Kanak-Kanak 3 Tahun Di Gaza Terbunuh Akibat Dihempap Palet Bantuan Udara
Insiden yang berlaku di Khan Younis di selatan Gaza itu serta-merta meragut nyawa kanak-kanak terbabit.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Genosid ke atas penduduk Palestin masih tidak terhenti walaupun pelbagai pihak telah menyuarakan gesaan bagi gencatan senjata dan menghentikan krisis kemanusiaan tersebut.
Menurut Kementerian Kesihatannya, sebanyak 42,603 penduduk Palestin terbunuh setakat semalam (20 Oktober) sejak tahun lepas. Di samping itu, 99,795 pula tercedera akibat serangan yang berterusan.
Apa yang lebih menyedihkan lagi, bukan kesemua nyawa yang terkorban disebabkan serangan secara langsung oleh tentera rejim Israel, tetapi secara tidak langsung termasuk akibat kelaparan dan kesakitan.
Bantuan Makanan Udara Jatuh Ke Atas Kanak-Kanak 3 Tahun
Terbaharu, CNN melaporkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun terkorban apabila palet bantuan makanan yang digugurkan dari udara terjatuh ke atasnya.
“Kami sedang duduk di sini bersarapan pada waktu pagi apabila pesawat menjatuhkan bantuan. Kami melihatnya dan berasa begitu takut kerana ia jatuh berhampiran khemah kami,” kata datuk kanak-kanak itu, Sami Ayyad, dipetik CNN.
Melihat perkara tersebut, Ayyad bersama cucunya, juga bernama Sami, segera berlari ke khemah sementara mereka yang berdekatan untuk mendapatkan perlindungan.
“Saya Tak Mahu Bantuan, Anak Saya Sudah Tiada” – Bapa Kanak-Kanak
Namun Ayyad berkata sebuah palet bantuan makanan menimpa kanak-kanak tersebut yang serta-merta meragut nyawanya.
“Mereka menjatuhkan payung terjun berisi bantuan dan bantuan itu membunuh anak kami… Untuk apa? Saya tidak mahu bantuan, anak saya sudah tiada,” luah bapa Sami, Mahmoud Ayyad.
Bantuan udara yang diturunkan di bandar Khan Younis di selatan Gaza itu turut mencederakan ibu saudara dan sepupu kepada kanak-kanak itu. Kaki ibu saudaranya patah, manakala sepupunya mengalami kecederaan pada muka.
Bapa saudara Sami, Mohammed, telah membuka salah satu pakej bantuan dan menunjukkan isinya kepada wartawan CNN di sana, “Inilah penyebab kematian anak kami – kacang! Adakah ini maruah kami? Pek teh? Pek gula?”
Banyak Khemah Musnah Ditimpa Palet Bantuan Makanan Udara
Satu video yang dimuat naik di akaun Instagram (@alii3bed) menyaksikan beberapa khemah musnah akibat palet bantuan makanan yang jatuh di atasnya.
Difahamkan bahawa bantuan makanan yang dijatuhkan turut pecah dan rosak dipercayai disebabkan oleh impak kuat.
“Anda kata ini bantuan? Ia dijatuhkan ke atas kami dan digelar ‘bantuan’. Sangat memalukan dan menghancurkan hati kami.”
“Ya, kami memerlukan bantuan, tetapi terdapat banyak cara untuk anda membantu kami melainkan daripada cara ini. Anda mencampak bantuan kepada kami dengan payung terjun dan menjatuhkannya ke atas khemah dan kepala orang, membunuh mereka!” kata seorang penduduk Gaza.
Terdapat Kandungan Makanan Yang Tidak Sesuai
Menurut CNN, krisis kemanusiaan menyebabkan laluan darat telah terputus sehingga bantuan makanan perlu dihantar menerusi udara.
Kumpulan bantuan walau bagaimanapun berkata bantuan makanan perlu diberikan secara darat untuk memberi impak tinggi.
Penduduk Palestin di Gaza menerangkan penerimaan bantuan udara sebagai sesuatu yang berbahaya dan memalukan.
Mereka turut mempersoalkan kandungan yang diberi, seperti sesetengah makanan yang perlu dipanaskan di dalam gelombang mikro, kata wakil Medical Aid for Palestinians (MAP).
Insiden di atas bukanlah pertama kali berlaku. Sebelum ini, lima individu terkorban akibat dihempap palet bantuan makanan yang dihantar melalui udara. Payung terjun yang gagal dibuka menyebabkan palet bantuan jatuh dengan cepat.
Baca Artikel Berkaitan: Mayat-mayat Di Utara Gaza Dimakan Anjing Liar Kelaparan – Ketua Perkhidmatan Kecemasan
Baca Artikel Berkaitan: Bayi Kembar Terkorban Dalam Serangan Udara Di Gaza Ketika Bapa Sedang Daftar Sijil Lahir
Baca Artikel Berkaitan: 8 Warga Palestin Terkorban Di Lokasi Tempat Pengedaran Bantuan UNRWA, Mayat Dibalut Guna Selimut
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.