Bank Negara Keluarkan Duit Syiling Peringatan Sempena Pertabalan Sultan Ibrahim, Siap Ada Wajah Baginda
Orang ramai yang mahu mendapatkan duit syiling edisi terhad ini boleh membuat tempahan di laman web BNM mulai hari ini (2 Oktober) jam 11 pagi sehingga 11 malam pada 13 Oktober 2024.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada 20 Julai lalu, Sultan Sultan Ibrahim telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 selepas tamatnya tempoh pemerintahan YDPA ke-16 iaitu Sultan Pahang Sultan Abdullah Ahmad Shah.
Majlis tersebut yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur turut menjadi tumpuan antarabangsa selain dinanti-nantikan oleh 34 juta rakyat Malaysia.
Peristiwa bersejarah ini pastinya sesuatu yang amat bermakna kerana ia hanya dilakukan pada setiap lima tahun sahaja.
Duit Syiling Peringatan Berwajah Sultan Ibrahim Dikeluarkan Oleh Bank Negara Malaysia
Bersempena dengan pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17Â itu, Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi hantaran di laman Instagram telah mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan yang memperlihatkan potret Sultan Ibrahim pada bahagian tengah.
Duit syiling tersebut dikeluarkan dalam tiga denominasi iaitu emas, perak sterling serta emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.) dan ketiga-tiga ini mempunyai nilai yang berbeza.
Nilai muka dan harga jualan adalah seperti berikut:
- Syiling emas
- Nilai muka: RM100
- Harga jualan: RM3,250
- Sebanyak 300 keping telah ditempa
- Syiling perak sterling
- Nilai muka: RM10
- Harga jualan: RM275
- Sebanyak 1,300 keping telah ditempa
- Syiling emas Nordic
- Nilai muka: RM1
- Harga jualan: RM16.50
- Sebanyak 5,000 keping telah ditempa
BNM dalam kenyataannya memaklumkan bahawa duit syiling peringatan ini juga dijual sebagai Set 2 dalam 1 di mana pembeli akan mendapat sekeping duit syiling perak sterling dan sekeping duit syiling emas Nordic.
“Harga jualan setiap set ialah RM330. Sejumlah 1,300 set tersedia untuk pembelian,” jelas BNM.
Had Pembelian Untuk Pelanggan
Bagi memberikan peluang yang sama rata, BNM telah mengehadkan pembelian bagi setiap individu seperti ketetapan berikut:
- Hanya boleh membeli satu set 2 dalam 1
- Satu keping duit syiling emas
- Satu keping duit syiling perak sterling
- Tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.)
Orang ramai yang mahu mendapatkannya boleh membuat tempahan di laman web BNM mulai hari ini (2 Oktober) jam 11 pagi sehingga 11 malam pada 13 Oktober 2024.
Pada masa sama, BNM turut meminta masyarakat agar membuat tempahan di laman web rasmi mereka sahaja dan bukan menerusi pihak lain.
“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak lain.
“Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan.
“Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya,” kata BNM.
Sebagai info, BNM sebelum ini juga pernah mengeluarkan syiling peringatan sempena pertabalan YDPA terdahulu antaranya YDPA ke-15 iaitu Sultan Muhammad V dan juga YDPA ke-16 Sultan Abdullah.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.