Now Reading
[Video] Warga Emas Cedera Parah Akibat Diragut Ketika Mahu Beli Surat Khabar

[Video] Warga Emas Cedera Parah Akibat Diragut Ketika Mahu Beli Surat Khabar

Wanita berumur 78 tahun itu dilihat berjalan seorang diri di sebuah taman perumahan sekitar Jalan Limau Manis, Bangsar sebelum diragut menyebabkannya tersembam di atas jalan tar.

warga emas kena ragut ketika nak beli surat khabar

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kes ragut bukan satu perkara asing lagi di Malaysia. Tidak kiralah di kawasan kampung ataupun di bandar.

Semalam (7 Oktober) kira-kira jam 6.30 pagi, seorang warga emas wanita dilaporkan menjadi mangsa ragut penjenayah bermotosikal di sebuah taman perumahan sekitar Jalan Limau Manis, Bangsar, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, insiden berlaku semasa warga emas berumur 78 tahun itu sedang berjalan kaki seorang diri ke kedai berhampiran.

Jelas beliau, mangsa sedang dalam perjalanan untuk membeli surat khabar yang menjadi rutin hariannya setiap pagi.

“Mangsa didatangi suspek yang menunggang motosikal sebelum menghampiri dari belakang dan meragut beg mangsa,” kata beliau.


Mangsa Alamai Pendarahan Di Kepala

Insiden menyebabkan mangsa tersembam di atas jalan tar dan mengalami cedera parah.

“Mangsa yang parah akibat kejadian kemudiannya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

“Mangsa mengalami pendarahan di kepala yang agak serius dan masih dalam pemantauan pasukan perubatan,” ulas beliau.

Sumber: Malaysia Gazette

Tiada Barang Berharga Dalam Beg Mangsa

Ku Mashariman bagaimanapun menjelaskan bahawa mangsa hanya mengalami kerugian kecil ekoran tiada barangan berharga dalam beg yang dilarikan si peragut.

Tegas PDRM, siasatan lanjut mengenai kejadian sedang dijalankan termasuk mengesan suspek yang masih bebas. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan melakukan rompakan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan,” kata Ku Mashariman.

Terdahulu, tular satu rakaman kamera litar tertutup di laman X (Twitter) menyaksikan seorang wanita sedang berjalan dengan perlahan di taman perumahan.

Namun secara tiba-tiba seorang penunggang motosikal menghampirinya dari arah belakang dan meragut beg sehingga menyebabkan wanita berkenaan tersembam di atas jalan tar.

Insiden hanya mula disedari beberapa orang awam selepas lebih dua minit mangsa terduduk di lokasi kejadian dalam keadaan kepalanya berdarah.


Warga Emas Rugi RM10,000 Lepas Barang Kemas Diragut Depan Rumah

Sebelum ini, seorang warga emas wanita berusia 77 tahun telah diragut oleh penjenayah di hadapan rumahnya di Kampung Batu Hitam Dalam, Tanah Merah, Kelantan.

Menurut PDRM, suspek bertindak menarik tudung warga emas terbabit dan meragut barang kemas kepunyaan mangsa iaitu rantai leher dan rantai tangannya bernilai RM10,000.

Wanita itu kemudiannya mengalami kecederaan iaitu lebam di bahagian tangan kiri.

Baca Artikel Berkaitan: Warga Emas Cedera, Barang Kemas Bernilai RM10,000 Lesap Selepas Diragut Depan Rumah

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Pura-pura Tanya Soalan, Mangsa 71 Tahun Dihampiri Individu Tak Dikenali Sebelum Rantai Emas Diragut


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd