“Ini Adalah Kegilaan” – Anwar Ibrahim Ulas Dakwaan Kes Buli Di UPNM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak untuk tidak sesekali bertolak ansur dengan sebarang kes buli melibatkan institusi pendidikan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada minggu ini, hangat diperkatakan di media sosial mengenai dakwaan seorang pegawai kadet tahun dua Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi yang dipercayai dibuli oleh pelajar senior.
Pelajar tersebut disyaki didera menggunakan seterika yang ditekap pada bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.
Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi satu kenyataan turut mengesahkan perkara tersebut kini sedang dalam siasatan di peringkat ALK-UPNM.
Kerajaan Tidak Berkompromi Dengan Sebarang Kes Buli
Hari ini (1 November), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pihak kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan buli yang seolah-olah sudah menjadi budaya terutama di universiti dan institusi pendidikan di negara pada ketika ini.
Amaran tegas tersebut diungkapkan oleh Anwar ketika majlis Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ekoran tular insiden membabitkan pelajar kadet UPNM yang disyaki dibuli oleh seniornya.
“Amalan seumpama itu (buli) tidak boleh berlaku dalam pusat ilmu apatah lagi menganggap sebagai satu budaya biasa. Apa masalah sampai begitu sekali.
“Ia kelompok kecil, bukan mewakili keseluruhan mahasiswa tapi budaya itu mengizinkan budaya samseng, buli dan gangster dalam sistem pendidikan di sekolah kebangsaan, Cina, Tamil, Maahad Tahfiz serta sekolah agama.
“Ini adalah kegilaan. Kita cakap soal ilmu, kita tidak tahu disiplin itu mendidik manusia. Darjat kemanusiaan dan ilmu itu penting kepada penghayatan. Ini cabaran bagi setiap pimpinan Naib Canselor, profesor serta pensyarah termasuk saya dan menteri,” ujar beliau.
Baca Artikel Berkaitan: “Ingatkan Kes Arwah Yang Terakhir” – Bapa Zulfarhan Ulas Insiden Pelajar UPNM Didakwa Ditekap Seterika
Anwar Gesa Semua Pihak Tolak Budaya Buli
Dalam pada itu, Anwar juga berharap agar semua pihak mengambil langkah untuk tidak bertolak ansur dengan sebarang budaya buli yang berlaku di institusi pendidikan.
“Jadi program pendidikan dan nilai mesti ditekankan. Ini kerana (ketika ini) kita ambil sikap permisif, mengalah dan bertolak ansur terhadap pembuli.
“Ia tidak boleh berlaku kalau budaya menolaknya. Saya bagi tahu kepada menteri pendidikan, jangan tolak ansur.
“(Saya) Bagi amaran dan nasihat jangan tolak ansur sama sekali, tak nak berlaku secara terpisah kerana berlaku dalam budaya,” tambah PMX.
Terdahulu, ATM turut menegaskan bahawa pihak mereka tidak akan sesekali melindungi atau bertolak ansur dengan individu yang terlibat dalam insiden ini.
“Tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah,” kata ATM.
Kes menyayat hati melibatkan satu kejadian buli di UPNM telah menggemparkan rakyat Malaysia pada tahun 2017 yang lalu. Pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain telah meninggal dunia apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.
Susulan itu, Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 23 Julai 2024 telah menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana didapati membunuh mangsa.
Baca Artikel Berkaitan: [Terkini] Kes Kematian Zulfarhan: 6 Bekas Penuntut UPNM Dihukum Gantung
Baca Artikel Berkaitan: Kes Bunuh Zulfarhan: “Ambil Iktibar Atas Apa Terjadi” – Tengku Ampuan Pahang Titip Pesan Kepada Pelajar Universiti [Video]
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram