Now Reading
KKM Tubuh Pasukan Petugas Khas Siasat Kes Kematian Pakar Perubatan Patalogi Di Lahad Datu

KKM Tubuh Pasukan Petugas Khas Siasat Kes Kematian Pakar Perubatan Patalogi Di Lahad Datu

Pasukan petugas khas tersebut dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dollah dan dianggotai lima pakar bukan dari KKM.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Seorang Pakar Perubatan Patologi ditemui meninggal dunia di rumah sewanya pada 29 Ogos lalu.

Dr Tien Yaa yang baru melaporkan diri di Hospital Lahad Datu pada Februari tahun ini didakwa menjadi mangsa buli dan menghadapi tekanan kerja melampau.

Terkini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan penubuhan sebuah pasukan petugas khas bebas bagi menyiasat kes insiden kematian tersebut.

Menerusi kenyataannya, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa pihaknya tidak bertolak ansur dengan perlakuan buli di tempat kerja.


5 Pakar Bukan Dari KKM Termasuk Dalam Pasukan Petugas Khas

Pasukan Petugas Khas Bagi Menyiasat Kes Insiden Kematian Pakar Perubatan Patologi Di Lahad Datu itu akan berkuat kuasa pada 10 Oktober.

Dr Dzulkefly berkata pasukan tersebut akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dollah, serta dianggotai lima ahli yang bukan anggota KKM.

Kesemua mereka berpengetahuan dan mempunyai kepakaran termasuk dalam bidang perubatan, psikiatri, patologi, kesihatan mental serta perlakuan buli. Mereka ialah:

  • Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir
  • Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Datuk Dr Azman Abu Bakar
  • Ahli Lembaga Pihak Berkuasa Peranti Perubatan yang juga bekas Penasihat Undang-Undang KKM, Datuk Mohamad Fazin Mahmud
  • Pakar Patologi dan Perunding Kanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Ulung Datuk Dr Looi Lai Meng
  • Pakar Perunding Kanan (Psikiatri) di Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Chan Lai Fong

Pasukan Petugas Khas Akan Teliti Budaya Kerja Di Hospital Lahad Datu

Menurut Dr Dzulkefly, pasukan petugas khas itu berperanan bagi melaksanakan siasatan dan menganalisis input daripada siasatan insiden kematian secara khusus serta meneliti budaya kerja di Hospital Lahad Datu.

“Mereka akan mengenal pasti dan mengesahkan sama ada wujud perlakuan buli di Hospital Lahad Datu secara umum dan di Jabatan Patologi Hospital Lahad Datu secara khusus dan mengenal pasti jenis perlakuan buli yang cenderung berlaku di KKM serta faktor dalaman dan luaran yang menyumbang kepada perlakuan berkenaan,” katanya.

Tambahnya lagi, pasukan petugas khas tersebut akan menyediakan laporan hasil siasatan berkaitan insiden kematian serta cadangan penambahbaikan bagi mencegah dan menangani perlakuan buli di fasiliti kesihatan dalam masa tiga bulan dari tarikh penubuhan.


Adik Dakwa Mangsa Ditindas Ketua Jabatan Hospital

Terdahulu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata pihaknya memohon agar KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri mempercepatkan proses siasatan berhubung kematian tersebut.

Dia berkata insiden sedemikian boleh menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kesihatan mental doktor yang bertugas di sektor kesihatan awam.

“MMA amat hargai jika ada respons yang pantas dan kami tetap teguh dengan komitmen untuk meningkatkan kesihatan mental, kebajikan serta memastikan persekitaran kerja sentiasa selamat,” katanya dipetik Sinar Harian.

Dalam pada itu, adik mangsa mendakwa kakaknya telah ditindas oleh Ketua Jabatan hospital. Mangsa yang berkhidmat sebagai ketua unit ketika itu didakwa menghadapi tekanan sepanjang bertugas hingga terpaksa menanggung beban kerja melampau.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd