Now Reading
Datuk Bandar Chilpancingo, Mexico Dibunuh Lepas Kurang Seminggu Pegang Jawatan

Datuk Bandar Chilpancingo, Mexico Dibunuh Lepas Kurang Seminggu Pegang Jawatan

Pembunuhan Alejandro Arcos telah disahkan oleh pejabat pendakwa raya negeri pada Ahad (6 Oktober) lalu, namun tiada sebarang butiran diberikan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Chilpancingo, ibu negeri Guerrero yang terletak di selatan Mexico, merupakan sebuah bandar yang penuh aktiviti keganasan membabitkan kartel dadah.

Pada tahun lepas, kumpulan dadah di sana pernah secara terbuka mengadakan demonstrasi, merampas kereta berperisai kerajaan dan menjadikan polis sebagai tebusan agar suspek ditahan dibebaskan.

Terkini, Alejandro Arcos yang baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Chilpancingo, telah dibunuh kurang seminggu setelah dia menjawat jawatan itu.


Gambar Tular Tunjuk Arcos Dipenggal Kepala

Pejabat pendakwa raya negeri mengesahkan pada Ahad (6 Oktober) lalu bahawa Arcos telah dibunuh, tanpa memberikan sebarang butiran.

Gambar yang tular di media sosial bagaimanapun menunjukkan dia telah dipenggal kepalanya yang kemudiannya diletakkan di atas bumbung kereta.

Dalam pada itu, pemimpin kebangsaan Institutional Revolutionary Party (PRI), Alejandro Moreno, meratapi pembunuhan Arcos. Dia memaklumkan bahawa setiausaha majlis bandaraya yang juga baru dilantik telah dibunuh tiga hari sebelum itu.

“Mereka memegang jawatan kurang seminggu. Mereka masih muda dan merupakan penjawat awam yang jujur serta mencari kemajuan demi komuniti,” tulisnya di akaun media sosial.

Gabenor Guerrero, Evelyn Salgado Pineda pula menerusi media sosial semalam (7 Oktober) mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan itu.

“Kematiannya telah menimbulkan kesedihan dalam semua masyarakat Guerrero dan mengisi kami dengan kemarahan,” katanya.

Dia juga telah mengarahkan Setiausaha Negeri Keselamatan Awam untuk meningkatkan operasi pengawasan dan kedekatan sosial di pelbagai kawasan Chilpancingo.


Ardilos Adakan Demonstrasi Untuk Bebaskan 2 Pemimpin Yang Ditahan

Pada Julai 2023, pegawai persekutuan memaklumkan sebuah demonstrasi yang diadakan oleh ratusan individu di Chilpancingo telah dianjurkan oleh kumpulan Ardillos bagi mendapatkan pembebasan dua pemimpinnya yang ditahan atas kesalahan memiliki dadah dan senjata.

Sebahagian besar penunjuk perasaan menghalang lebuh raya antara Mexico City dan Acapulco selama dua hari. Mereka telah bertempur dengan pasukan keselamatan dan menggunakan trak perisai polis untuk merempuh pagar di bangunan perundangan negeri.

Laporan lanjut mengatakan mereka turut menculik 10 ahli polis negeri dan National Guard, serta tiga pegawai negeri dan persekutuan sebagai tebusan untuk menegakkan tuntutan sebelum membebaskan para tebusan.


Guerrero Antara Negeri Paling Miskin Di Mexico, Catat 1,890 Pembunuhan Pada 2023

Menurut AFP, Guerrero yang merupakan salah satu negeri paling miskin di Mexico, telah beberapa tahun berdepan aktiviti keganasan berkait perang kawasan antara kartel (Ardillos dan Tlacos) untuk mengawal pengeluaran dan pengedaran dadah.

Pada tahun 2023 sahaja, 1,890 pembunuhan direkodkan di negeri tersebut yang menempatkan bandar peranginan pantai, Acapulco.

Acapulco merupakan ‘padang permainan’ bagi golongan kaya dan terkenal sebelum dilanda jenayah. (Sumber gambar: Expedia)

Di seluruh Mexico, lebih 450,000 orang dibunuh dan puluhan ribu telah hilang akibat aktiviti keganasan sejak kerajaannya mengerahkan angkatan tentera untuk memerangi pengedaran dadah pada 2006.

Ahli politik, terutamanya di peringkat tempatan, seringkali menjadi mangsa pertumpahan darah yang berkait dengan rasuah dan perdagangan dadah bernilai berbilion dolar, lapor AFP.

Berdasarkan data rasmi, sekurang-kurangnya 24 ahli politik telah dibunuh ketika proses pilihanraya menjelang pilihan raya pada Jun. Ia dimenangi besar oleh figura penting parti pemerintah.

Seorang bekas datuk bandar sebelum ini telah dirakam menerusi video ketika disyaki sedang mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin sebuah kumpulan di restoran. Wanita itu kemudiannya dibuang daripada partinya.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd