Belanjawan 2025: Kanak-Kanak Autistik Fokus Kerajaan
Di bawah Belanjawan 2025, kerajaan akan membina 11 pusat PERMATA baharu bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru sahaja mengumumkan pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat sebentar tadi (18 Oktober).
Menerusi pengumuman tersebut, Belanjawan 2025 merupakan tertinggi pernah diumumkan dengan jumlah peruntukan RM421 bilion.
Menerusi pengumuman tersebut, kerajaan dilihat cakna dan memberi keutamaan pada kanak-kanak autistik apabila mewujudkan satu kategori khas di bawah ‘Ikhtiar 49: Kanak-Kanak’.
11 Pusat PERMATA Akan Dibina
Di bawah Belanjawan 2025, kerajaan memberi fokus dalam mengangkat kualiti pendidikan bagi kanak-kanak autistik.
Sebanyak 11 pusat PERMATA baharu akan dibina termasuk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Pembinaan ini akan menjadikan setiap negeri mempunyai pusat didikan anak-anak autistik tersendiri.
Anwar berkata kerajaan turut membelanjakan RM300 juta bagi membina dua sekolah murid berkeperluan khas baharu di Tuaran, Sabah dan Johor Bahru.
Di Johor Bahru, sekolah tersebut bakal menjadi yang pertama memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pendidikan anak-anak autistik.
Elaun RM150 Sebulan Bagi Lebih 110,000 Murid OKU
Selain daripada pembinaan institusi pendidikan, kerajaan akan terus menyediakan Elaun Murid Berkeperluan Khas sebanyak RM150 sebulan.
Elaun yang disediakan kepada lebih 110,000 murid OKU termasuk autistik ini melibatkan peruntukan RM200 juta.
Malah, PMX turut mengumumkan Bantuan Yuran Pembelajaran Anak Autisme kepada ibu bapa yang layak. Dana berjumlah RM15 juta ini akan diperuntukan bagi 30,000 kanak-kanak autisme.
Kerajaan Akan Bangunkan Pusat Perkhidmatan Autisme
“Bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa dan terangkum, RM10 juta disediakan untuk membantu sekolah autistik swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan melengkapkan kemudahan pembelajaran,” jelas Anwar.
Kerajaan juga memperuntukkan RM5 juta untuk membangunkan sebuah Pusat Perkhidmatan Autisme bagi memanfaat komuniti autisme.
Di samping itu, had pelepasan cukai turut ditingkatkan dari RM4,000 kepada RM6,000 bagi perbelanjaan rawatan dan pemulihan anak autisme.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.