Now Reading
Budak 12 Tahun Diculik Di Klang, Disyaki Dicabul & Hampir Dijual Kepada Sindiket Pelacuran

Budak 12 Tahun Diculik Di Klang, Disyaki Dicabul & Hampir Dijual Kepada Sindiket Pelacuran

Kanak-kanak perempuan itu yang diculik di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang pada 8 Oktober telah ditemukan selamat Sabtu (12 Oktober) lalu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kes penculikan kanak-kanak dilihat semakin berleluasa sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. Sebelum ini, kecoh apabila seorang kanak-kanak berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui, dilaporkan hilang.

Terkini, seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun telah diculik di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang pada Selasa (8 Oktober) lalu.

Kanak-kanak itu yang telah disahkan selamat dipercayai turut dicabul kehormatannya dan hampir dijual kepada sindiket pelacuran di ibu negara.


Kanak-Kanak Diajak Menaiki Sebuah Kereta Oleh 4 Suspek

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, empat orang suspek telah mengajak kanak-kanak itu menaiki sebuah kereta. Salah seorang suspek merupakan wanita yang dikenali kanak-kanak terbabit.

Jelas Hussein, kanak-kanak itu telah ‘ditahan’ selama empat hari di sebuah pangsapuri yang disewa di Setia Alam. Dia dipercayai dicabul oleh dua suspek berumur 13 dan 23 tahun sepanjang tempoh tersebut.

“Suspek utama berusia 23 tahun itu juga telah berurusan dengan sindiket pelacuran di Chow Kit, Kuala Lumpur bagi urusan menjual kanak-kanak tersebut,” katanya dipetik Berita Harian.


Suspek Disuruh Pulang Menaiki Kenderaan e-Hailing

Tambah Hussein, sindiket pelacuran tidak meneruskan proses jual-beli yang dirancang apabila berita kehilangan kanak-kanak itu diuar-uarkan oleh pihak polis.

Suspek kemudiannya menempah kenderaan e-hailing dan meminta kanak-kanak yang diculik itu pulang ke rumah pada 12 Oktober lalu.

“Siasatan mendapati kanak-kanak itu juga dikhayalkan oleh suspek menggunakan rokok elektronik (vape) selain dipercayai turut didera, namun dia diberikan makanan sepanjang tempoh ditahan,” katanya.


6 Suspek Ditahan, 2 Individu Terkait Sindiket Pelacuran Diburu Polis

Sehubungan itu, empat lelaki dan dua wanita berumur 13 hingga 23 tahun yang disyaki terlibat telah ditahan polis pada Sabtu (12 Oktober) di sekitar Segambut Dalam, Setia Alam dan Pandamaran. Polis turut merampas kereta yang digunakan suspek.

Hussein memaklumkan tempoh reman bagi keenam-enam suspek akan berakhir hari ini (18 Oktober) dan polis akan memohon lanjutan reman agar siasatan lanjut dapat dijalankan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihak polis sedang memburu dua individu lain berkaitan sindiket pelacuran bagi membantu siasatan.

Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu menculik orang daripada penjagaan sah.


Kanak-Kanak Perempuan Hilang Ketika Ingin Ke Kereta Di Parkir

Terdahulu, media melaporkan kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ketika turun mengambil makanan dari kereta di parkir bawah kediaman pada Selasa (8 Oktober) lalu.

Kanak-kanak yang dipercayai diculik itu ditemukan selamat sekitar 2.30 petang, 12 Oktober dan disahkan oleh Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, pada 13 Oktober.

Baca Artikel Berkaitan: 2 Wanita Ditahan Polis Atas Dakwaan Cuba Culik Anak Kecil Di Genting Highlands


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd