“Israel Haramkan UNRWA Di Palestin Strategi Nafikan Hak Penduduk Pulang Ke Tanah Air” – Wisma Putra
Wisma Putra menegaskan Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas Palestin dan bahawa kehadiran UNRWA telah diiktiraf menerusi perjanjian antara tanah suci itu dan Pertubuhan Bangsa-Bangas Bersatu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Serangan di Palestin sejak Oktober tahun lalu kini telah berlangsung lebih setahun, dengan jumlah korban mencecah lebih 43,000 menurut kenyataan Kementerian Kesihatannya pada Isnin (28 Oktober).
Pada keesokan harinya pula, media The New Arab melaporkan serangan oleh rejim Israel ke atas blok kediaman di Beit Laha mengorbankan lebih 100 penduduk.
Pengeboman tersebut terus berlaku walaupun rejim Zionis sedang dikritik hebat oleh kerajaan dan organisasi seluruh dunia atas tindakan majoriti ahli parlimennya yang menyokong usul mengharamkan sebuah agensi bantuan.
Israel Luluskan RUU Haramkan Operasi UNRWA Di Palestin
Terbaharu, rang undang-undang (RUU) Parlimen Israel (Knesset) telah mengharamkan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) daripada beroperasi di Wilayah Pendudukan Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Gaza pada Isnin (28 Oktober) lalu.
Sehubungan itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini (30 Oktober) menegaskan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya perkara itu dan mengutuknya sebagai serangan terang-terangan terhadap agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam masa sama, kenyataan itu turut menegaskan bahawa rejim Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas tanah suci Palestin yang dijajah. Malah kehadiran UNRWA di sana juga sebelum ini diiktiraf menerusi perjanjian antara Palestin dan PBB.
“Strategi Nafikan Hak Rakyat Palestin Pulang Ke Tanah Air” – Wisma Putra
Tambah Wisma Putra, RUU tersebut seolah-olah menghalalkan tindakan rejim Zionis yang sengaja dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa untuk menghapuskan UNRWA.
“Ini merupakan sebahagian daripada strateginya untuk menafikan hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka seperti didukung oleh Resolusi Perhimpunan Agung PBB 194,” katanya.
Tindakan itu juga dikatakan sebagai strategi untuk mendatangkan kebuluran kepada penduduk Palestin yang terselamat daripada bencana kemanusiaan dan genosid di Gaza.
Kenyataan itu sekali lagi menegaskan keteguhan Malaysia dalam komitmennya menyokong UNRWA.
“Masyarakat antarabangsa harus mengambil tindakan yang tegas dan segera terhadap RUU ini demi melindungi UNRWA dan juga demi menamatkan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin,” katanya.
RUU Isytihar UNRWA Sebagai Pertubuhan Pengganas Diberi Kelulusan Awal
RUU yang mengharamkan UNRWA di Palestin telah diluluskan oleh penggubal undang-undang selepas mengapat 92 undi sokongan berbanding 10 tentangan, lapor Sinar Harian.
Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini berkata undian sedemikian belum pernah berlaku sebelum ini dan memulakan sesuatu yang berbahaya.
Menurut BBC, dengan kelulusan RUU itu, hubungan antara pekerja UNRWA dan pegawai Israel akan turut diharamkan, sekaligus melumpuhkan kemampuannya untuk beroperasi di Gaza dan Tebing Barat.
Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa petugas UNRWA terbabit dalam aktiviti keganasan terhadap rejimnya dan perlu bertanggungjawab. Dalam masa sama, dia berkata Gaza perlu diberikan bantuan kemanusiaan yang berterusan.
Malah, pada 22 Julai lalu, Israel telah memberi kelulusan awal terhadap RUU bagi mengisytiharkan UNRWA sebagai pertubuhan pengganas dan cadangan memutuskan hubungan dengannya.
Lebih 200 Petugas UNRWA Terbunuh Di Palestin
Sebagai info, UNRWA telah ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung PBB pada 1949 dan bertugas di Gaza, Tebing Barat, Syria, Lebanon dan Jordan bagi menjaga sekitar 700,000 rakyat Palestin yang terpaksa melarikan diri dari tanah air selepas dijajah rejim Zionis ketika itu.
Kini, lebih 5.9 juta rakyat di Palestin dan pelarian Palestin di seluruh Timur Tengah telah menerima perkhidmatan kritikal dalam pendidikan, perawatan kesihatan dan bantuan kemanusiaan daripada UNRWA.
Agensi itu memaklumkan bahawa ia telah mengedarkan bungkusan makanan kepada hampir 1.9 juta penduduk sejak serangan yang terjadi pada 7 Oktober 2023.
Sejak itu juga, lebih 200 petugas UNRWA telah terbunuh ketika bertugas disebabkan oleh serangan Israel.
Baca Artikel Berkaitan: “Zon Selamat Palsu & Mengelirukan” – UNRWA Dakwa Tiada Lagi Tempat Selamat Di Gaza
Baca Artikel Berkaitan: 8 Warga Palestin Terkorban Di Lokasi Tempat Pengedaran Bantuan UNRWA, Mayat Dibalut Guna Selimut
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



