Gadis 17 Tahun Jadi Mangsa Sindiket Di Myanmar, Ibu Mohon Bantuan Pihak Berkuasa
Menurut si ibu yang dikenali sebagai Risdawati, anak gadisnya bekerja selama dua minggu di Johor sebelum tidak dapat dihubungi dan dipercayai dibawa ke Myanmar menerusi jalan tikus di Thailand.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kes sindiket pemerdagangan manusia dan penculikan melibatkan rakyat Malaysia ke negara jiran, terutamanya Myanmar, semakin banyak dilaporkan.
Terdahulu, beberapa individu menceritakan mereka ditipu oleh kenalan sendiri dan diajak bercuti ke Thailand, sebelum dijual ke Myanmar sebagai tebusan. Ada juga mangsa yang diperdaya dengan janji kerja sebelum dipaksa bekerja sebagai scammer.
Lebih menyedihkan, seorang wanita Islam juga sebelum ini telah menjadi mangsa sindiket penipuan kerja apabila dipaksa melacur dan dijamu daging khinzir.
Baca Artikel Berkaitan: Diculik Dari Bangkok & Dibawa Ke Myanmar, Rakan Sendiri Jadi Dalang Penculikan
Baca Artikel Berkaitan: Rakyat Malaysia Dedah Derita Dipaksa Kerja Sebagai ‘Scammer’ Di Myanmar
Baca Artikel Berkaitan: Terpaksa Melacur & Makan Daging Khinzir, Mangsa Sindiket Penipuan Kerja Dedah Realiti Sebenar
Diminta Bayar USD10,000 Untuk Bawa Pulang Anak Ke Malaysia
Hari ini (8 Oktober), media melaporkan seorang wanita dikenali sebagai Risdawati, memohon agar pihak berkuasa membantu menyelamatkan anak perempuannya.
Gadis berumur 17 tahun itu dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdangan manusia di Myanmar sejak tahun lepas.
Risdawati bagaimanapun berkata dia berjaya menghubungi anak sulungnya itu. Namun kali terakhir dia dihubungi adalah pada Sabtu (5 Oktober) lalu, apabila dimaklumkan perlu membuat bayaran wang tunai sebanyak US$10,000 (RM42,000) kononnya bagi menampung kos membawa pulang anaknya.
Dia berkata demikian ketika sidang media bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang turut dihadiri Setiausaha Agungnya Datuk Hishamuddin Hashim. Dipercayai bayaran itu adalah sebagai wang tebusan.
Diugut Akan Dijual Ke Tempat Lain Jika Gagal Buat Bayaran
Menurut Risdawati, anaknya yang dijanjikan pekerjaan secara kontrak selama setahun di Myanmar tidak lagi dibayar gaji selepas beberapa ketika di sana.
Malah, gadis itu dimaklumkan akan dibenarkan pulang selepas tamat tempoh kontrak namun telah ditipu dan diugut.
“Namun selepas kontrak tamat, anak kami tidak dibenarkan pulang. Syarikat itu menipu dan mengugut kami,” katanya dipetik Awani.
Tambah wanita yang menetap di Pulau Pinang itu, jika wang tersebut tidak dibayar, anaknya diugut akan dijual ke tempat lain dan ditambah kontrak selama setahun.
Apabila ditanya, wanita berkata anaknya tidak memaklumkan tentang keadaannya di sana kerana seolah-olah diawasi ketika menghubunginya.

Gadis Tidak Dapat Dihubungi Selepas 2 Minggu Bekerja
Menceritakan tentang pekerjaan anaknya yang baru sahaja tamat persekolahan, Risdawati berkata gadis itu pernah memasang hasrat untuk bekerja di Singapura.
Perkara ini bagaimanapun tidak dipersetujui bapanya yang tidak membenarkan dia membuat pasport memandangkan usianya yang masih muda.
Gadis itu kemudiannya berkerja selama dua minggu di tempat baharu iaitu di selatan tanah air sebelum gagal dihubungi.
“Dia bagaimanapun dibenarkan untuk bekerja di Johor pada pertengahan tahun lepas dan tinggal bersama ibu saudaranya selama lebih kurang dua minggu sebelum kami terputus hubungan dan dipercayai telah dibawa ke Myanmar menggunakan jalan tikus dari Thailand,” katanya.
Keluarga Dinasihati Kurangkan Menghubungi Mangsa
Wanita itu kemudiannya membuat laporan polis pada 25 Oktober 2023 dan 25 September tahun ini dengan harapan agar pihak berkuasa dapat campur tangan dan segera membawa anaknya pulang.
Dalam pada itu, Hishamuddin menegaskan pihaknya sedang berusaha bagi menyelamatkan mangsa mengikut kepada undang-undang negara.
Pihak MHO turut menasihati keluarga mangsa agar tidak membuat sebarang pembayaran wang tebusan. Mereka juga dinasihatkan agar tidak kerap menghubungi mangsa untuk mengurangkan risiko terhadap keselamatannya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.