Kereta Perodua Alza, Aruz & Motosikal Honda CB350RS
Kenderaan yang dipanggil semula oleh Jabatan Pengangkutan Jalan melibatkan 2,518 Perodua Alza, 1,139 Perodua Aruz dan 65 motosikal Honda CB350RS.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap kenderaan yang dihasilkan dan digunakan di dalam negara haruslah mengikuti spesifikasi yang ditetapkan di Malaysia termasuk oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Antara spesifikasi pada kenderaan yang sering menjadi tumpuan orang ramai adalah berkaitan nombor plet dan cermin gelap (tinted glass).
Namun banyak lagi spesifikasi kenderaan yang ditetapkan dengan tujuan untuk menjamin keselamatan pemilik kenderaan serta pengguna jalan raya lain.
JPJ Panggil Semula 3 Model Kenderaan
Semalam (3 November), Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly bin Ramli, telah membuat makluman pemanggilan semula 3,722 kenderaan melibatkan tiga jenis model.
Menurutnya, kesemua kenderaan terlibat merupakan keluaran tahun 2024 dan melibatkan kereta MPV Perodua Alza (1500 X (CVT), 1500 H (CVT), 1500 AV (CVT)), kereta SUV Perodua Aruz (1500 X, 1500 AV) dan motosikal Honda CB350RS.
Sebanyak 2,518 Perodua Alza dan 1,139 Perodua Aruz dipanggil semula atas alasan ketinggian sasaran lampu utama tidak memenuhi peraturan spesifikasi.
Manakala 65 motosikal Honda CB350RS pula mempunyai permasalahan pada sensor kelajuan roda yang menyebabkan sistem ABS, ‘traction control’ dan meter had laju tidak tepat.
Pemilik Kenderaan Akan Dihubungi, Boleh Juga Walk-In
Tambah Aedy Fadly, setiap pemilik kenderaan terlibat akan dihubungi oleh Perodua Manufacturing Sdn Bhd dan Boon Siew Honda Sdn Bhd bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan mereka.
Pemilik kenderaan juga boleh hadir secara walk-in ke mana-mana pusat servis di seluruh negara.
“Untuk makluman, mana-mana komponen yang terlibat dengan isu tersebut akan digantikan dengan kos yang ditanggung oleh pihak Perodua Manufacturing Sdn Bhd dan Boon Siew Honda Sdn Bhd,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Pihak JPJ meminta semua pemilik kenderaan yang terlibat agar membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan dijalankan secepat mungkin.
JPJ Akan Pastikan Kesemua Kenderaan Terlibat Menjalani Pemeriksaan
Dia berkata pihaknya akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula dan memastikan kesemua unit kenderaan terlibat menjalani pemeriksaan dan disahkan selamat.
Bagi pemilik kenderaan yang terbabit, anda boleh mengunjungi mana-mana pusat jualan atau perkhidmatan Perodua dan Boon Siew Honda yang terdekat bagi tujuan pemeriksaan.
Anda juga boleh menghubungi maklumat seperti berikut:
Perodua
Nombor telefon: 1-800-88-6600
Laman web: https://www.ufirst.com.my/member/Login atau melalui aplikasi ‘U-First’
Boon Siew Honda
Nombor telefon: 1-800-88-3993 (BSH Customer Care Line)
Laman web: https://boonsiewhonda.com.my/after-sales/recall-campaign/
Baca Artikel Berkaitan: Tak Perlu MyDigital ID, Pengguna MyJPJ Boleh Log Masuk Seperti Biasa – Anthony Loke
Baca Artikel Berkaitan: JPJePlate Khas Buat Kenderaan EV Dilancarkan, Macam Design Plat Di Eropah!
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.