Mayat Lelaki Ditemukan Terapung Di Tasik Kota Kemuning Shah Alam
Menurut Ketua Polis Daerah Mohd Iqbal Ibrahim, identiti mayat yang ditemukan pagi tadi di Tasik Kota Kemuning tidak diketahui namun dipercayai warga asing.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Penduduk Shah Alam digemparkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan terapung di Tasik Kota Kemuning, Seksyen 31 awal pagi hari ini (9 Oktober).
Penemuan yang mengejutkan itu dilaporkan oleh orang awam kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekitar jam 7.39 pagi tadi.
Tiada Dokumen Pengenalan Diri Bersama, Namun Dipercayai Warga Asing
Dalam satu kenyataan menerusi Facebook Polis (IPD) Shah Alam, Ketua Polis Daerah Mohd Iqbal Ibrahim berkata identiti mayat tersebut tidak diketahui kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.
Tambah Mohd Iqbal, mayat ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dan terlentang pada belakangnya.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati mayat itu tidak mempunyai suntikan bacillus calmette guerin (BCG) dan dipercayai warga asing,” katanya dipetik Kosmo.

Tiada Kesan Pergelutan
Di samping itu, Mohd Iqbal menyatakan bahawa tidak terdapat kesan pergelutan pada badan mayat.
“Pemeriksaan ke atas badan si mati mendapati tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh si mati yang boleh menyebabkan kematiannya,” jelasnya.
Dalam pada itu, mayat tersebut telah dihantar ke Hospital Shah Alam pada 11 pagi tadi bagi tujuan post-mortem untuk mengenal pasti punca kematian.
Mohd Iqbal berkata kes diklasifikasikan sebagai Sudden Death Report (SDR) dan meminta orang ramai dengan maklumat lanjut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Shahrul Bakhri di talian 012-3630512.
Terdahulu, mayat seorang wanita turut dilaporkan ditemukan di longkang besar Seksyen 11 Shah Alam dalam keadaan sudah berulat.
Dalam kejadian pada Ogos lalu, polis menerima maklumat berhubung penemuan itu daripada orang awam.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.