5 Lelaki Rogol Pelajar Perempuan Bergilir-Gilir Ditahan Polis
Ibu mangsa sebelum ini telah membuat laporan polis kerana remaja perempuan berusia 15 tahun itu tidak pulang ke rumah pada Isnin sebaik sesi persekolahan tamat sekitar 1.30 petang.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sejak kebelakangan ini, banyak kes jenayah dilaporkan seperti menculik dan pemerkosaan membabitkan individu bawah umur termasuk kanak-kanak dan pelajar sekolah, sekaligus meningkatkan rasa gusar dalam kalangan masyarakat.
Dalam satu kes terbaharu, lima lelaki disyaki merogol secara bergilir-gilir seorang pelajar perempuan yang baru dikenali di sebuah asrama pekerja di Batu Gajah, Perak. Kesemua suspek bagaimanapun telah ditahan pihak polis pada Selasa (22 Oktober) lalu.
Mangsa Tidak Pulang Ke Rumah Selepas Sesi Sekolah
Menurut Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat, insiden tersebut terbongkar apabila mangsa berjaya ditemukan pasukan polis yang bertindak susulan laporan dilakukan ibunya.
Katanya, ibu mangsa telah membuat laporan kerana anak perempuannya itu tidak pulang ke rumah pada Isnin sebaik sesi persekolahan tamat sekitar 1.30 petang.
“Disyaki ibu mangsa tidak membuat pemantauan kerana mangsa sebenarnya telah pergi berjumpa teman lelaki dan berkeliaran serta berkenalan dengan lelaki lain yang baru dikenali,” katanya dipetik Awani.
Mangsa Dibawa Pulang Ke Asrama Dihuni 5 Lelaki
Tambah Zulkafli, mangsa yang keluar makan dengan kenalan barunya kemudiannya dibawa ke asrama yang dihuni lima lelaki serta ditawar untuk tidur dan berehat di sebuah bilik kosong.
“Mangsa yang keluar makan dengan kenalan baru tersebut kemudian dibawa ke asrama yang dihuni lima lelaki. Mangsa ditawar masuk ke sebuah bilik kosong untuk tidur dan berehat sebelum dirogol lima suspek berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam (23 Oktober).
Dia memaklumkan bahawa mangsa yang berjaya dikesan di asrama pekerja tersebut telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah untuk disoal siasat.
“Hasil soal siasat yang dijalankan mendapati mangsa dirogol lima lelaki di asrama berkenaan sekitar jam 10.22 malam pada Isnin,” jelasnya.
Suspek 27 Tahun Ada Rekod Jenayah Lampau
Zulkafli berkata kelima-lima suspek berusia 18 hingga 27 tahun ditahan berdasarkan maklumat bagi siasatan lanjut. Semakan mendapati suspek berusia 27 tahun mempunyai rekod jenayah lampau dan penyalahgunaan dadah.
Dalam pada itu, kesemua suspek direman selama enam hari sehingga Isnin (28 Oktober) di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan iaitu kerana merogol secara berkumpulan.
Jika disabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun.
Baca Artikel Berkaitan: Perogol Patut Dihukum Mati? Ini Pandangan Sesetengah Ulama
Baca Artikel Berkaitan: Kes Rogol: Hakim Sifatkan Perbuatan Da’i Syed Tidak Dapat Diterima Akal
Baca Artikel Berkaitan: Ayah Rogol Anak OKU 13 Tahun Kini Ditahan, Kantoi Selepas Mangsa Melahirkan Bayi
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



