“Monsun Timur Laut Dijangka Bermula Pada November Berdasarkan Faktor Klimatologi” – MET Malaysia
Negara kini berada dalam fasa peralihan monsun yang bermula pada 24 September lalu dan dijangka berterusan hingga ke awal November.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum sedia maklum bahawa Malaysia kini berada dalam fasa peralihan monsun dari Monsun Barat Daya ke Monsun Timur Laut (MTL).
Sewaktu fasa peralihan ini, negara berisiko mengalami kejadian ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang akibat menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah. Cuaca buruk yang datang dalam jangka masa singkat berpotensi menyebabkan banjir kilat.
Semalam (16 Oktober), hujan lebat dilaporkan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur yang turut menyebabkan banjir kilat di beberapa tempat serta tanah runtuh di Taman Melawati, Ampang.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Hujan Lebat Sekitar KL, Banyak Kawasan Dinaiki Banjir & Berlaku Tanah Runtuh
Fasa Peralihan Monsun Dijangka Hingga Awal November
Terbaharu, fasa peralihan monsun yang bermula pada 24 September lalu dijangka berterusan hingga ke awal November dengan beberapa negeri kemungkinan dilanda banjir.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, MTL dijangka bermula pada awal bulan November berdasarkan faktor klimatologinya.
“Tarikh permulaan MTL tahun ini adalah pada awal November berdasarkan faktor klimatologinya dan tarikh permulaannya hanya diketahui selepas kriteria ditetapkan dipenuhi,” katanya dipetik Berita Harian.
“Monsun Timur Laut Dijangka Bermula Akhir Oktober” – Ahmad Zahid
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata MTL dijangka bermula pada akhir bulan Oktober berbanding ramalan awal minggu pertama November, terutamanya di kawasan banjir termenung.
Sehubungan itu, beliau telah memaklumkan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) diarahkan agar mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan.
Tambahnya, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat mempertingkatkan kesiapsiagaan khususnya bagi berhadapan risiko banjir besar di kawasan-kawasan tertentu.
Ahmad Zahid ketika itu berkata MTL kebiasaannya berlaku pada minggu pertama November, tetapi mungkin bermula lebih awal kerana perubahan cuaca.
Hujan Ketika MTL Dijangka Dalam Julat Purata, Dengan 5-7 Episod Hujan Lebat Berterusan
Mengulas mengenai MTL dengan lebih lanjut, Mohd Hisham menjelaskan jangkaan taburan hujan yang bakal diterima kebanyakan negeri hingga Mac 2025 secara amnya masih dalam julat purata.
“Namun terdapat beberapa negeri dijangka menerima jumlah hujan di atas purata pada Disember ini membabitkan Perlis, Kedah, utara Perak, utara Kelantan dan utara Terengganu manakala bahagian Pantai Barat, Kudat dan Sandakan di Sabah dijangka menerima hujan di atas purata pada Disember hingga Februari depan,” katanya.
Katanya lagi, luruan monsun yang dijangka melanda negara ketika MTL akan menyebabkan lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan.
“Jadi, kehadiran luruan monsun ini akan sentiasa dipantau oleh MET Malaysia dan amaran hujan lebat akan dikeluarkan apabila ia dijangka melanda negara dalam tempoh sehari hingga tiga hari sebelum ia berlaku,” katanya.
Dia turut menerangkan bahawa lazimnya akan berlaku hujan lebat berterusan selama beberapa hari semasa MTL dengan risiko banjir besar tertutamanya di negeri Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.
“Orang awam dinasihatkan lebih cakna mengenai keadaan cuaca khususnya amaran cuaca buruk dengan mendapatkan maklumat cuaca dari MET Malaysia,” katanya.
Anda boleh mendapatkan maklumat tersebut menerusi:
- Laman web rasmi MET Malaysia (www.met.gov.my)
- Aplikasi mudah alih myCuaca
- Media sosial rasmi MET Malaysia (Facebook, Instagram, X dan Youtube)
Orang ramai juga boleh menghubungi talian Hotline 1-800-22-1638 untuk sebarang nasihat cuaca.
Banjir Kerap Berlaku Pada November
Memandangkan MTL dijangkakan bermula pada bulan hadapan, orang ramai di kawasan bakal terkesan dinasihati agar bersiap sedia dalam menghadapi risiko banjir.
Juga dikenali sebagai Musim Tengkujuh, MTL berlaku apabila angin merentasi Laut China Selatan dan mengakibatkan hujan lebat di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia, pantai barat Sarawak dan pantai timur Sabah.
Satu artikel semak fakta oleh Malaysia Bersuara menjelaskan bahawa Malaysia telah beberapa kali dilanda atau diramalkan akan banjir pada bulan November dengan tarikh yang berbeza.
Sebagai contoh, banjir besar yang berlaku pada awal November 2010 telah menenggelamkan sebahagian besar negeri Perlis dan Kedah, sehingga sekitar 50,000 orang penduduk Kedah terpaksa dipindahkan ke beratus pusat pemindahan banjir.
Baca Artikel Berkaitan: Adakah Banjir Pada Bulan November di Malaysia Perkara Biasa?
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.