Now Reading
Ini Kemas Kini Tentang Banjir Di KL & Tanah Runtuh Di Taman Melawati

Ini Kemas Kini Tentang Banjir Di KL & Tanah Runtuh Di Taman Melawati

Laluan yang ditutup akibat banjir sehingga paras betis di Universiti Malaya (UM) sekitar jam 10 pagi tadi telah dibuka semula.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Keadaan hujan lebat pada pagi hari ini (15 Oktober) telah menggusarkan penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor selepas ia turut mengakibatkan bencana banjir.

Situasi itu menyebabkan banyak jalan yang terhalang kerana dinaiki air dan ia sekaligus menjadi punca kepada banyak kenderaan berada dalam keadaan separa tenggelam.

Selain berlaku kesesakan lalu lintas, perkhidmatan awam melibatkan LRT turut terjejas apabila kekerapan tren mengalami gangguan di sesetengah stesen.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Hujan Lebat Sekitar KL, Banyak Kawasan Dinaiki Banjir & Berlaku Tanah Runtuh


Perkembangan Terkini Tentang Keadaan Di Sekitar Kuala Lumpur & Selangor

Dalam perkembangan terbaharu mengenai beberapa jalan yang dinaiki air di sekitar Lembah Klang, keadaan dilaporkan semakin reda dan pulih apabila keadaan air mula surut.

Laluan yang ditutup akibat banjir sehingga paras betis di Universiti Malaya (UM) sekitar jam 10 pagi tadi telah dibuka semula.

UM dalam satu kenyataan dimuat naik di laman Facebook memaklumkan bahawa keadaan kampus mereka kembali reda dan mengesahkan bahawa tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Semua staf, pelajar dan pelawat kampus dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta mengelakkan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan diri dan harta benda terperangkap dalam banjir,” UM dalam kenyataan tersebut.


Info Terkini Tentang Kejadian Tanah Runtuh Di Taman Melawati

Memetik laporan Astro Awani, kes tanah runtuh yang berlaku di Jalan E6, Taman Melawati, Ampang pada hari ini akibat hujan lebat itu diklasifikasikan sebagai kejadian berisiko.

Susulan itu, pihak berkuasa mengarahkan penduduk berhampiran kira-kira 300 orang melibatkan 18 buah rumah di kawasan sekitar untuk berpindah dan mengosongkan kediaman dengan kadar segera.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata mereka telah menerima laporan berhubung bencana tersebut sekitar jam 11:42 pagi.

Hasil semakan mendapati bahawa tanah runtuh di lereng bukit itu berkeluasan 20×20 meter serta runtuhan berketinggian 30 meter.

“Insiden itu tidak melibatkan mangsa dan kediaman. Namun masih berlaku pergerakan tanah di lokasi kejadian,” katanya.


Tren LRT Sedang Dibaik Pulih, LRT Berpatah Balik Di Wangsa Maju

Menerusi kenyataan terkini pada jam 3:00 petang hari ini oleh pihak RapidKL, LRT laluan Kelana Jaya masih giat dibaik pulih dan perkhidmatan tren alternatif diaktifkan seperti berikut:

  1. Tren dari Putra Height akan berpatah balik di Wangsa Maju.
  2. Tren perantara di antara Wangsa Maju ke Gombak.
  3. Bas perantara dari Sri Rampai ke Taman Melati masih beroperasi seperti biasa.

Bagi panduan untuk perkhidmatan bas perantara percuma di antara Stesen Sri Rampai dan Taman Melati, ia adalah seperti berikut:

  • LRT Sri Rampai ke LRT Taman Melati
    • PJJ3310
    • W9423Q
    • PJJ4922
    • PJH4764
  • LRT Taman Melati ke LRT Sri Rampai
    • WVA4166
    • WUW1483
    • W479T
    • PJG6820

Kekerapan bas adalah setiap 15 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa.


Ribut Petir Diramal Landa 10 Negeri Termasuk KL & Selangor Petang Ini

Dalam ciapan terkini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di laman X, ribut petir diramal berlaku di 10 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga 5 petang ini.

Di Selangor, antara daerah yang diramal dalam cuaca ini adalah di:

  • Sabak Bernam
  • Kuala Selangor
  • Hulu Selangor
  • Klang
  • Gombak
  • Petaling
  • Hulu Langat

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd