Budaya FOMO & YOLO Punca Belia Terbeban Dengan Hutang – Pakar Kewangan
Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata budaya FOMO & YOLO oleh golongan belia membuatkan mereka sanggup membuat pinjaman peribadi walhal tahu diri sendiri tidak mampu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Memang tidak dapat dinafikan, pada ketika ini banyak benda-benda viral yang membuatkan orang ramai rambang mata untuk memilikinya.
Dengar sahaja reviu baik dan maklum balas orang ramai, terus ‘berdesup’ untuk membelinya. Kadangkala golongan pengguna ini tidak berfikir panjang sebelum membuat sesuatu pembelian.
Walaupun jumlah wang dalam bank simpanan hanya tinggal dua digit, namun ramai yang panjang akal dengan membuat pinjaman peribadi. Tetapi mereka tidak sedar bahawa budaya tersebut boleh ‘memakan diri sendiri’ dalam jangka masa yang lama.
Baca Artikel Berkaitan: Trend Makanan Viral: Pakar Nasihat Jangan Terjebak Sindrom ‘Takut Ketinggalan’
Baca Artikel Berkaitan: “Bukan Kita Kelaparan 6 Tahun” – Ustaz Azhar Idrus Bidas Netizen Sanggup Beratur Lama Untuk Beli Makanan Viral
Ramai Berhutang Kerana Mentaliti FOMO & YOLO
Hari ini (2 Oktober), Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berpendapat bahawa budaya FOMO (fear of missing out) dan YOLO (you only live once) merupakan antara faktor utama mengapa golongan belia dibelenggu hutang.
Malah ramai juga yang sudah mempunyai hutang yang banyak walaupun pada usia seawal 20 tahun.
Menurut beliau, ramai di kalangan belia sanggup berhutang semata-mata untuk mengikut trend terkini seperti memiliki teknologi canggih dan telefon berjenama walaupun mereka sedar ia sudah melebihi kemampunan diri sendiri.
Dr Mohamad Fazli menyifatkan keutamaan belia bagi mengikut kehendak masing-masing dilihat sangat membimbangkan. Hal ini kerana golongan muda ini tidak sepatutnya berhutang untuk membeli barang keperluan.
“Terpaksa meminjam untuk beli pelbagai barangan keperluan adalah satu perkara amat serius kerana dalam pengurusan kewangan, kita tidak sepatutnya berbuat demikian untuk kelangsungan hidup.
“Contohnya terpaksa membuat pinjaman bank atau institusi kewangan lain untuk beli barangan keperluan harian, sewa rumah, bayar kereta,” ujar beliau, lapor Berita Harian.
53,000 Individu Bawah 30 Tahun Dibebani Hutang Terkumpul RM1.9 Bilion
Isu tersebut turut dikaitkan dengan laporan dikeluarkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) baru-baru ini yang mana seramai 53,000 individu berusia 30 tahun ke bawah kini dibebani hutang terkumpul berjumlah RM1.9 bilion.
Selain itu, 28% daripada rakyat Malaysia yang sudah bekerja turut membuat pinjaman wang bagi membeli barangan keperluan.
Baca Artikel Berkaitan: 53,000 Individu Bawah 30 Tahun Di Malaysia Miliki Hutang Terkumpul Sebanyak RM1.9 Bilion – AKPK
Lihat Orang Lain Beli, Dia Pun Nak Beli
Sementara itu, Dekan Fakulti Ekologi Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM) Mohamad Fazli berkata golongan belia yang berhutang dengan banyak perlu muhasabah diri dan melihat semula tujuan membuat pinjaman, sama ada untuk keperluan atau kehendak hidup.
“Sebaliknya, ramai daripada mereka ini sanggup meminjam hanya semata-mata mahu mengikut kehendak membeli telefon bimbit terkini dan sanggup buat pinjaman peribadi.
“Malah mereka ini juga gunakan konsep FOMO, YOLO dan banyak mengikut trend semasa tanpa melihat keperluan kewangan sendiri. Kawan pula dengan anak orang kaya, lihat orang ada, dia pun nak ada. Jadi untuk dapatkan barangan itu dia buat la hutang.
“Sekarang pula hutang mudah nak buat, tak perlu dengan bank dan disebabkan itu ada pelajar pun mula berhutang kerana kini sudah ada kemudahan seperti Atome atau ‘beli sekarang, bayar kemudian’,” kata beliau.
Perlu Tingkatkan Pendapatan Jika Tak Mampu Bayar Hutang
Dalam masa sama, Mohd Fazli menasihati golongan berhutang untuk melihat semula keupayaan mereka dalam membayar semula pinjaman dilakukan.
“Kalau tak boleh bayar balik, kena lihat bagaimana untuk tingkatkan pendapatan. Kalau perlu berjimat atau buat kerja separuh masa, kena buat,” tambah beliau.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram