[Video] Mangsa Kemalangan Di Kota Samarahan Acu Pisau Ke Arah Anggota PDRM Kini Ditahan
Mangsa kemalangan yang merupakan seorang lelaki telah ditahan semalam (6 Oktober) kerana gagal memberikan kerjasama selepas cuba ditenangkan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Apabila berlakunya kemalangan di jalan raya, orang ramai yang menyaksikan insiden itu pasti akan menghubungi talian kecemasan.
Selain daripada ambulans, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan hadir ke lokasi kemalangan bagi membantu mangsa.
Namun lain pula yang terjadi apabila seorang mangsa kemalangan bertindak mengacukan pisau ke arah anggota polis yang cuba membantunya.
Mangsa Kemalangan Acu Pisau Pada Anggota Polis
Menerusi satu video yang tular di X semalam (6 Oktober), dapat dilihat sebuah kereta Perodua Myvi terbabas di tepi jalan.
Kelihatan bahagian belakang kereta berwarna hitam itu juga kemik dipercayai akibat impak perlanggaran.
Apa yang mengejutkan adalah apabila seorang anggota polis yang berada di tepi pintu belakang kereta tersebut tiba-tiba menjauhkan diri berikutan ancaman daripada pemandu yang dipercayai mengacukan pisau.
“Mahu tolong kamu ni. Saya mahu tolong kamu naik ke atas. Bukan mahu apa-apakan kamu,” kedengaran salah seorang anggota polis itu memberitahu pemandu terbabit.
Pisau yang dikatakan tidak jelas kelihatan dalam video tersebut, namun kedengaran anggota polis meminta pemandu itu membuang pisau yang dibawa.
“Encik, buang pisau kamu. Buang, encik,” katanya.
Pemandu tersebut dilihat duduk sahaja buat beberapa seketika di tempat duduk hadapan. Dia tidak lama kemudian keluar dari kereta tersebut untuk naik ke atas jalan raya.
Lelaki Ditahan Kerana Acu Pisau Ke Arah Anggota Polis
Semalam, media melaporkan lelaki terbabit telah ditahan kerana mengacukan pisau ke arah anggota PDRM.
Dalam kejadian sekitar 11.35 pagi 5 Oktober, anggota polis ketika itu cuba membantunya selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Expressway Samarahan-Kuching, berhampiran sebuah pusat beli-belah di Kota Samarahan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Jaimi Husin, anggota dari Unit Peronda Polis (MPV) digegaskan ke lokasi kejadian apabila mendapat maklumat mengenai sebuah kereta yang terbabas di tepi jalan raya.
“Semasa anggota polis cuba memberikan bantuan dan mengeluarkan pemandu dari kenderaannya, tiba-tiba dia mengacukan pisau ke arah mereka. Lelaki terbabit cuba ditenangkan namun gagal memberikan kerjasama,” katanya.
Suspek Langgar 4 Kenderaan Sebelum Terbabas
Berdasarkan kepada siasatan awal, Jaimi berkata suspek dalam perjalanan dari Kuching ke Kota Samarahan ketika itu. Kereta yang dipandunya kemudian telah melanggar empat kenderaan lain sebelum di hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit.
Tambahnya lagi, suspek berusia 24 tahun ditahan dengan bantuan anggota bomba, serta sebilah pisau pemotong sayur yang digunakannya dirampas.
Di samping itu, Jaimi memaklumkan bahawa suspek akan direman esok (8 Oktober) bagi siasatan di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya.
Pihak Polis Tidak Boleh Gunakan Senjata Api Dengan Sewenangnya
Meninjau ke ruangan maklum balas, beberapa individu berkata lelaki terbabit pasti akan ditembak pihak polis jika melakukan perkara sedemikian di Amerika Syarikat.
Ada juga yang mempersoalkan mengapa pihak polis tidak mengacukan pistol. Namun perlu difahami bahawa terdapat prosedur dalam menggunakan senjata api dan pistol tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya oleh anggota polis.
Media sebelum ini melaporkan PDRM hanya boleh menembak penjenayah sehingga mati dalam keadaan nyawa seorang anggota atau orang awam terancam.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika itu menegaskan bahawa anggota polis perlu mematuhi Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO), undang-undang serta prosedur berkaitan sebelum mengambil tindakan sedemikian.
Dalam pada itu, beberapa pengguna X mencadangkan agar penggunaan taser atau stun gun dalam kalangan anggota polis diperkenalkan dan digunakan apabila berdepan penjenayah sedemikian.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.