Now Reading
Akta 852 Tentang Larangan Berkaitan Produk Tembakau, Ini Yang Patut Anda Tahu

Akta 852 Tentang Larangan Berkaitan Produk Tembakau, Ini Yang Patut Anda Tahu

Akta 852 yang dikuatkuasakan bermula 1 Oktober lalu menggariskan larangan pengiklanan dan penjualan produk tembakau serta 28 kawasan larangan merokok.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Akta Kawalan Produk Rokok (Akta 852) telah dikuatkuasakan bermula 1 Oktober lalu dengan beberapa aspek yang dijalankan serentak dengan Peraturan-Peraturan serta Perintah di bawahnya.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan penguatkuasaan akta tersebut dilaksanakan dalam dua fasa iaitu serta-merta dan penguatkuasaan pendidikan.

Tiga aspek penting yang dikuatkuasakan secara serta-merta melibatkan penjualan produk merokok yang menarik perhatian kanak-kanak dan remaja, pengiklanan produk merokok dan tempat dilarang penjualannya.

Dengan penguatkuasaan akta baharu ini, pasti ramai yang ingin tahu perincian yang terkandung dalamnya agar tidak melakukan apa-apa kesalahan berkaitan.

Baca Artikel Berkaitan: KKM Kuat Kuasa Akta 852 Berkaitan Kawalan Produk Rokok Mulai Hari Ini, 1 Oktober


Akta 852 Untuk Lahirkan Generasi Baharu Bebas Produk Tembakau

Akta 852 yang diwartakan pada 2 Februari 2024 dikuatkuasakan bagi perkara melibatkan kawalan penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau dan peranti merokok.

Tujuan ia dikuatkuasakan adalah bagi melahirkan generasi baharu yang bebas daripada sebarang produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau dan peranti merokok.

‘Bahan merokok’ dalam pada itu merujuk kepada bahan atau secara gabungan bahan yang mengandungi propylene glycol, glycerol atau triethylene glycol bagi tujuan merokok.

Sebagai info, kawalan produk hasil tembakau dahulu hanyalah sebagai sebuah peraturan di bawah Akta Makanan 1983.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Unsplash)

Larangan Pengiklanan Produk Tembakau

Berdasarkan kepada Fasal 7 Akta 852, tiada seorang pun boleh menerbitkan atau memudahkan mana-mana orang untuk menerbitkan apa-apa iklan suatu produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau yang:

  • Mengandungi apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.
  • Mengandungi apa-apa jenama atau cap dagang yang berhubungan dengan apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.
  • Mengandungi apa-apa tawaran atau pelawaan untuk membeli apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.
  • Dimaksudkan atau berkemungkinan untuk menggalakkan mana-mana orang untuk merokok.
  • Mempromosikan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau itu sebagai suatu produk berhenti merokok.
  • Mempromosikan apa-apa barang yang digunakan bersama dengan apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.

Jika seseorang disabitkan kesalahan, dia akan dikenakan hukuman berikut:

  • Bagi kesalahan pertama, denda tidak lebih RM20,000, atau penjara tidak lebih satu tahun, atau kedua-duanya.
  • Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, denda tidak lebih RM30,000, atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan yang dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan:

  • Bagi kesalahan pertama, denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000, atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya.
  • Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak melebihi RM300,000, atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya.

Larangan Penjualan Produk Tembakau Tidak Mengikut Ketetapan

Di samping larangan pengiklanan, Akta 852 juga menekankan larangan ke atas penjualan produk tembakau seperti tertakluk di bawah Fasal 10, iaitu tiada seorang pun boleh menjual atau mempamer bagi penjualan apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau melainkan jika mematuhi kehendak sebagaimana yang ditetapkan.

Jika disabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman:

  • Bagi kesalahan pertama, denda tidak lebih RM20,000, atau penjara tidak lebih satu tahun, atau kedua-duanya.
  • Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, denda tidak lebih RM30,000, atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya.

Sekiranya kesalahan dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan:

  • Bagi kesalahan pertama, denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM100,000, atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya.
  • Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih RM300,000, atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, larangan penjualan produk merokok dikuatkuasakan serta-merta di tempat seperti berikut:

  • Kawasan institusi pendidikan dan institusi pengajian tinggi
  • Pasar jualan yang bersifat sementara
  • Dalam talian
  • Mesin layan diri

Penjualan rokok juga dilarang untuk dipamerkan di kedai serbaneka secara terbuka dan perlu diletakkan dalam almari tertutup bermula pada 1 April 2025.

Ini termasuk juga di kedai khas menjual produk merokok yang perlu mengelakkan produknya daripada kelihatan dari luar, tetapi boleh dipamerkan secara terbuka di dalam kedai.

https://twitter.com/drafiqawe/status/1841640369873944887

28 Tempat Dilarang Merokok Di Bawah Akta 852

Aspek terakhir yang dijalankan secara serta-merta dengan penguatkuasaan Akta 852 adalah tempat larangan merokok. 28 tempat dan kawasan telah dikategorikan sebagai kawasan larangan merokok.

Berdasarkan warta kerajaan bagi Akta 852, ‘kawasan’ merujuk kepada seluruh kawasan premis, termasuk kawasan di dalam bangunan dan persekitaran bangunan yang berada di dalam lingkungan pagar atau tanah lot di premis.

‘Bangunan’ pula merujuk kepada sebarang kawasan di dalam sebuah bangunan, termasuk kaki lima dan tanah dalam jarak tiga meter dari garisan bangunan, dan juga termasuk kawasan yang ditutup oleh bumbung kekal yang bersambung dengan bangunan utama.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Unsplash)

Memetik Malay Mail, berikut adalah senarai kawasan-kawasan yang dilarang merokok ataupun menggunakan vape:

  1. Pusat hiburan atau teater, kecuali kasino
  2. Kawasan hospital atau klinik
  3. Lif atau tandas awam
  4. Tempat makan
  5. Kedai berhawa dingin
  6. Bangunan dobi
  7. Bangunan hentian pengangkutan awam
  8. Kawasan lapangan terbang kecuali kawasan atau bilik merokok yang telah diluluskan
  9. Kawasan premis kerajaan
  10. Bangunan Parlimen Malaysia
  11. Mana-mana kawasan yang digunakan bagi apa-apa aktiviti perhimpunan sama ada di mana-mana tempat awam atau di dalam sesuatu bangunan selain bangunan kediaman atau persendirian
  12. Kawasan institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi
  13. Kawasan taman asuhan kanak-kanak
  14. Kaunter perkhidmatan awam
  15. Kompleks membeli-belah
  16. Kawasan stesen minyak
  17. Bangunan stadium, pusat kecergasan atau gimnasium
  18. Kawasan kompleks sukan
  19. Bangunan atau tempat awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan
  20. Kawasan perpustakaan
  21. Kafe internet
  22. Kawasan tempat latihan khidmat negara
  23. Bangunan tempat kerja
  24. Kawasan rehat dan rawat kecuali tempat letak kereta awam terbuka
  25. Kawasan taman awam kecuali tempat letak kereta awam terbuka
  26. Menara cerapan, tapak perkhemahan, titian kanopi, dan lima meter dari laluan masuk atau keluar titian kanopi dalam taman negara atau taman negeri
  27. Di dalam bas sekolah
  28. Di dalam kenderaan awam

Setiap kawasan yang disenaraikan di atas dan kawasan berjarak tiga meter daripada garisan bangunan berkaitan adalah kawasan larangan merokok.

Parlimen Malaysia antara tempat yang dikategorikan sebagai kawasan larangan merokok. (Sumber gambar: Parlimen Malaysia)

Pengecualian larangan merokok di kawasan lapangan terbang pula adalah seperti berikut:

Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur

  • MAS Golden Lounge, Mezzanine Level, Bangunan Satelit
  • Smoking Room C31 (Lot SATMEZ 25), Mezzanine Level, Bangunan Satelit
  • Smoking Room C11, Mezzanine Level, Bangunan Satelit
  • Smoking Room B2, Passenger Level Domestik, Contact Pier Building
  • Smoking Zone Open Area di tepi jalan luar antara Gate 4 dan Gate 6, Tingkat 5
  • Smoking Zone Open Area di tepi jalan luar hadapan Gate 4, Gate 6 dan Gate 8, Tingkat 3
  • Smoking Zone Open Area di tepi jalan luar, Tingkat 1
  • Office Area, Room C23, Ground Floor Satellite Building A
  • Office Area Bay A8 Ground Floor Contact Pier Building

Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur

  • Arrival Hall Mall Gateway, Tingkat 2
  • Smoking Room Satellite Sector 6, Tingkat 2
  • Open Smoking Area di seksyen kanan dan kiri Sector 2, Tingkat 3
Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Unsplash)

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang

  • Pelepasan Domestik (di antara Gate B5 dan B7), Tingkat 2
  • Pelepasan Antarabangsa (di antara Gate 5), Tingkat 2
  • Zon A, Arrival North part, Tingkat 1
  • Zon B, Departure South part, Tingkat 2

Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah

  • Smoking Zone No. 1 dan 2, Tingkat 3, Pelepasan Domestik
  • Smoking Zone No. 3, 4 dan 5, Ketibaan, Tingkat 1
  • Smoking Room, Ketibaan Antarabangsa, Tingkat 3

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd