“Kebal Sungguh” – Khemah Sewa Masih Dilihat Di Teluk Kemang Lepas Ditegur Exco Negeri
Tinjauan oleh pihak Berita Harian semalam (6 Oktober) mendapati khemah-khemah tersebut masih dipasang walaupun isu itu telah ditegur Exco Kerajaan Negeri Sembilan minggu lalu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Isu khemah sewa di pantai Teluk Kemang, Port Dickson hangat diperkatakan susulan satu video yang tular di media sosial.
Video tersebut menyaksikan banyak khemah biru diletak berhampiran gigi air di pantai itu, sekaligus merosakkan pemandangan.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri, J. Arul Kumar telah mengarahkan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) untuk merampas khemah haram yang dilarang dipasang di kawasan bukan persendirian pada 1 Oktober lalu.
Walau bagaimanapun, tinjauan oleh pihak Berita Harian semalam (6 Oktober) mendapati khemah-khemah tersebut masih dipasang.
Perkara ini sememangnya menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penunjung memandangkan isu itu telah mendapat perhatian dan teguran Exco Kerajaan Negeri Sembilan.
Baca Artikel Berkaitan: “Teluk Khemah Ke Teluk Kemang Ni?” – Ramai Persoal Kewujudan Khemah Di Tepi Pantai [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Tindakan Tegas Buat Peniaga Sewa Khemah Di Pantai Awam – Exco N9
“Khemah Sewa Masih Ada, Tapi Tak Tegur Jika Bentang Tikar” – Pengunjung
Menerusi sesi temubual oleh Berita Harian, sebilangan pengunjung terkejut melihat khemah terbabit masih dipasang di Teluk Kemang walaupun arahan rampasan telah dikeluarkan.
Menurut seorang pengunjung yang dikenali sebagai Rahim, dia merasakan pengusaha dilihat seolah-olah ‘kebal’ apabila masih memasang khemah sewa.
Katanya, jika sebelum ini para pengusaha berkenaan menegur pengunjung ynag membentang tikar berhampiran khemah, kini tiada lagi teguran tersebut.
“Saya tidak rasa mereka terkesan dengan ‘situasi hangat’ ini kerana menggunakan alasan khemah itu dipasang atas kehendak penyewa yang beriadah di sini.
“Saya juga nampak seolah-olah tiada tindakan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), itu yang pelik,” katanya.
“Pengusaha Khemah Sewa Seolah Tak Boleh Ditegur” – Pengunjung
Rohana Abdullah yang berkunjung dari Bangi, Selangor turut berasa hairan melihat khemah sewa masih beroperasi di pantai Teluk Kemang.
Dia berpendapat jika PBT bertindak, pengusaha pasti tidak berani memasang khemah walaupun terdapat permintaan daripada para pengunjung. Namun, mereka dilihat seolah-olah tidak boleh ditegur memandangkan kegiatan tersebut masih berleluasa.
“Yang saya hairan ialah bagaimana mereka boleh terus berani memasang khemah biru ini sedangkan EXCO kerajaan negeri sudah menegur supaya ia dihentikan kerana menimbulkan kemarahan orang ramai,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Daniel Armin dari Melaka berasa terkejut melihat khemah sewa masih beroperasi ketika berkunjung ke pantai tersebut, walaupun telah ditegur Arul Kumar.
Tambahnya lagi, tiada penguatkuasa yang melakukan operasi terhadap pengusaha khemah sewa.
“Mereka memang berani tidak menghiraukan teguran dibuat pemimpin. Malah, saya hairan kerana tidak nampak penguatkuasa MPPD melakukan operasi terhadap mereka,” katanya.
Isu Khemah Sewa Di Teluk Kemang Dijangka Selesai Selewatnya Hujung 2024
Di samping itu, pihak Berita Harian turut berkesempatan menghubungi Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid untuk bertanyakan tentang isu tersebut.
Dia berkata sebuah libat urus akan diadakan antara pihaknya dengan pengusaha. Rundingan juga akan dijalankan agar pengusaha akur arahan yang diberikan.
Tambah Hasnor, libat urus dan rundingan tersebut dijangka selesai selewat-lewatnya hujung tahun ini.
“SPRM Sila Masuk” – Pengguna X
Hantaran oleh Berita Harian di X berkenaan perkara itu mengundang amarah orang ramai yang meminta agar tindakan tegas dijalankan ke atas pengusaha khemah sewa berkenaan.
Seorang individu berpendapat pengusaha khemah sewa itu sememangnya ‘liat’ memandangkan perkara itu telah terjadi selama 10 tahun tanpa sebarang tindakan.
Dalam masa sama, beberapa individu meminta agar siasatan dijalankan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas MPPD kerana gagal menyelesaikan isu tersebut.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.