Now Reading
Kapten Turkish Airlines Meninggal Dunia Di Udara, Terpaksa Mendarat Di New York

Kapten Turkish Airlines Meninggal Dunia Di Udara, Terpaksa Mendarat Di New York

Penerbangan dari Seattle ke Istanbul itu melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy selepas kapten terbabit tidak sedarkan diri.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Satu insiden menyayat hati berlaku semalam (10 Oktober) apabila kapten sebuah pesawat Turkish Airlines, İlçehin Pehlivan, meninggal dunia ketika bertugas di udara.

Penerbangan 204 yang berlepas dari Seattle, Amerika Syarikat pada Selasa malam (8 Oktober) untuk ke Istanbul, Turkiye itu kemudian melakukan pendaratan kecemasan di New York.


Kapten Tidak Sedarkan Diri Sebelum Meninggal Dunia

Jurucakap Turkish Airlines, Yahya Üstün menerusi kenyataan di X, menerangkan Pehlivan dilaporkan tidak sedarkan diri selepas penerbangan berlepas.

Tambahnya, bantuan perubatan kecemasan terhadap juruterbang berusia 59 tahun itu gagal memulihkannya.

Sehubungan itu, seorang juruterbang dan pembantu juruterbang membuat keputusan untuk melakukan pendaratan cemas.

“Namun kapten kami menghembuskan nafas terakhirnya sebelum pesawat mendarat,” kata Üstün.

Berdasarkan data daripada laman penjejakan FlightAware, pesawat Airbus A350 itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy sebelum jam 6 pagi.

Üstün sebelum ini berkata persiapan untuk menghantar para penumpang penerbangan itu ke destinasi mereka dari New York sedang diatur.


Pemeriksaan Kesihatan Rutin Tidak Menunjukkan Masalah Kesihatan

Bercakap mengenai Pehlivan, Üstün berkata kapten itu telah berkhidmat di Turkish Airlines sejak 2007.

Pemeriksaan kesihatan rutin yang dijalankan pada Mac 2024 di Aviation Medical Center tidak menemukan sebarang masalah kesihatan yang boleh menghalang Pehlivan daripada bekerja.

“Turkish Airlines amat merasakan kehilangan kapten kami dan mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan sekerja dan semua orang tersayangnya yang ditinggalkan,” kata Üstün.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd