Belanjawan 2025: Dana Buat Golongan Wanita Fokus Pada Yang Kembali Bekerja & Terlibat Keusahawanan
Selain wanita yang kembali bekerja dan menceburi bidang keusahawanan, Belanjawan 2025 turut memperuntukan RM5 juta bagi saringan Hepatitis B untuk 420,000 ibu hamil.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru sahaja mengumumkan pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat sebentar tadi (18 Oktober).
Belanjawan 2025 yang bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera” akan meneruskan kesinambungan usaha Ekonomi MADANI dalam memperkasa rakyat.
Menerusi pengumuman tersebut, Belanjawan 2025 merupakan tertinggi pernah diumumkan dengan jumlah peruntukan RM421 bilion.
Golongan wanita juga tidak terkecuali dalam belanjawan kali ini, apabila PMX mengumumkan berita baik terutamanya bagi mereka yang kembali bekerja atau menceburi bidang keusahawanan.
Kerajaan Fokus Wanita Sebagai Tokoh Korporat & Kembali Bekerja Dalam Sektor Kewangan
Kerajaan menggalakkan wanita kembali bekerja dan memperhebatkan Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi melahirkan lebih ramai tokoh korporat wanita.
Bagi sektor kewangan, kerajaan akan memerincikan program ‘Returnship’ bagi menggalakkan wanita kembali bekerja.
“Program anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ini akan menyediakan kemudahan latihan dan kemudian menghubungkan dengan bakal majikan yang bersesuaian untuk kembali bekerja,” kata Anwar.
RM470 Juta Dana Pembiayaan Bagi PMKS Wanita
Di samping itu, wanita yang terlibat dalam perniagaan turut dapat menikmati peruntukan di bawah Belanjawan 2025.
Bagi tahun hadapan, kerajaan menyediakan peruntukan RM650 juta bagi menyokong wanita dan belia dalam bidang keusahawanan.
SME Bank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut menyediakan dana pembiayaan berjumlah RM470 juta bagi Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) wanita.
Dana tersebut bertujuan bagi mendapatkan modal kerja serta membeli aset, seterusnya meningkatkan kapasiti perniagaan ke tahap lebih tinggi.
Saringan Hepatitis B Bagi 420,000 Ibu Hamil
Dari segi kesihatan, 420,000 ibu hamil bakal menikmati Belanjawan 2025 dalam bentuk saringan Hepatitis B bagi mengesan dan rawatan awal masalah kesihatan.
Sebanyak RM5 juta diperuntukan oleh kerajaan bagi melaksanakan ‘Ikhtiar 1,000 Hari Pertama Kehidupan’ ini.
Ini dilakukan demi membendung jangkitan Hepatitis B terhadap bayi baru lahir yang berisiko tinggi.
Wanita Bujang & Warga Emas Yang Layak Bakal Terima RM600
Dalam pada itu, wanita bujang layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM600 berbanding RM350 bagi 2024.
Bagi golongan wanita yang telah berkahwin dan merupakan suri rumah, program i-Suri di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diteruskan secara insentif padanan melalui caruman kerajaan dan caruman secara aktif daripada pencarum.
Wanita warga emas yang layak pula akan menerima Kadar Bantuan Warga Emas yang ditingkatkan dari RM500 ke RM600 tahun depan.
Baca Artikel Berkaitan: Belanjawan 2025: Golongan Bujang Bakal Terima STR RM600 Bermula April 2025
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.