Warga Bangladesh Didakwa Heret Kucing Sambil Naik Motosikal, Mengaku Tak Bersalah
Seorang lagi individu warganegara asing yang sepatutnya dituduh bersama atas dakwaan menyebabkan kecederaan ke atas kucing tersebut gagal menghadirkan diri mahkamah.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Seorang individu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini (2 Oktober) atas tuduhan mendatangkan kesakitan ke atas seekor kucing.
Tertuduh, Monotosh, yang merupakan pekerja pembersihan warga Bangladesh walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa secara bersama dengan seorang individu lain mengheret seekor kucing dewasa yang diikat menggunakan alat penjerut sambil menaiki sebuah motosikal di atas jalan raya.
Ikat Kucing Dengan Alat Penjerut & Heret Naik Motosikal
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terhadap kucing berwarna putih itu di sebuah kawasan perumahan di Seksyen 31, Shah Alam antara jam 2 hingga 2.15 petang, 7 September lalu.
Sehubungan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 29(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaaan.
Sekiranya disabit kesalahan, tertuduh berdepan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000, atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh Dijamin Oleh Majikan, Serah Pasport Pada Mahkamah
Tertuduh ditawarkan jaminan sebanyak RM20,000 oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Mohd Sharif Sabran. Dia juga ditawarkan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam, K Bagia Sri Devi, yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan anak guamnya berasal dari Bangladesh dan hanya menerima gaji RM1,500 sebulan.
“Dokumen perjalanan tertuduh telah diserahkan kepada mahkamah dan dia telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa sejak disiasat,” katanya.
Tambahnya lagi, Monotosh juga tidak mempunyai sebarang ahli keluarga di Malaysia dan akan dijamin oleh majikannya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin warganegara serta pasport diserahkan kepada mahkamah. Dia juga perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.
Seorang Lagi Warganegara Asing Tak Hadir Ke Mahkamah
Dalam pada itu, seorang lagi individu warganegara asing yang sepatutnya dituduh bersama gagal menghadirkan diri mahkamah.
Mohd Sharif sehubungan itu membuat permohonan bagi mengeluarkan waran tangkap sebelum mendapat kebenaran mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 November ini, lapor Sinar Harian.
Banyak Kes Dera Kucing Dilaporkan Media
Penganiayaan ke atas kucing malangnya bukanlah kes terpencil di negara ini yang dilakukan oleh segelintir individu tidak berhati perut.
Walaupun terdapat banyak insiden sedemikian yang dilaporkan oleh media, namun tidak pasti jika tindakan telah diambil ke atas pelaku.
Pada Jun lalu, Persatuan Haiwan Malaysia telah menawarkan ganjaran sebanyak RM3,000 bagi sesiapa yang berjaya menjejak pelaku yang melapah seekor kucing.
Malah, terdapat juga kes kucing peliharaan diracun yang disyaki dilakukan oleh jiran tetangga sendiri.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Lapah Kucing: Persatuan Haiwan Malaysia Tawar Ganjaran RM3,000 Jika Dapat Jejak Pelaku
Baca Artikel Berkaitan: Dah Jaga Bertahun-tahun, Lelaki Luluh Hati 2 Kucing Mati Kena Racun
Namun begitu, masih ramai juga yang menyayangi haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW ini dan membantu mereka yang dalam kesusahan.
Beberapa taman kucing juga telah dibina seperti di Cyberjaya bagi menempatkan kucing-kucing liar, sekaligus merawat mereka yang tercedera sebelum dibuka bagi ‘adoption’.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Lelaki Jadi ‘Hero’ Selamatkan Anak Kucing Terjatuh Dalam Perigi Dipuji Ramai
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Tular Pekerja Zoo Selamatkan Anak Kucing Dalam Kandang Harimau Raih Perhatian
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.