Tular Dakwaan Pelajar Puji Guru Melampau, JAKIM Sudah Siapkan Laporan Lengkap
JAKIM juga telah menghubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Mufti Negeri Kedah bagi tindakan susulan sebagai jalan penyelesaian terhadap isu terbabit.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sejak kebelakangan ini, isu berkaitan ajaran sesat hangat diperkatakan, terutamanya yang berkait GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Susulan serbuan ke atas rumah amal GISBH dalam menyelamatkan kanak-kanak yang disyaki dieksploitasi dan didera, masyarakat kini dilihat lebih cakna berkenaan isu penyelewengan agama.
Isu ini terus hangat apabila tular dakwaan yang mengatakan terdapat kumpulan pelajar yang memuji guru mereka secara berlebihan semasa berqasidah.
JAKIM Sedia Laporan Lengkap Berkaitan Video Tular
Hari ini (10 Oktober), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan kenyataan berkaitan satu video tular tersebut.
Laporan lengkap tentang isu tersebut telah dihasilkan oleh JAKIM, susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pagi tadi.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata video tersebut menyaksikan sekumpulan pelajar mengalunkan qasidah di hadapan guru mereka yang juga pendakwah di satu majlis. Namun qasidah itu didakwa mempunyai bait-bait dalam bahasa Arab yang memuji guru secara keterlaluan.
“Secara asasnya, hukum asal memuji seseorang adalah harus dengan syarat pujian itu pada perkara yang benar dan bukannya dusta,” katanya.
JAKIM Hubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Mufti Negeri Kedah
Sehubungan itu, JAKIM telah menghubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Mufti Negeri Kedah bagi tindakan susulan dalam menyelesaikan isu terbabit.
Sirajuddin berkata pihaknya berharap agar kenyataan yang dikeluarkan dapat meredakan isu dan tidak menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
“JAKIM juga dari semasa ke semasa sentiasa memberikan penjelasan kepada masyarakat Islam berkaitan kefahaman akidah yang sahih berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah selari dengan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” tambahnya.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Minta JAKIM Sediakan Laporan
Terdahulu, JAKIM telah diminta oleh Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, untuk menyediakan laporan dan membawa isu terbabit dibawa kepada tindakan pihak berkuasa agama Islam iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah serta Jabatan Mufti Negeri Kedah.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diminta menyediakan laporan berhubung seorang pendakwah dan sekumpulan pelajar yang mengalunkan bait tertentu dalam bahasa Arab dalam sebuah majlis yang tular di media sosial semalam.
“Sebarang isu berkaitan ketaksuban melampau perlu ditangani dengan segera kerana sekiranya tidak dibendung, ia boleh mengakibatkan masyarakat terjerumus kepada amalan yang bercanggah dengan akidah,” kata Mohd Na’im.
Dalam pada itu, agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan khususnya JAKIM, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) turut diminta agar melipatgandakan usaha dalam memberi kefahaman tentang asas akidah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah kepada masyarakat.
Terdapat Bait Disebut Seolah Guru Mempunyai Karamah
Berdasarkan perkongsian di akaun Facebook pengerusi sebuah pusat pengajian al-Quran dan Hadis, Hadi Akmal, kedengaran para pelajar menyebut bait ‘Ya Syaikhana’ yang merujuk kepada guru mereka.
Dia menerangkan bahawa terdapat juga perkataan sinonim seumpama خَارِق لِلْعَادَةِ yang bermaksud mencari adat.
“Perkataan itu selalunya merujuk kepada Mukjizat untuk anbiya (para nabi) ataupun karamah untuk wali jika penggunaannya untuk orang soleh. Dalam konteks ini lebih cenderung kepada karamah untuk wali,” jelasnya.
Dia dalam pada itu mempersoalkan apakah karamah yang dimiliki penceramah berkenaan.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.