[Video] Driver Iswara Biru Ditahan Lepas Memandu Secara Berbahaya Di Johor Bahru
Pemandu itu ditahan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara pada jam 4.42 petang semalam (14 Oktober).
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Walaupun statistik kemalangan menunjukkan angka yang membimbangkan, pemanduan secara berbahaya masih banyak dipraktikkan dalam kalangan pengguna jalan raya tidak kira pemandu kereta, motosikal mahupun lori.
Lebih teruk lagi apabila tindakan mereka mendatangkan kemalangan dan kecederaan kepada pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah.
Pemandu Ditahan Selepas Klip Video Tular
Terbaharu, polis menahan seorang lelaki atas kesalahan memandu secara berbahaya.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, pemandu itu ditahan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara pada jam 4.42 petang semalam (14 Oktober).
Menerusi klip video dashcam yang tular di media sosial, dia memandu kereta Proton Iswara berwarna biru dengan berbahaya dan secara melulu di Jalan Kempas Lama menghala ke Jalan Setia Tropika Utama.
Pemandu Tak Berhenti Sebelum Keluar Simpang, Tukar Haluan Tiba-Tiba
Pada permulaan video, kelihatan pemandu berkenaan keluar daripada simpang tanpa berhenti terlebih dahulu. Dia kemudiannya memotong sebuah kereta selepas dihon.
Video sama menunjukkan pemandu tersebut kerap memotong kenderaan lain secara melulu, malah berhenti di tengah-tengah jalan.
“Video berdurasi 1 minit 20 saat itu memaparkan seorang lelaki memandu secara berbahaya dengan kerap menekan brek dan pada masa sama menukar haluan secara tiba-tiba,” kata Balveerd dipetik Sinar Harian.
Laporan Dibuat Oleh Pegawai Polis, Pemandu Serah Diri Secara Sukarela
Tambahnya lagi, laporan mengenai kejadian itu dilakukan oleh seorang pegawai polis pada 1.28 petang hari sama selepas video berkenaan tular. Tiada laporan yang diterima daripada pihak terlibat dalam insiden terbabit.
Lelaki berusia 34 tahun itu telah secara sukarela menyerah diri di IPD Johor Bahru Utara sebelum ditahan. Saringan awal air kencing dan alkohol didapati negatif.
Balveer berkata kes disiasat bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu bagi kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya.
Jika disabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 bagi kesalahan pertama.
Orang Ramai Cadang Agar Laporkan Perkara Itu
Melihat pada ruangan komen di video yang tular, rata-rata pengguna Facebook mencadangkan agar perkara itu dilaporkan kepada pihak polis.
Beberapa individu menyifatkan insiden terbabit sebagai kes buli jalan raya atau ‘road bully’.
Malah ada juga pengguna media sosial yang marah dengan pemandu berkenaan dan berkata mereka pasti akan bersemuka dengannya.
“Mentang-mentang pakai kereta buruk. Orang nak langgar pun tak berbaloi,” kata seorang individu.
Buli Jalan Raya Adalah Kesalahan Jenayah
Pihak PDRM sebelum ini telah memuat naik hantaran di laman Facebook (Polis Diraja Malaysia) berkaitan peringatan untuk menghentikan perbuatan buli jalan raya.
Seseorang itu boleh dikategorikan sebagai pembuli jalan raya apabila mereka melakukan tindakan agresif yang telah melanggar peraturan lalu lintas sehingga boleh merisikokan nyawa orang lain.
Terdapat tiga kategori pembuli jalan raya iaitu:
- Membuli secara fizikal: memukul atau mengugut mangsa.
- Membuli secara mental: mengeji dan memaki hamun mangsa dengan kata-kata kesat.
- Buli jalanan: memandu secara tidak beretika dan dalam keadaan bahaya, mengganggu pemandu lain dan membuat provokasi terhadap mangsa.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik menegaskan bahawa perbuatan buli jalanan ini merupakan satu kesalahan jenayah.
Jadi kepada mana-mana individu yang menjadi mangsa buli jalanan, anda diminta untuk segera melaporkan kes tersebut di balai polis berhampiran untuk membolehkan pembuli dikenakan tindakan sewajarnya.
Baca Artikel Berkaitan: “Perbuatan Buli Jalanan Adalah Jenayah” – PDRM
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.