Now Reading
“Ahli GISBH Percaya Akan Dibantu Syafaat Ashaari Muhammad Di Alam Kubur” – Menteri Agama

“Ahli GISBH Percaya Akan Dibantu Syafaat Ashaari Muhammad Di Alam Kubur” – Menteri Agama

Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata terdapat Ahli Lembaga Pengarah GISBH yang melaksanakan solat jamak setiap hari dan tidak menunaikan solat Jumaat.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Topik berkenaan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) hangat diperkatakan susulan pelbagai dakwaan yang timbul terkait dengannya.

Sebelum ini, serbuan ke atas rumah amal miliknya telah menyelamatkan 402 kanak-kanak yang didakwa dieksploitasi dan didakwa.

Malah, ia juga sering terkait dengan ajaran sesat yang mungkin timbul kerana ia diasaskan daripada sisa-sisa Kumpulan Arqam, iaitu cabang perniagaan gerakan Al-Arqam.


“Pengikut Percaya Ashaari Akan Muncul Bersama Imam Mahdi” – Mohd Na’im

Terkini, media melaporkan pengikut GISBH yakin bahawa mereka akan selamat di alam kubur kelak. Ini adalah kerana mereka mempercayai akan dibantu syafaat pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad, ketika disoal jawab oleh malaikat Munkar dan Nakir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kepercayaan itu telah dikenal pasti menerusi sesi temu bual bersama saksi.

Tegas beliau, kepercayaan tersebut merupakan satu bentuk penyelewengan akidah, syariah dan akhlak, tasawuf atau muamalat.

“Penyelewengan akidah yang dikenal pasti ialah mereka meyakini bakal munculnya Imam Mahdi, merujuk kepada Syeikh Suhaimi yang ghaib selama ini.

“Fata At-Tamimi (Pemuda Bani Tamim) merujuk kepada Abuya Ashaari Muhammad yang juga ghaib dan akan muncul bersama Imam Mahdi iaitu Syeikh Suhaimi sebagai pembantunya di akhir zaman nanti,” katanya dipetik Kosmo.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Facebook Batu nisan dan kepuk kubur pahang)

Ada Ahli Lembaga Pengarah Tidak Tunaikan Solat Jumaat

Tambah Mohd Na’im, jemaah GISBH kini didoktrin untuk memohon keberkatan kepada barisan kepimpinan termasuk Ahli Lembaga Pengarah, dan bukan lagi kepada Ashaari.

Katanya, Ahli Lembaga Pengarah tersebut melaksanakan solat jamak setiap hari dan tidak menunaikan solat Jumaat.

Beliau menjelaskan perkara tersebut di Dewan Rakyat hari ini (15 Oktober) ketika sesi Penerangan Menteri mengenai Perkembangan dan Tindakan di Peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkaitan isu GISBH.


Pasangan GISBH Jalani Akad Nikah 2 Kali

Di samping itu, Mohd Na’im turut menjelaskan mengenai amalan bertabarruk iaitu mengharapkan keberkatan Allah SWT menerusi perantara.

Antara perantara yang digunakan termasuklah air basuhan tangan, tisu dan kain digunakan pemimpin. Terdapat juga air rendaman baju, rambut, janggut dan darah bekam pimpinan serta bekas pimpinan yang dijadikan perantara tersebut.

Dari segi perkahwinan pula, Mohd Na’im berkata pasangan yang ditentukan untuk berkahwin akan menjalani akad perkahwinan sebanyak dua kali.

“Masing-masing akad perkahwinan syarie diakadkan pemimpin berwakilkan wali dan akad perkahwinan secara perundangan oleh pendaftar nikah atau imam dilantik Jabatan Agama Islam negeri,” jelasnya.


Ahli Parlimen Persoal Penahanan Ahli GISBH Di Bawah SOSMA

Dalam perkembangan lain, beberapa Ahli Parlimen mempertikaikan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan ahli GISBH di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Tindakan itu disifatkan oleh Ahli Parlimen Kota Bahru, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai tidak cermat memandangkan kumpulan tersebut tidak terkait dengan elemen keganasan.

“Kami melihat ini satu keputusan (tindakan oleh PDRM) yang tidak cermat. Sebab itu kita nasihatkan supaya jangan berlebihan, jangan keterlaluan, jamin keadilan pihak yang tertuduh.

“Saya minta pihak kerajaan ambil tindakan sewajarnya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sumber gambar: MalayMail

Anak Ashaari Nafi GISBH Ikut Amalan Al-Arqam

Terdahulu, anak kepada pengasas Al-Arqam, Khaulah Ashaari, menegaskan bahawa GISBH tidak lagi mengikut amalan kumpulan agama itu yang telah diisytiharkan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.

Dia menjelaskan bahawa ahli GISBH sentiasa mengikuti kursus pihak berkuasa termasuk jabatan agama Islam dan mengikuti proses istitabah (bertaubat).

Tambahnya lagi, Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd Ali telah menasihati ahli kumpulan agar sentiasa mengikut fatwa yang ditetapkan.


4 Negeri Isytihar GISBH Ajaran Sesat

Setakat hari ini, empat negeri telah mengisytiharkan GISBH sebagai ajaran sesat. Tindakan itu dimulakan oleh negeri Perlis, sebelum disusuli Selangor, Pahang dan Melaka.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, dalam pada itu meminta agar darjah kebesaran yang diberikan kepada Nasiruddin ditarik balik bagi menjaga imej negara, negeri dan Raja-Raja Melayu.

“Beberapa negeri sudah isytihar GISBH adalah kumpulan ajaran sesat. Jadi saya di sini meminta supaya gelaran ‘datukship’ yang diberikan kepada Pengerusi dan CEO seharusnya ditarik balik,” katanya hari ini (15 Okt).

Baca Artikel Berkaitan: Anak Ashaari Muhammad Nafi GISBH Masih Ikut Amalan Al-Arqam

Baca Artikel Berkaitan: GISBH Nafi Terlibat Ajaran Sesat, Akan Beri Kerjasama Kepada Polis & Jakim

Baca Artikel Berkaitan: Sering Dikait Dengan Kumpulan Al-Arqam, Ini Sejarah Penubuhan GISBH


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd